Bab 20 : Kehilangan

15.7K 277 2
                                    

Entah kenapa sejak pagi tadi hatinya resah. Naura masuk ke bilik Taufiq Nizamuddean. Diambil tangan anaknya, dicium penuh kasih. Kemudian Naura mencium pipi dan dahi Taufiq. Taufiq yang terlena menggeliat dan masih terlena. Selepas makan tengah hari dan mandi tadi, Taufiq terus terlelap.

"Sayang anak umi ni. Penat ya tolong umi baking tadi."

Ujar Naura sambil tangannya mengusap lembut rambut Taufiq. Entah kenapa hatinya terasa sayu melihat wajah buah hatinya itu. Sekejap lagi suaminya akan pulang untuk membawa Taufiq bersiar-siar sementara Naura mengemas rumah.

======

"Jom sayang, kita keluar pergi jalan-jalan. Nak ikut abi tak?" Tanya Nazim kepada Taufiq.

"Nak itut." Jawab Taufiq sambil melompat kegembiraan.

"Abi, Fiq nak makan aiskrim."

"Yelah, abi bawa Fiq pergi Tesco nak?"

"Yeayy.. Umi itut tak?" Soal Taufiq Nizamuddean sambil memandang ke arah Naura.

Naura tersenyum lantas menjawab, "Umi tak ikut sayang, Fiq behave ya. Dengar cakap abi."

"Okey." Jawab Taufiq Nizamuddean sambil mengangguk laju.

"Dah, jom pergi. Sayang take care ya. Jangan lupa tutup gate tu." Pesan Nazim kepada Naura sebelum keluar rumah.

Naura memeluk erat tubuh Taufiq. Entah kenapa dengan perasaannya ketika itu. Dirasakan Taufiq seperti pergi jauh darinya.

"Umi, nak itut kew?" Soal Taufiq.

"Tak, umi tak ikut. Kiss umi cepat." Naura menyuakan pipinya kepada Taufiq. Taufiq mencium kedua belah pipi, dahi dan bibir Naura.

" Umi jaga diri tau. Sayangggg umi."

Pertama kali ayat sedemikian keluar dari mulut anak kecil itu membuat Naura terpaku. Naura terharu.

"Fiq, cepat!" Laung Nazim yang sudah menunggu di pintu kereta sebelah penumpang.

"Tata umi.. Bye.." Laung Taufiq Nizamuddean. Nazim mendukung Taufiq Nizamuddean dan diletakkan baby car seat di sebelah pemandu.

Selepas memastikan pintu pagar rumah tertutup rapat, Naura memulakan kerja-kerja mengemas rumah yang berbaki. Hampir sejam mengemas, akhirnya selesai juga mengemas rumah.

Baru saja selesai mencuci mug yang digunakan sebentar tadi, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

"Hello, assalammualaikum."

"Waalaikumsalam. Ini Puan Naura ke?"

"Ya saya."

"Saya daripada hospital Shah Alam. "

"Ya? "

"Saya harap puan bersabar ya. Suami dan anak puan mengalami kemalangan jalan raya. Mereka sekarang berada dalam I.C.U.."

Terduduk Naura mendengar berita yang baru didengarinya. Air matanya laju membasahi mukanya.

"Terima kasih encik. Saya datang sekarang juga."

Naura bergegas ke Hospital Besar Shah Alam setelah bersiap seadanya. Dia sempat memaklumkan berita itu kepada bonda dan ayah mertuanya.

"Macam mana keadaan suami dan anak saya doktor?"

"Suami puan kritikal dan..... "

"Anak saya macam mana doktor?"

"Maafkan kami puan, anak puan tak dapat kami selamatkan. Saya harap puan dan keluarga tabah ya. "

Sekali lagi Naura terduduk, menangis lebih lama. Badannya terasa lembik dan kepalanya terasa berat.

"Ya Allah.."

Bonda dan ayah yang baru tiba di hospital terus meluru dan menerpa ke arah Naura apabila melihat keadaan Naura.

"Allah ambil Fiq, bonda." Lantas bonda memeluk erat tubuh menantunya. Memberikan kekuatan kepada Naura. Air matanya turut mengalir.

Tuan Rashid pula menyeka air mata yang bergenang di tubir matanya dan meraup wajahnya. Lantas mengusap belakang Naura.

"Sabar ya nak. Ayah akan bantu uruskan jenazah Fiq."

Nazim masih belum sedar dan ditemani oleh ayahnya. Manakala Naura dibawa pulang oleh bonda dan Najihuddean.

Usai menunaikan solat Isya' , Naura masuk ke bilik Taufiq. Diambilnya baju Taufiq dan dipeluknya erat seolah-olah memeluk anaknya. Air matanya tumpah lagi. Mata Naura mulai membengkak. Naura memeluk erat baju Taufiq sehingga tertidur di tepu katil Taufiq.

Pagi itu, Naura melihat wajah Taufiq buat kali terakhir di bilik mayat. Dicium dan dimandikan jenazah anaknya dengan bantuan petugas hospital.

Naura mengiringi jenazah Taufiq sehingga ke kubur. Usai upacara pengebumian, Naura masih lagi duduk di sisi pusara anaknya.

"Tunggu umi dan abi dekat syurga ya Fiq."

Naura memegang batu nisan kubur anaknya. Dari jauh, bonda, ayah, mama, papa dan emaknya memerhatikan Naura penuh sayu. Mereka membiarkan Naura melepaskan kesedihan di pusara Taufiq. Hampir dua jam Naura berada di tanah perkuburan itu. Bonda dan ayah telah meninggalkan Naura untuk menjenguk Nazim, manakala papa dan emak Naura menguruskan kenduri tahlil buat Taufiq di rumah. Hanya mamanya yang setia menanti Naura.

"Cukuplah Naura. Kuatkan semangat. Sekurang-kurangnya Naura dah pasti Fiq jadi penghuni syurga. Naura kena kuat demi Nazim ya nak." Pujuk mamanya.

Naura menyeka air matanya yang entah berapa kali tumpah sejak semalam.Mukanya juga sudah lesu dan pucat.

Mereka bingkas bangun dan meninggalkan tanah perkuburan. Naura bermalam di rumah mamanya hari itu. Sempat juga dia menziarahi Nazim di hospital. Nazim sudah dipindahkan ke wad kelas satu.

"Umi jaga diri tau" terngiang-ngiang pesanan terakhir Taufiq kepadanya.

"Ya, aku kena jaga diri, aku kena kuat. Aku kena kuat demi Nazim." Naura menanamkan tekad dalam dirinya. Dia harus tabah dan redha dengan ujian ini.  Setelah selesai menguruskan hal ehwal anaknya dan urusan suaminya, Naura kembali menjaga Nazim di dalam wad.

Seminggu berlalu, Nazim masih tidak sedarkan diri. Sudah empat hari Naura berkampung di bilik Nazim. Meskipun penat dan sedih, Naura tidak mahu terus menerus menyusahkan keluarga dan keluarga mertuanya meskipun mereka sendiri yang menawarkan bantuan. Sesekali bonda dan ayah datang melawat, waktu itulah Naura pulang ke rumah untuk membasuh baju dan membawa baju baru sebagai persalinannya di hospital.

Akhirnya Nazim sedar dari 'tidur' nya. Naura memanggil jururawat dan doktor untuk memastikan keadaan Nazim.

NAURATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang