Part 14

6.4K 200 0
                                    

Layan flashback naaa...

"ZEEN!" seru Hanis kuat.

Pantas kepalanya menjenguk dari dapur. Tangan lincah lagi menumis sambal ikan bilis. Makanan budak belajar. Jimat!

"Apahal?"

"Kau tengok kat pagar tu," ucap Hanis menjuih bibir pada pintu rumah yang terbuka luas. Memang selalu begitu. Cuaca Arau yang selalu panas berbahang buat mereka lebih suka membiarkan angin luar masuk.

Makin panjang lehernya menjengah gerangan yang pemilik tubuh tinggi lampai yang berdiri di pagar rumah mereka. Separas pinggan aje pagarnya. Bibir laju menguntum senyum. Sambal yang belum siap ditumis dimatikan apinya. Malas mahu meminta Hanis yang tidak pandai masak itu menjaga api. Mahu hangus dibuatnya.

Dia berlari masuk ke dalam bilik mencapai tuala lalu menutup kepala. Senang kerja. Laju kaki melangkah keluar dengan wajah berseri-seri.

"Abang... buat apa kat sini?" soalnya dengan hati kembang setaman. Tiap-tiap hari jumpa pun rindu tetap berbunga. Bukan jauh pun rumah sewa mereka. Selang dua buah rumah sahaja. Kedudukan sahaja bertentangan. Senang boleh skodeng!

Redup pandangan sang kekasih buat dada terasa berdebar. Mahu tidak bila wajah kacak itu melempar senyum padanya. Aduh, mahu cair. Lagi-lagi bila melihat tubuh sasa yang bersandar di pagar. Kalaulah bersandar padanya. Gatai!

"Salah ke abang nak jumpa?" soal suara garau itu.

"Kenapa tak cakap nak datang? Zeen tengah selekeh ni."

"Abang dah mesej. Zeen yang tak tengok phone, kan?"

"Zeen kat dapur tadi," ulasnya.

"Sakit-sakit pun sibuk kat dapur," balas sang kekasih kurang senang.

"Sakit?" soal Aazeen pelik. Bila pula dia sakit? Otaknya mencari memori. Lantas tangan menepuk dahi. "Ulser mulut aje pun. Bukannya sakit teruk. Abang ni," tingkah Aazeen terburai tawanya. Sesekali mahu senak perutnya bila dapat kekasih terlebih prihatin. Sayang benar padanya.

"Ulser tak sakit, hurm?" soal suara garau itu serius.

"Erm... sakit sikit bila makan," akui Aazeen tersenyum lebar. Dia bukan sengaja mahu mengadu. Dia hanya terjerit kecil ketika mereka makan bersama semalam bila ulser di bibir yang berlopak besar terkena sambal pedas. Berair matanya ketika itu. Waktu itulah pelbagai soalan yang keluar dari bibir lelaki itu. Risau sangat dia sakit.

"Sini." Tangannya sudah ditarik keluar dari pagar yang masih memisahkan mereka. Lalu dia dipaksa duduk di kerusi batu yang disediakan tuan rumah untuk penyewa bersantai di bawah pokok jambu.

"Abang... sekarang panas lagi kalau nak lepak." Panas mentarik terasa terik pada kulit. Dipandang wajah Ishaq lama. Dia kalau sudah mula pandang, susah mahu lepas. Rasa mahu pandang sampai esok. Bilalah nak jadi milik aku si tinggi lampai ni, hati berbisik miang.

"Sekejap aje ni," balas Ishaq menyeluk kocek seluar. "Sini bibir tu," mintanya dengan nada mengarah.

"Bi... bibir?" Aazeen jadi kalut. Biar betul apa yang dia dengar ni? "Nak buat apa dengan bibir?" Jangan cakap nak buat bukan-bukan. Bibirnya masih dara tau. Bukan untuk lelaki yang belum sah buatnya. Walaupun hati miang mengatakan mahu. Hukum masih menidakkan. Dia tidak sebebas itu. Jemarinya laju menutup bibir.

"Abang cakap sini bibir tu," tingkah Ishaq menahan tawa dengan gelagat Aazeen yang nampak sudah salah faham. Tangannya sudah menarik jemari yang menutup bibir itu. Bibir yang terlalu ingin disentuhnya. Penantian jelas satu penyeksaan. Takkan lari gunung dikejar, Shaq. Tunggu dia jadi isteri kau, akal berdetik memukul nafsu.

Dia mendekatkan wajah pada wajah gadis manis yang nampak gelabah. Senyum sinis bermain di bibir. Kalau dah dia buat betul-betul mahu celapak lari agaknya.

"Orang... orang tengok nanti," kalut Aazeen cuba menjauhkan wajah. Mati kalau Hanis tengok ni. Mahu disekolahkan Hanis nanti.

"Biarlah orang tengok," balasnya selamba. Suka dapat menduga begitu.

"Tak... tak boleh. Kita..." Kata-katanya terhenti bila Ishaq menayangkan Bonjela betul-betul di wajahnya. Terus wajah terasa berbahang malu. Perasan! Kan dah malu, kutuknya bengang dengan diri sendiri. Fikir lagi bukan-bukan.

"Bak sini bibir tu," arahnya lagi.

"Abang ni... Zeen boleh letak sendirilah," bantah Aazeen. Dia cuba merampas Bonjela di tangan Ishaq. Tidak berjaya.

"Abang kata... bak sini bibir tu," tegas Ishaq berbau ugutan. Ugutan yang menyeramkan.

"Zeen... Zeen."

"Nak abang letak Bonjela ni ke... nak abang letak..."

"Okey!" Laju sahaja dijuihkan bibir yang berlopak sakit. Takut pula Ishaq melakukan yang bukan-bukan. Walaupun mereka tidak pernah melakukan lebih dari berpegangan tangan, manalah tahu jika Ishaq terlebih miang pula. Mahu malu keluarga nanti. Baik ikut sahaja apa yang dimahukan.

Bonjela di tangan dipicit sedikit. Perlahan disapukan di bibir yang nampak merah berlopak. Berkerut-kerut wajah manis itu menahan sakit. Jemarinya bermain lama di bibir merah bak delima itu. Bibir yang sentiasa menggodanya untuk dicumbu. Hanya iman yang menghalang.

Bila berdua tentunya ada yang ketiga selalu menghasut. Mereka berdua hanya insan biasa. Yang punya naluri dan nafsu untuk bersama. Dia hanya mampu menyabarkan diri. Bakal isterinya takkan dicemari sebelum waktunya. Sabar itu ada manisnya.

"Aa... bang," seru Aazeen meneguk liur yang terasa lekat di kerongkong. Kaku seketika tenggelam dalam belaian jemari di bibirnya itu. Lagi-lagi renungan kasih si tinggi lampai. Buatnya hampir kalah. Namun akal dan iman masih setia mengembalikan mereka ke alam nyata.

Ishaq menjatuhkan jemarinya. Aazeen pantas mencipta jarak. Bingkas bangun mahu masuk ke dalam rumah. Debaran di dada terasa menggila. Mahu tidaknya jika mereka begitu dekat diusik nafsu. Dia faham semua ini normal. Tidak bermakna mereka tidak perlu menjaga batas agama.

"Zeen masuk dulu," ucapnya. Mata meliar risau jika ada jiran-jiran yang memerhati. Adat berbuat salah memang terasa takut walaupun tiada yang memandang.

"Abang balik dulu. Nanti abang datang lagi. Kena selalu letak ubat. Baru cepat baik."

"Zeen boleh letak sendiri," bantah Aazeen tidak sanggup adegan tadi berulang lagi. Buatnya bibir mereka benar-benar bertaut mahu dia rasa bersalah seumur hidup. Dia tidak menyalahkan Ishaq. Mereka berdua hanya menanti masa untuk melangkah ke fasa seterusnya. Sebaik dia menamatkan pengajian mereka mahu bertemu keluarga masing-masing. Mahu menghalalkan apa yang haram.

"Nope. Biar abang yang letak. Kalau biar kat Zeen... nanti Zeen buat pekasam. Jangan ingat abang tak tahu," bidas Ishaq tegas. Kenal sangat sikap Aazeen yang liat mahu berubat. Kalau sakit dibiarkan sampai baik sendiri.

Aazeen menggigit bibir tak mampu membidas. Nak lawan memang benar kata sang kekasih. Nak biar pula serba tak kena jadinya. Mahu luruh jantungnya menahan debar sekali lagi. Macam mana nak hadap malam pertama macam ni? Argh, miang betul!

"Pergi masuk. Nanti abang datang lagi."

"Okey." Mahu tak mahu dia hanya mampu mengiakan. Mata tidak lepas memandang belakang tubuh yang makin jauh meninggalkannya. Belum apa-apa hati sudah berbisik rindu. Tak sampai seminit berjauhan. Hailah hati. Kau ni memang sakit agaknya.

JEMARINYA menyentuh bibir yang pernah disentuh jemari lelaki itu. Masih terasa hangatnya sentuhan itu. Dihembus nafas berat meninggalkan kenangan lalu.

"Apa ada pada kenangan? Kau tak mungkin dapat balik apa yang kau dah lepaskan," ucapnya memujuk hati sendiri.

"Stop dreaming, Zeen!" Semanis mana pun kenangan, pahitnya hari ini adalah realiti.

"Baik aku tidur," ucapnya lagi menggawang tangan sendiri seolah-olah cuba menghalau kenangang yang tak sudah-sudah mengetuk layar ingatan.

Esok tentu jalan lebih berliku. Dia perlu berehat. Perlu menyediakan mental dan fizikal untuk berhadapan dengan bos yang garang. Dia cuba memaksa diri untuk tidur. Penat berbicara dengan diri sendiri baru mata terlelap hingga ke subuh hari.

PERTEMUAN KALI INIDonde viven las historias. Descúbrelo ahora