Bab 4

4.3K 86 0
                                    

PANDANGAN Palee jatuh pada kertas kerja di depan mata. Semua tak boleh dipakai. Dia sendiri naik pening. Dia perlukan pembantu. Sekarang! Sesekali dia menggeleng memerhatikan figura di depan mata. Bilalah nak siap kalau akaun asyik tak seimbang aje? Lepas tu hantar dekat abahnya, abahnya campak ke dalam tong sampah. Bagus sangat.

"Kenapa ni?"

Soalan daripada Puan Huda dibuat tak tahu. Begitulah Palee kalau terlalu sibuk dengan urusan rasmi biarpun ada di rumah. Yang si abang pula lesap entah ke mana. Tak sempat nak berjemaah, bergegas nak keluar. Dah janji konon. Habis tu janji temu dengan Allah setiap lima kali sehari tu, tak pula dia fikir. Menggeleng Puan Huda mengenangkan sikap Payed ni.

"Palee?" Punggung dilabuhkan di sebelah anak bongsunya. "Kan mummy dan pesan, kerja ofis jangan bawa balik rumah?" Lembut Puan Huda menegur.

Bukan saja kepada anak tapi kepada suami dia juga. Syarikat mereka itu dah lama beroperasi tapi selepas suaminya buat keputusan untuk sambung belajar, syarikat itu diuruskan oleh seorang teman rapat. Kini apabila mereka dah kembali ke tanah air, tampuk pimpinan bertukar rupa tapi terlalu banyak yang perlu dipelajari.

"Sorry, mummy..." Barulah Palee angkat muka. Dia pandang bening mata si ibu yang beriak sedih. "Mummy bukan tak tahu. Ini semua baru untuk Palee. Nak tak nak kena kejarlah. Nanti Palee yang ketinggalan..."

Hati Puan Huda tersentuh. Palee tak ubah macam suami dia. Terlalu taksub dengan kerjanya tapi masa bujang suaminya itu pun saling tak tumpah seperti Payed sekarang. Dia bersyukur, setelah mereka mendirikan rumah tangga, Ahmad Fuad dah berubah langsung. Seluruh waktu hanya untuk ibadah, kerja dan keluarga. Tapi, Payed? Mampu ke berubah? Atau perlu ke dia nikahkan Payed seperti yang dia niatkan untuk mengubah anak itu?

"Mummy?"

Puan Huda pandang ke arah Palee. Senyuman tawar terukir. Dia angguk mengerti dengan kata-kata Palee. "Abah dulu pun masa mula-mula nak bina kerjaya, macam inilah. Berbuih mulut mummy larang tapi sekarang menurun dekat Palee pula..."

Bahu anak diusap perlahan. Bagai memberi semangat. Biarpun itu harta keluarga tapi yang dipegang adalah amanah.

"Sorry, mummy. Once again, sorry..." Wajah Palee bertukar raut. Nampak comel dan manja.

Tangan Puan Huda disapa lembut. Dia perasan akan riak wajah mummynya yang kelat. Ini tak lain tak bukan... Mesti pasal Payed.

"Mummy fikir pasal Payed ke?"

Puan Huda geleng menafikan.

"Muka mummy berubah. Mesti pasal Payed ni..." Palee menggeleng kesal. Terkesan dengan perangai Payed yang tak berubah. "Mummy biarkan dia ajelah. Dia dah tua, my. Dia dah pandai atur hidup sendiri. Nak ditampar karang, dah pandai melawan. Dah nasihat tak lut, biar dia betul-betul jatuh tersungkur..." Palee meluahkan rasa yang maha geram.

Siapa tak geram kalau Payed tak sudah-sudah buat mummy dan abahnya risau? Ligat sangat. Dia pun lelaki. Dia pun ada nafsu yang satu itu tapi tak pula dia buat perangai bukan-bukan.

"Tak boleh nak buat tak tahu, Palee. Dia anak mummy. Abang Palee..."

"Tapi, perangai dia tak semenggah, mummy. Hari ni dengar kata dia tidur seharian di dalam bilik pejabat dia. Siap ada perempuan teman lagi..."

Fikiran Palee tergambarkan perkara siang tadi. Selepas dia menemu duga seorang calon yang tak ada langsung kelulusan sebagai kerani kewangan, jauh sekalilah nak jadi akauntan dia... dia terus menapak mencari Payed. Kot-kotlah dah jumpa setiausaha. Apabila dia tolak pintu bilik, dia ternampak seorang perempuan bertudung membelakangi dia dan sedang menunggu Payed yang sedang lena. Tak jadi dia nak masuk. Terus dibawa langkah kembali semula ke biliknya.

Dia... Cinta Yang KucariHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin