Bab 3

3.3K 87 0
                                    

JANTUNG Irvan berdenyut kencang. Kelibat Maryam diintai. Bangku dua malam lepas dicari. Lega bagai nak tumbang melihat sesusuk tubuh kecil tegak di situ.

Langkahnya dilajukan. Semakin laju. Maryam hampir diterkamnya tetapi dia tidak mahu tindakannya nanti akan mengejutkan, maka Irvan berhati-hati mendekat. "Ya adik...."

Maryam yang sedang mengelamun agak tersentak. Segera bola matanya mencari suara yang memanggilnya. Bila sudah jelas siapa di hadapan, bola mata itu berkilau... dengan air jernih.

"Abang datang...." Rasa bersalah menghimpit dada menyebabkan suara Irvan seakan berbisik.

"Abang datang...?" suara sebak Maryam juga berbisik. Seakan tidak percaya Irvan di hadapannya.

Sambil melutut, Irvan menganggukkan kepalanya.

"Abang datang...." Genggaman erat tangan Maryam di paha dipegangnya. Sejuk. Irvan segera menanggalkan jaketnya. Menyelimutkan Maryam.

"Maafkan abang. Lama adik tunggu...?" Soalan bodoh yang tidak patut ditanya. Tetapi rasa bersalah semakin hebat apabila melihat roman wajah Maryam yang agak pucat dan cengkung. Lingkaran gelap di bawah mata menambahkan rasa bersalahnya.

"Abang suruh tunggu sini, adik tunggu sini. Adik tak ke mana-mana, hanya ke surau dan bilik air. Itu pun tak mahu lama-lama takut abang datang, adik tak ada."

Bengap betul kau, Irvan! Kenapalah cuai sangat? Dan kenapalah Maryam patuh sangat? Tak ada ke fikir nak telefon dia atau minta polis bantuan tolong hantar ke rumah atau... Adui! Bengang dan bengap! Nasib Maryam patuh dan tetap menunggunya. Dibuatnya Maryam mengambil tindakan sendiri? Dan aku tak menjumpai Maryam di sini, bagaimana?

"Kenapa tak telefon abang?"

"Abangkan sedang operasi. Mail box yang jawab nanti."

"Tapi abang call, adik tak jawab."

"Bateri dah habis. Adik tak bawa power bank atau charger. Tak tau abang nak tinggal adik lama."

"Adik tak takut sorang kat sini?"

Geleng tetapi matanya semakin jernih. Air mata yang bila-bila masa akan tumpah. Luluh hati Irvan.

"Adik takut... takut... abang tak datang..."

Kedua-dua belah tangan Maryam digenggam dan dikucup. Melihat botol mineral dan bekas makanan di sebelah Maryam, hati Irvan sedikit lega. Tidaklah seperti dia membayangkan Maryam menunggunya tanpa bergerak-gerak dan tidak makan minum.

"Adik tak tidur?"

"Adik tidur sambil duduk. Tidur sekejap-kejap sebab adik takut adik terlena bila abang datang, abang panggil... adik tak sedar."

Aduhai... bertambah luluh hati Irvan. Taubat tak buat lagi. Galak sangat nak berkahwin, bila dah berkahwin, boleh lupa pulak dia ada bini!

"Kalau berlaku apa-apa kepada adik, abang takkan maafkan diri abang selamanya." Kedua-dua belah tangan Maryam dikucup lagi. Berkali-kali. Untuk menghilangkan rasa bersalah dan rasa syukur.

Kali ini betul-betul taubat nasuha! Takkan lupa bini lagi! Dan dia takkan ceritakan kepada Maryam yang dia terlupakan Maryam. Takut kena siku dan lutut lipat orang hamil! Tentu kuasanya berganda kerana tenaga dalaman dua orang! 


The One (Yang Terunggul)Where stories live. Discover now