Bab 1

1.6K 36 5
                                    

Ditemani Alunan Falling Leaf Returns to Root oleh Lee Hom & Berklee College of Music's Students 

Pagi ini segalanya bergerak sedetik lebih perlahan dari biasa.

Alunan violin di corong fon telinga beralun romantis namun bunyinya kedengaran sayu; seperti pencipta lagunya sudah merancang menambah kegelapan awan di kota Sydney. Dari bumbung bas, titisan hujan lebat menjunam terus ke jalanan.

Aku gosok kedua belah tapak tangan dan hembuskan nafas suam ke sarung tangan. Kemudian aku tekup kedua belah telinga ku yang sudah kemerahan digigit cuaca sejuk.

Hari pertama musim luruh adalah sesuatu yang aku nantikan setiap tahun. Jalan selalu lengang. Pada waktu begini, tiada yang berpusu masuk ke dalam bas atau membawa anjing berkeliaran di taman pada awal pagi. Ramai yang masih lena diulit mimpi indah atau enak dibalut selimut dengan kaki bersarung stokin tebal.

Jika tidak terganggu tidurku dek tindihan kaki dan pelukan teman serumahku Iman yang membentang selimutnya disebelahku semalam, aku pasti masih berselubung juga. Katanya, dia takut hantu bergayut di hujung katil selepas dia menonton "Annabelle" lewat malam semalam.

Aku ketawa sambil berpura mencampak selimutnya jauh dariku. Lucu benar reaksinya. Mana ada hantu di negara orang putih. Kalau ada pun, mungkin hantu itu lebih takutkan teriakan dia yang kuatnya boleh didengar seluruh penghuni pangsapuri.

Tiba di hentian bas, aku masukkan tangan kanan ke dalam poket jaket buluku yang berwarna coklat. Aku keluarkan dompet sambil mencari ruang kosong di tempat duduk. Seperti biasa sambil menunggu bas ke Bondi Beach, pertama sekali aku periksa jumlah duit yang ada. Takut tak cukup untuk aku pergi ke beberapa tempat selepas selesai berjalan sepanjang Coastal Walk.

Kata Iman, beberapa hari yang lepas dia nampak ikan paus di Tamarama. Beria dia menghantar gambar kepadaku tapi yang kelihatan hanya semburan air di tengah laut. Aku fikir elok aku pergi sendiri hari ni. Mana tau ada tuahku dapat melihat sendiri ikan-ikan paus girang bersilang lompatan.

Aku juga mahu ke Fish Market untuk menjamah makanan laut yang segar dan seterusnya ke Vintage Market untuk mencari barangan antik yang diminta bapaku sebelum dia datang untuk menghadiri majlis graduasi ku.

Tinggal dua minggu sebelum aku meninggalkan bandar ini yang sudah menjadi tempat tinggal ku selama enam tahun. Perasaan sedih dan gembira bercampur baur.

Bahagian sedih adalah kerana terpaksa meninggalkan rutin ku di bandar ni seperti gimnasium kegemaranku yang beroperasi dua puluh empat jam, restoran yang menjual lempeng coklat kegemaran juga cahaya jalan di waktu malam yang selalu aku kira tiang nya sepanjang perjalanan aku pulang ke rumah dari kolej.

Kalau ikutkan hati aku pasti terus tinggal di sini. Malangnya, tuntutan biasiswa yang aku terima menyebabkan aku perlu terus pulang dan mula berkerja di Malaysia. Iman juga tak habis-habis merungut tak mahu pulang ke Malaysia.

Tak dapat gaji cukup untuk membeli-belah katanya. Ayat yang pasti aku balas dengan hinggapan cubitan di pipinya.

Tak bersyukur punya Iman.

Yang kemudian akan dibalas dia dengan cebikan masam di wajahnya.

Empat tahun membesar bersama di bandar ini membuatkan kami rapat. Dia seperti seorang adik yang manja dan sentiasa menghiburkan aku saat aku perlukan seseorang untuk berkongsi kesunyian jauh dari rakan-rakan dan bapaku. Aku pasti bersedih bila perlu berjauhan dengannya nanti.

Ralit aku tersengih seorang sewaktu bas menghampiri hentian. Aku segera bangun dan betulkan hujung jaket yang terlipat di celah peha. Rambut aku sikat dengan jari dan biarkan menjurai melepasi bahu. Sedang aku melangkah ke hadapan pintu bas untuk bersedia sebelum ia dibuka, tiba-tiba bahu ku dicuit seseorang.

"You dropped your photo on the floor." 




Kamu Bandar Yang Takkan Pernah Hilang (WIP)Where stories live. Discover now