Bab 12

2.9K 72 1
                                    

"KENAPA la perut ni asyik lapar. Baru aje nak diet dia buat hal. Kalau aku tahu aku tak boleh tahan lapar macam ni, baik aku keluar lunch dengan Fazilah dengan Nurul. Menyesal betul la! Tak pasal-pasal terpaksa lepak dekat kafe seorang diri!"

Tak henti-henti Isha merungut sambil menapak satu per satu anak tangga. Tangannya yang memegang botol air mineral itu diayun laju.

Hari ni dia terlebih rajin guna tangga bagi menyahut seruan Malaysia, rakyat cergas, minda cerdas. Tapi rasanya dah macam-macam dia buat untuk cergas tapi kenapa mindanya masih tak berapa nak cerdas, erk?

"Tapi kan, agak-agak dekat mana bos sekarang? Mesti tengah lunch, kan?" ujarnya sendiri.

"Bestnya kalau dapat lunch dengan bos. Kalau itu terjadi, gilalah hati patik selama tiga puluh hari. Bos, mana bos, saya menyeru datang la bos ku yang kacak."

Boleh pula Si Isha ni menggedik sambil turun tangga. Menggedik seorang diri tak apa, kan?

Tangannya semakin galak berayun dengan mulut tak henti-henti memanggil nama bosnya. Macam la bos dia akan datang kalau dah diseru. Parah dah budak seorang ni. Sedar tak sedar pegangannya pada botol air semakin longgar. Tak sampai seminit, tup-tup botol di tangan melepas. Elok aje terpelanting sebelum jatuh ke bawah. Langkah Isha termati.

"Aduh!!!"

Isha tergamam. Ada orang mengaduh?

"Bodoh! Siapa punya kerja ni!"

Kuat tengkingan itu membuatkan Isha cepat-cepat berlari ke bawah. Saat dia melihat tubuh yang sedang memegang botol airnya, dia terkaku.

"Itu bukan botol air aku ke?" tanyanya sendiri dengan bibir terketar-ketar.

Muka yang sedang menyinga itu buat Isha menggeletar. Memang dia seru bosnya tapi rasanya ini waktu tak sesuai untuk tunjuk muka. Kalau tidak, mungkin dia bakal ditamatkan riwayatnya.

Shahrul mendengus dengan perkataan bodoh berulang-ulang di mulutnya. Siapa tak marah kalau sedang bercakap di telefon, tiba-tiba ada benda keras jatuh elok di atas kepala. Lagi bengang apabila telefon bimbitnya terlepas dan jatuh menyembah tanah. Nahas orang yang buat semua ni!

"Mati aku!"

Isha terasa tekaknya kering. Hilang terus nafsu makannya. Perlahan-lahan dia berpusing. Rasanya situasi seperti ni tak perlu dia nak menegur Shahrul tapi lebih baik dia larikan diri saja. Baru saja berkalih nak sembunyikan diri, bulu romanya menegak.

"Kau!!!"

Langkah Isha termati. Dia berpusing dan saat itu tanpa dipinta, mulutnya tersungging senyuman tawar. Kantoi!

"Ni kau punya kerja, kan? Ni botol air kau, kan?!" Bentak Shahrul lantas melempar kuat botol air di tangannya.

Isha sebik aje pandang botol airnya yang menjadi mangsa balingan makhluk ganas di depannya. Rezeki tu, dia boleh baling macam itu aje. Dah la aku dapat percuma.

"Aku tanya bukan nak suruh kau tercegat, bukan suruh kau tersengih. Aku tanya, jawab!"

Ternaik terus bahu Isha. Mahu tak mahu dia mengangguk. Kalau ada orang lain dia dah tuduh dah, tapi masalahnya saat ini hanya ada dia dengan Shahrul saja. Sah-sah la botol itu dia punya.

Melihat saja anggukan itu, hidung Shahrul seakan-akan mahu keluar asap. Banyak-banyak staf, kenapa dia asyik bertemu staf yang sengal ni? Dah tu, setiap kali bertemu, mesti dia malang. Nak kena pasang pendinding lepas ni.

"Aku suruh kau jawab bukannya mengangguk. Setakat ni tak ada lagi syarikat hired pekerja bisu!"

Isha menunduk. Kena marah lagi.

Backup CintaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang