Bab 11

2.9K 83 0
                                    

SAMPUL di atas meja dipandang dengan mata yang semakin mengecil. Sesekali dia mengusap dagunya dengan senyuman kecil.

"Awak ada satu hutang lagi. Jawapan! Awak dah ada girlfriend?"

Shahrul senyum lagi. Muka gadis yang cukup selamba berhadapan dengannya, terbayang di ruang mata. Tak kira betapa kuatnya suara dia menjerkah, betapa besar matanya mencerlung, gadis itu tetap tersenyum dan berbicara dengan cara cukup bersahaja.

Baru dia perasan, perempuan itu cukup suka mempamerkan sebaris giginya. Mindanya terawang saat dia menculik gadis itu. Bukannya nak cemas tapi cukup berani meletakkan syarat kepadanya. Berani juga bertanya soalan-soalan bodoh.

Matanya tiba-tiba terhala pada skrin komputer dan saat itu wajahnya terbias. Hilang terus senyuman di bibirnya. Dia menggeleng panjang.

Tidak! Dia tak patut ketawa atau tersenyum. Dia tak perlukan rasa gembira dan bahagia itu. Apa yang dia perlukan adalah dunianya. Dunia yang penuh rasa sakit hati dan benci. Kerana benci dan kemarahan yang menetap dalam hatinya, dia masih bertahan dan berjaya hingga ke tahap ini.

Tok-tok...

Shahrul tersentak. Dibetulkan duduknya sebelum melaungkan perkataan masuk.

"Kau nak apa, Rahman?" soal Shahrul malas saat wajah Rahman terjengul.

"Ini tuan..."

Rahman mara ke arah Shahrul. Satu sampul diletakkan di atas meja bos besar itu.

"Ini maklumat perempuan yang tuan nak tu. Perempuan di KLIA hari itu," sambung Rahman apabila Shahrul bertanya 'apa' dengan lirik matanya sahaja.

Shahrul terus memandang sampul dan pantas tangannya mencapai sampul itu. Perempuan itu. Dia hampir terlupa akan gadis yang ditemui di KLIA itu. Cantik dan manis cuma tercemar dek wajahnya yang nampak perengus.

"Siti Nur Diana Humaira," ucap Shahrul akan nama yang tertulis di atas sekeping kertas putih itu. Gambar gadis itu ditilik dengan senyuman sinis.

"Dia bekerja di syarikat Love Design sebagai pereka dalaman, tuan." Tanpa disuruh, Rahman menyampuk.

Shahrul angkat muka.

"Aku tahu baca, Rahman." Dia menjeling dengan muka sombong.

Tertunduk terus Rahman dibuatnya. Tu la mulut gatal nak bersuara, kan dah kena sound.

"Maaf, tuan," pinta Rahman.

Shahrul diam. Sedikit pun tak memandang Rahman yang beria-ria minta maaf dengan muka mendung.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri, tuan."

Shahrul macam tadi juga tak memandang Rahman namun kali ini dia mengangguk kecil.

Sepergian Rahman, mata lelakinya menghadap kembali kertas putih di hadapannya. Shahrul tersenyum penuh makna sambil mengetuk kecil kertas itu.

"Kita pasti bertemu, Humaira..."

Baru saja dia ingin meletakkan kertas yang mengandungi data peribadi Diana Humaira, dia terpandangkan sampul putih yang terbiar sepi. Pantas tangannya menekan butang interkom.

"Panggil Isha masuk!" arahnya pendek sebelum mengeluh sambil mencapai sampul putih itu.

ISHA garu kepala di depan bilik Shahrul. Siapa sangka lelaki itu sudah menggantikan adik dia. Bos Shahril pula beralih menguruskan perniagaan hotel mereka. Terfikir juga Isha, berapa banyak syarikat mereka ni ada. Dalam diam, Isha seronok. Lelaki yang dia sukai jadi bos besar. Hari-hari dia boleh usyar. Sungguh dia sanggup bekerja di situ walaupun untuk tempoh seratus tahun lagi.

Backup CintaOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz