PEJAM celik saja, lagi seminggu dia akan jadi isteri kepada Haiqal. Semuanya sudah siap. Tinggal edarkan kad kepada sesiapa yang belum terima. Golongan terpenting awal-awal sudah diberi. Hari ini pula adalah hari terakhir kuliah sebelum cuti semestar. Sebelum semua keluar dari kelas, pantas Awina edarkan kad jemputan.
Usai itu mereka bergerak keluar sambil berborak sedikit tentang Awina yang bakal jadi isteri orang.
"Tahniah la Wina, hang nak jadi bini dah," ucap Nazeem dan Awina cuma senyum.
"Tu la. Diam-diam je tapi dah nak kahwin. Suami kau orang mana?" soal Fariha, rakan sekelas yang selalu sekumpulan dengan Awina dan Syafina untuk kerja berkumpulan.
"Orang sini je. Kita orang kenal pun sebab mak aku dengan mak dia kawan lama." Awina mengangguk.
Sampai di satu laluan yang ada persimpangan dari fakulti sebelah sana, Awina bertembung dengan Shima. Dia menapak dulu ke arah wanita itu dan serahkan sampul putih yang berisi kad jemputan.
"Jemput la datang. I pun dah nak kahwin. Rasanya lepas ni dah tak ada alasan yang kononnya I nak rampas Fahim daripada you."
Sampul putih itu perlahan diambil oleh Shima. Awina pergi. Syafina yang cuma perhati dari jauh mula mengekori langkah Awina dan berlari anak sedikit untuk menyaingi langkah wanita itu.
Sampai di foyer, Awina terdengar namanya dilaung dari belakang. Bila ditoleh, Fahim berlari ke arahnya. Awina tidak mengendahkan dan terus berjalan hingga Fahim berjaya menangkap tangannya.
Tanpa fikir apa, buku dalam pelukkan Awina dihayun ke muka Fahim. Terasa pegangan Fahim longgar, Awina tarik.
"Nak apa lagi? Kau ni tak faham bahasa ke Fahim? Nak aku cakap bahasa apa? Bahasa Jawa baru reko arek ngerti ke? Haa kan dah keluar jawa aku." Awina mendengus. Totebag yang terlondeh disangkut semula ke bahu.
"Betul ke you nak kahwin. Dengan mamat hari tu?"
"Ya!" Buntang mata Awina seraya menjawab. Nadanya tegas.
"Fahim, pergi la dekat Shima. Hargai orang yang betul-betul nampak kewujudan kau. Kau tak penat ke hari-hari nak kejar Wina merayu melutut menangis? Effort ada tapi salah orang. Kau sanggup terjun bangunan demi Awina sekali pun, dia tetap takkan terima kau. Jangan buang masa," nasihat Syafina. Kali ini dia cuba berlembut.
Mereka berdua melangkah pergi bila Fahim hanya tunduk tidak berkata apa-apa. Masuk saja ke dalam kereta, Awina letak totebag dan bukunya di tempat duduk belakang.
"Kalau tak faham bahasa juga lepas ni, tak tahu la nak kata apa." Awina tarik tali pinggang keledar dan kunci di sisinya.
"Obses dia tu macam kau calit minyak dagu tahu tak?" kata Syafina dan turut kunci tali pinggang keledar.
Awina menggeleng. Tak tahulah nak kata apa. Entah apa yang menarik sangat dirinya di mata Fahim kalau nak dibandingkan dengan Shima. Atau... dia ada ciri-ciri yang Fahim suka? Bertudung? Tapi ada beratus pelajar juga bertudung. Silap haribulan cantik setanding influencer di media sosial.
***
"RASA macam tak percaya kan abang nak kahwin. Macam baru semalam je Leeya bebel kat abang suruh setuju je kalau Mummy nak carikan calon." Leeya senyum sambil mengunyah. Dia juga nampak banyak perubahan pada abang terutama Mummynya. Bersemangat betul uruskan semua perkara.
Sejak dah tengok wajah bakal kakak iparnya di majlis pertunangan dulu, rupanya dia kerap nampak wanita itu di perpustakaan. Selepas daripada majlis itu juga, mereka kerap berselisih dan bertegur.
Dia tak adalah nak rasa kekok sangat sebab umur mereka cuma beza dua tahun saja. Boleh saja ngam-ngam.
"Itu la, lega betul Mummy. Lega sangat. Tapi Haiqal okay je kan dengan Wina? Setakat ni tak ada apa-apa masalah? Kalau gaduh merajuk tu biasa la. Haiqal kena sabar lebih, faham lebih," ujar Datin Mariam.
"Okay je Mummy. Tak over sangat, tak innocent sangat. Sederhana," ulas Haiqal. Walaupun baru beberapa bulan bertunang bersamaan tempoh perkenalan, dia makin selesa dengan wanita itu.
"Jaga elok-elok. Jujur. Tolak ansur. Rasional. Jangan ikut emosi. Kalau boleh duduk dan bincang... Buat. Ingat tu? Kalau ada apa-apa masalah yang buat Haiqal buntu datang jumpa Daddy. Lebih elok jumpa ayah Wina, dia lebih kenal anak perempuannya. Faham?" pesan Dato' Syed Hashim.
"Haiqal akan ambil alih hak penjagaan zahir batin dari ayah Awina. Bermakna dia percayakan Haiqal. Apa saja yang Wina buat nanti dan tak kena di mata Haiqal, itu kekurangan yang kamu kena terima. Apa saja karenah Wina yang kamu tak suka, cermin balik semua tindakan kamu." sambung lelaki itu lagi.
Haiqal mengangguk faham. Semakin lama terasa bahu berat dengan beban tidak tampak.
"Leeya pula rasa nak nangis dengar Daddy bagi nasihat." Aleeya pandang Dato' Syed Hashim di sebelah.
"Mesti la. Daddy tahu harapan seorang ayah yang nak melepaskan anak perempuannya yang akan dijaga oleh lelaki lain. Sebab masa Daddy nak kahwin dengan Mummy dulu, atok Leeya nasihat dekat Daddy macam tu lah beberapa jam sebelum akad." Dato' Syed Hashim buka cerita.
Aleeya melopong sambil mengangguk.
"Sekarang abang nak kahwin, Daddy kena nasihat. Besok Leeya nak kahwin, Daddy akan nasihat bakal suami Leeya juga."
Aleeya tersenyum simpul malu-malu. Lama lagi!
Usai makan malam, Haiqal masuk bilik. Dia bawa telefon ke balkoni dan duduk di kerusi empuk di luar. Bila periksa telefon, ada mesej daripada Awina.
Awina
Awak, saya terfikir sesuatu. Saya ni ada apa je sampai Fahim tu nak kat saya? Awak tu pun. Kenal saya pun tak, main setuju je nak tunang -_-Siapa Fahim?
Awina
Mamat yang kacau saya dulu la. Ish! Cepat la jawab...
Lepas baca mesej itu, Haiqal fikir sejenak. Tersenyum-senyum dia entah kenapa.
"Apa ya?" Kalau tanya tentang Fahim, manalah dia tahu. Lain orang lain citarasa. Tapi kalau dia mungkin jawapan yang sama seperti dia beri kepada Mummy tadi.
Sederhana.
Terkejut dia sewaktu pergi cari busana untuk hari persandingan bila Awina menolak untuk cuba semua contoh rekaan busana yang Mummy beri kerana harganya yang mahal.
"Tak nak la... Mahal."
"Bukan awak bayar pun. Saya bayar."
"Sebab awak bayar la saya tak nak. Simpan je la duit tu. Benda nak pakai sehari je pun,"
"Wina... Ni ada lagi untuk nikah. Yang ini untuk sanding. Kita cuba satu-satu mana yang cantik, Wina pun berkenan dan selesa." Datin Mariam muncul bersama beberapa pasang busana lagi sampai terpaksa staf butik itu bawa sekali.
"Mummy... Mahal la. Kita pergi butik biasa jelah," kata Awina perlahan kerana serba salah.
"Tak boleh sayang, Mummy nak tetamu tengok yang Mummy ada menantu cantik manis sopan. Jangan risau, harga ni semua celah rambut Haiqal je."
Haiqal menaip sesuatu di telefon. Dia masih belum ada jawapan yang tepat.
Pernah baca tak quote ; Butterflies cannot see their beautiful wings,
but everyone else can? Mungkin itu perumpamaan yang tepat untuk awak ;)
YOU ARE READING
Cinta Dalam Diam [TERBIT]
Romance📌 TERBITAN ANAASA PUBLICATION Sejak pertemuan pertama sudah menjentik hati Syed Haiqal tanpa dia sedar. Hati yang tertutup dibuka semula untuk Awina Aleeya yang tiba-tiba jadi calon jodoh yang tidak disangka. "Sampai hati lupa nama boyfriend olok-o...