Bab 7

2.7K 46 0
                                    

"ESOK pagi kita balik."

Kata putus Irvan yang sia-sia sahaja hendak dibantah oleh Maryam. Dua minggu bersama suami, tweet! Dua belas hari sahaja. Mana puas? Tetapi perangai Irvan sudah dikenali Maryam. Pujuk rayu, ugut marah macam mana sekalipun, kalau dah dia kata hitam, hitam la. Kalau putih, putih la. Itu sahaja warna pilihan Irvan. Warna lain semua dia tidak kenal. Buta warna!

"Jom!" semawa Irvan.

Maryam mengangkat kepala. Irvan menariknya dari sofa.

"Abang bawa jalan ke kem."

Kem lagi? Apa yang menarik di sana? Malam tu dah pergi.

"Siang tak sama dengan malam, lebih-lebih lagi lepas subuh gini. Suasana yang berbeza," lobi Irvan bila melihat Maryam diam dalam Beetle.

"Hari tu ajak masuk kem tak nak sebab kerja siang. Hari ni boleh pulak?"

"Hari ni, kan cuti."

Pertanyaan yang berbau bunga-bunga pertengkaran.

"Tak payah masak. Mana stok yang tak habis bagi Kak Safi. Malam ni, abang nak bawa adik pergi Gerbang Malam. Kat situ ada popia S S Ali yang terbaik di dunia. Lepas tu kita pergi taman bunga. Kita jalan-jalan seluruh Ipoh dari pagi hingga ke malam."

"Adik tak pernah merangkak lagi selepas umur setahun."

Asidnya! Marah yang dipendam. Dibalas dengan suara yang tenang dan lembut. Faham sangat nada tidak puas hati Maryam. Tetapi mana boleh duduk lama-lama di sini. Setakat ini masih terselamat lagi, lain kali mungkin sudah tidak selamat. Baik beringat sebelum terkena!

"Nanti lain kali datang lagi."

"Bila lain kalinya? Peluang hanya datang sekali."

Baik kau diam, Irvan! Bab nak mengayat memang kau kalah la.

"Ini markas 69 Komando. Dalam tu ibu pejabat 69, pejabat komander, pejabat pentadbiran dan pengurusan. Ini bukit Giant. 69 ditugaskan membuat logo PDRM di tebing bukit ini."

Mata Maryam yang layu mula hidup. Memerhati lambang gergasi PDRM yang gagah melekap di lereng bukit.

"Ini tasik buaya."

Setiap jalan yang dilalui dan apa yang dilihat, dicerita oleh Irvan. Mata Maryam semakin hidup bila Irvan menyebut mengenai lebah.

"Pada awal Oktober 1969, seramai tiga ribu pegawai dan anggota yang baru tamat latihan polis hadir di Ulu Kinta untuk upacara perbarisan tamat latihan. Kumpulan ini digelar Skuad 69 kerana mereka menyertai polis dalam tahun 1969. Semasa perbarisan tamat latihan tersebut yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Salleh Ismail, sekumpulan lebah terbang melalui kawasan tersebut seolah-olah membuat lintas hormat sehingga cuaca yang cerah menjadi redup."

"Lebah ada kaitan dengan 69 Komando?" tanya Maryam girang.

"Tak tau nak kata tapi ada yang percaya kejadian itu bukan kebetulan. Ia tanda awal kehebatan 69. Diam seperti lebah tapi sangat berbisa."

Lebah dan 69? Maryam dan Irvan? Aku dan Abang One?! Hoo rattt!

"Masa tu 69 dah ditubuhkan ke?" Maryam semakin teruja.

"Dalam proses. Pada 23 Oktober 1969, dua ratus orang anggota pangkat rendah Pasukan Polis Hutan atau pasukan pemuda handsome melapor diri secara sukarela untuk pemilihan awal."

"Pasukan pemuda handsome? Kalau tak angkat diri tak boleh ke?"

"Siapa lagi nak angkat kalau bukan kami? Zaman sekarang, kena tekan lif naik sendiri."

The One (Yang Terunggul)Where stories live. Discover now