بسم الله الرحمن الرحيم
Baiklah , Tajuk usrah kita pada malam ini ialah "Yang Indah itu Akhlak"
Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran islam.
1) Menjauhkan diri daripada perkara syubahat
2) Memelihara Pandangan
3) Memelihara Lidah
4) Bersifat Pemalu
5) Bersifat lemah lembut dan sabar
6) Bersifat Benar
7) Tawadduk
8) Menjauhi sangka buruk & mengumpat
9) Bermurah hati
10) Qudwah Hasanah
Baginda Rasulullah saw juga menegaskan tentang kemuliaan akhlak sebagaimana tujuan pengutusan Baginda kepada sekalian alam
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyampaikan kemuliaan akhlak"
Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang adalah tidak akan beriman seseorang yang tidak berakhlak. Rasulullah menyatakan bermaksud :
"Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan"
( HR. Al-Dailami )
🎗Sifat-sifat akhlak seorang muslim :
1) Bersifat warak dari melakukan perkara syubahat
•Menjauhkan dirinya daripada segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara yang samar-samar diantara halal dan haramnya (Syubahat)
Sabda Rasulullah bermaksud :
"Seseorang hamba itu tidaklah termasuk dalam golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana berhati-hati dan terjerumus ke dalam kesalahan"
2) Memelihara Penglihatan
• Memelihara penglihatan dan melihat perkara yang diharamkan Allah kerana pandangan sesuatu yang boleh merangsangkan syahwat dan akan menjerumuskan ke kancah maksiat.
Firman Allah swt :
"Katakan lah kepada orang-orang mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka"
(Surah An-Nur : 30)
Sabda Rasulullah saw bermaksud :
"Pandangan itu adalah satu panahan dari panahan iblis"
3) Memelihara Lidah
•Memelihara lidah dan menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi mengatakan,
"Ketahuilah seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makhruh. Kejadian demikian tidak banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang"
Sabda Rasulullah saw bermaksud :
"Bukanlah ia seorang mukmin jika ia suka menuduh , melaknat , bercakap kotor dan keji"
(HR. At-Tirmizi)
Sabdanya lagi :
"Sesiapa yang banyak bercakap , banyaklah kesalahannya , siapa yang banyak kesalahannya, banyaklah dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah yang paling layak untuk dirinya"
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)
4) Bersifat Malu
• Bersifat pemalu dalam setiap keadaan tetapi sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya untuk berkata benar. Di antara sifat pemalu seseorang ialah tidak campur tangan urusan orang lain, merendah diri dan tidak meninggikan suara ketika bercakap.
Ulama mengatakan ,
"Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari bersikap cuai terhadap hak orang lain"
5) Bersifat lemah-lembut dan Bersabar
• Antara sifat yang paling ketara yang wajib ada dalam diri setiap muslim ialah sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk islam akan berhadapan dengan dengan perkara yang tidak menyenangkan , malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, tuduhan, ejekan dan penindasan yang memalukan. Semua halangan ini sering dialami petugas amal islami sehinggalah ummah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.
Dari keterangan ini jelaslah tugas pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan masyarakat yang berbeza latar belakang. Para pendakwah pula wajib menyampaikan dakwah kepada mereka sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Semua itu sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi dan lemah-lembut.
Firman Allah swt :
"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan , sesungguhnya perbuatan yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan"
(Surah Assyura : 43)
6) Bersifat Benar dan Jujur
• Mestilah berkata benar sekalipun dengan diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut pada celaan manusia. Seseorang yang memelihara dirinya daripada kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Dengan demikian, jiwa seseorang akan bersih dan terhindar dari tipu daya syaitan, lantaran itu islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit yang dilaknat.
7) Bersifat Rendah diri (Tawadhuk)
• Mestilah bersifat tawadhuk khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan dengan memberi layanan sama ada terhadap yang miskin atau yang kaya. Rasulullah saw sendiri memohon perlindungan kepada Allah swt agar dijauhkan dari sifat-sifat takabbur.
Sabda Rasulullah saw :
"Tidak akan masuk syurga sesiapa yang dalam hatinya terdapat sebesar zarah sifat takabbur"
(HR. Muslim)
8) Menjauhi Sangka Buruk & Mengumpat
• Sifat-sifat ini perlulah dijauhi dalam diri setiap muslim kerana perintah Allah swt
Firman Allah swt ,
"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah , sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi penyayang"
(Surah Al-Hujurat : 12)
9) Bersifat Pemurah
• Seorang muslim hendaklah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya memberlanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka berkedudukan bercita-cita tinggi serta berpangkal gugur tercicir dari jalan ini lantaran rakus terhadap harta benda.
Firman Allah swt ,
"Dan mereka membelanjakan dari apa yang kami berikan kepada mereka"
(Surah Al-Anfal : 3)
10) Qudwah Hasanah
• Selain daripada sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya menjadi gambaran dan pantulan kepada prinsip dan adab ajaran islam seperti dalam perkara asas yang dilihat seperti perkara kecil seperti adab ketika makan minum , cara berpakaian , percakapan , ketika bermusafir malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.
© Akhi Adib | Ukhti Nurull
YOU ARE READING
KOLEKSI USRAH PRISMA
SpiritualSELAMAT DATANG WAHAI PEMBACA! Di sini merupakan platform bagi mengumpulkan teks-teks usrah mingguan yang terdiri daripada tarbiah, sirah, sejarah Islam, hal ehwal semasa dan lain-lain genre penulisan di bawah kelolaan pihak Pertubuhan Remaja Islam S...