Bab 3

4.5K 87 0
                                    

HATINYA dipagut risau melihatkan Fina yang sedang mengamuk sakan. Puas mamanya memujuk tapi Fina tetap berkeras. Dia menyumpah seranah. Buat mamanya menggeleng tak puas hati.

"Kalau Fina tak dapat kerja tu, cari aje kerja lain. Kerja banyak dekat Malaysia ni, kan?" Suara Puan Laila sudah lain macam nadanya. Marah.

"Mama tak faham. Masa Fina interview tu, bos dia kerek gila. Benci Fina. Fina tak sempat cakap apa lagi dia dah cakap, Fina tak layak kerja dengan dia. Ada ke patut macam tu? Fina berkeras cakap Fina mampu tapi dia tetap menggeleng. Muka dia tak payah nak ceritalah, ma. Geram Fina ni, tahu tak?" Fina terus meluahkan lahar amarah.

Telinga Luth menangkap kemas setiap ayat yang terbit dari celah bibir kakaknya. Dia tahu Fina marah.

"Haaa... Yang Si Luth tu dapat ke?"

Dahi Luth kerut. Aku pula? Tapi, dia tetap bertenang dan terus membelek Biografi Rasulullah s.a.w yang baru dibeli beberapa hari lepas sewaktu menemani mamanya keluar membeli barang dapur.

Boleh tak dia rasa nak bangga dua saat dengan Fina sebab dia dapat kerja tu tapi Fina tak dapat? Jangan pandang dia sebelah mata. Bibir Luth ukir senyuman tipis. Senyuman tanda syukur dengan rezeki Tuhan.

"Alhamdulillah... Luth dapat."

"Hah?" Suara Fina terkejut hebat.

Bibir Luth senyum tipis. Tawar dan kelat. Dia tahu Fina nak cakap apa. Mesti bos itu buta sebab ambil dia kerja. Diri sendiri tu yang tak sedar, dah banyak kali tukar kerja. Ada saja tak kena.

"Macam mana dia boleh dapat, ma?"

"Dah rezeki adik, Fina..." Puan Laila pun tak faham sungguh dengan sikap anak dara dia ni.

"Tak," bentak Fina. "Mama nak cakap dia dapat kerja bagus sekalipun, Fina tak kesah. Tapi, mama jangan cakap dia adik Fina. Fina tak suka!" Lantas, Fina berlari memanjat tangga naik ke bilik. Geram sungguh dia. Sampai mati pun, dia tak nak mengaku Luth adik dia.

Dulu, semua orang nampak Luth aje. Luth pandai. Luth cantik. Luth sopan santun. Luth pandai hormat orang tua. Luth khatam al-Quran masa umur enam tahun lagi. Luth itu, Luth ini. Semua yang baik milik Luth dan yang jahat tu semua tala ke dia.

"Budak ni... Apalah yang tak kena? Dah kata tak ada rezeki dekat situ, tak usahlah nak mengamuk sakan dekat rumah..." Puan Laila menggeleng. Luth tu tak salah apa. Nak buat macam mana kalau Allah kurniakan Luth tu lebih segalanya?

Dalam tak sedar, Luth dah berdiri di belakangnya.

"Biarlah dia, ma..."

Puan Laila berpaling. Wajahnya sedikit cuak. Biarpun dia dah dapat agak Luth akan dengar tapi apabila nyata Luth dengar, hati ibu mana tak tersiat? Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Serba serbi tak kena. Dua-dua anak. Dua-dua dia sayang tapi sebenarnya dia lebihkan Fina kerana jiwa Fina kuat memberontak. Tak macam Luth.

"Mama dah tak tahu nak buat apa dengan dia, Luth..." Puan Laila menggeleng penuh kesal. Rasa kalah.

Senyuman manis koyak pada bibir Luth. Dia paut bahu Puan Laila kemas. "Kan Luth dah bagi tahu mama tadi, biar ajelah dia tu. Nanti dia okeylah tu..."

Okey? Hati Luth menggeleng sendiri. Dia pun tak tahu akan okey ke Fina nanti. Sejak dulu. Bukan setahun dua tapi dah berbelas-belas tahun. Sejak lima tahun lepas tingkah Fina makin menjadi-jadi. Sanggup jadikan dia seperti sekarang. Tapi, hendak salahkan Fina rasa macam tak mampu. Sudahnya dia kembali pada ketentuan takdir.

"Lagipun, Luth ada berita baik ni... tak naklah kita sedih-sedih. Ya, ma..." Pujukan demi pujukan kepada mamanya tapi diri sendiri, siapa mahu pujuk?

Dia... Cinta Yang KucariWhere stories live. Discover now