Bab 1

590 10 0
                                    

Maaf puan, daripada rekod saya dari mahkamah Qadi, puan dan bekas suami puan berpisah atas persetujuan bersama, disertai dengan syarat yang tertentu. Salah satunya, puan bersetuju tidak akan menuntut nafkah iddah, mutaah dan sebagainya. Jadi, kalau kes ini puan ingin teruskan, saya tak rasa permohonan puan bakal diterima."

Berjela-jela penerangan Thaqiff pada sepasang suami isteri yang kini duduk di hadapannya. Sedaya upaya dia gunakan bahasa yang mudah difahami meskipun kedengaran agak formal.

"Tapi waktu tu saya nak tuntut fasakh dari dia. Kalau saya tak setuju dengan syarat yang dia beri, dia tak akan lepaskan saya," bidas wanita tersebut sambil menaikkan semula hujung selendangnya yang jatuh ke bahu.

"Saya terdesak masa tu Encik Thaqiff. Tolonglah Encik Thaqiff faham keadaan saya," ucap wanita itu sambil memandang resah ke arah suami yang duduk di sebelahnya.

"Saya faham puan. Saya faham keadaan puan tapi rayuan puan ni memang tak munasabah kerana mengikut kitab Al Fiqh Al Islami wa Adillatul jilid 6 Dar Al Fikr 1997 muka surat 4377-4378 ada menyatakan bahawa pelepasan Ibrak ada dua." Thaqiff menaikkan jari tangannya meskipun di hadapannya, pasangan suami isteri itu sudah pasang muka masam.

"Perkara yang hendak diibrakkan adalah berupa hak dan perkara yang hendak diibrakan itu hendaklah wujud ketika ibrak dilakukan. Sedangkan Mutaah dan Iddah tak wujud semasa perjanjian itu dimeterai kerana pada waktu itu, bekas suami puan belum lagi lafazkan talak pada puan."

"Tapi awak kan seorang peguam." Suami pada wanita itu mula bersuara. Mungkin dia rasa tak puas hati dengan jawapan yang Thaqiff berikan.

"Tak kan tak ada cara nak menangkan kes isteri saya? Apa guna kami bayar awak mahal-mahal kalau perkara senang macam ni pun awak tak reti nak buat!" Tangan lelaki itu mula membuat onar. Tepi meja yang hanya pegun di situ menjadi tempat melepaskan rasa amarahnya.

"Ya, saya seorang peguam yang encik telah bayar tapi saya juga seorang hamba yang ada Tuhan sama dengan Tuhan encik. Wajib bagi saya mengikut syariat yang telah ditetapkan. Mana mungkin saya ingin mengingkari arahan Tuhan saya semata-mata demi duit encik." Pen yang bermain di jari Thaqiff turut terhenti. Mereka berdua datang ke sini untuk meminta nasihat dan itulah yang Thaqiff berikan.

"Encik kena fahamkan perkara ni kerana inilah undang-undang yang telah ditetapkan!" terang Thaqiff lagi.

Intonasinya masih cuba dikawal meskipun aras amarah bagai terpancing juga bila ucapan lelaki itu kedengaran begitu sinis. Apa, ingat integriti seorang peguam serendah itu ke?

"Huh! Ingat ni je ke syarikat guaman yang ada kat Malaysia? Ada banyak lagilah malah lebih hebat dari syarikat kecik ni!" bentak lelaki itu lantas berdiri.

"Jom, kita cari peguam yang lebih handal dari ni!" tangan si isteri direntap kasar seraya berjalan keluar dari bilik rundingan. Tak cukup dengan itu, pintu bilik pun dihempasnya kuat.

"Allahurabbi, macam-macam manusia ni. Aku peguam aku pulak yang dia marah, apa salah aku?" menggeleng Thaqiff melihat perangai pasangan itu.

Thaqiff tersenyum sendiri meskipun terasa juga bengkak di hati bila diperlakukan begitu namun, alah bisa tegal biasa. Kalau dia ikutkan rasa hati, maksudnya boleh mati awal dia disebabkan stres.

"Kenapa tu?" terburu-buru Waiz masuk ke bilik rundingan sebaik terdengar bunyi pintu dihempas kuat. Syarikat guaman Jannah & Co ni tidaklah seluas mana. Apa yang terjadi di hujung sini pasti didengari di hujung sana.

"Qiff awak okey ke?"

Kali ini Jannah pula yang meluru masuk sebaik dia melihat mimik muka klien yang baru keluar dari bilik rundingan. Bengis, macam nak bunuh orang. Jannah yang melihat pun seram sejuk dibuatnya.

Topeng Si Pemuja HatiWhere stories live. Discover now