BAB 1

31.8K 405 7
                                    

PROLOG I

Assalamulaikum kekasih hati,

Assalamualaikum pendamping diri,

Tak pernah kubayangkan,

Kau tawarkan genggaman,

Mengubati luka di jiwa... - Teratai Nur.

Assalamualaikum Beijing : Asma Nadia.

PROLOG II

JASAD yang bagai tak bernyawa itu dipandang penuh kesal. Dia menggeleng berkali-kali. Jika bukan mata kepala sendiri yang melihat, tak mahu dia percaya apa yang sedang terjadi. Matanya merah menahan tangis. Penumbuk digenggam kemas. Setelah dia bertahan, ini yang dia dapat.

Tuhan... Telapak tangan diraup ke muka. Disembunyikan tangis yang mahu pecah. Dia menapak mendekati jasad yang cuba bangun dan sedikit terhuyung-hayang.

"Kenapa kau buat aku macam ni?" Soalan itu menderam daripada dalam rengkung. Namun, tiada berjawapan.

"Kau dah janji tapi kenapa kau tetap buat aku macam ni?" Ditekan lagi soalan yang sama tapi masih tiada jawapan yang dia dapat.

"Kenapa, Nur? Kenapa?" Tangannya menggenggam bahu Teratai Nur kuat. Tapi, bila wanita itu sekadar ketawa seperti orang gila, sabar dia yang tipis rabak begitu saja.

"Kau lupa mana aku kutip kau? Kau dah lupa apa janji kau pada aku?!"

Terkedu dengan soalan Ziyad, Teratai Nur renung mata lelaki itu lama.

"Jadi, buang balik ke tempat aku dikutip," sahutnya perlahan.

Apa lagi yang mahu dia pertahankan bila benteng kepercayaan Ziyad sudah roboh begitu saja.

"Teratai Nur!!!" Bergema suara Ziyad dan serentak itu telapak tangan dia hinggap buat pertama kalinya pada pipi yang nampak cengkung itu.

Tak dapat menahan tamparan yang begitu padu, Teratai Nur jatuh tersembam pada dinding. Menahan kepala yang begitu menyengat sakitnya. Segalanya berputar ligat. Seperti dunia mahu terbalik. Diraba dahi. Pedih. Dahi dia berdarah.

Kepalanya menoleh pada Ziyad yang sedang menitiskan air mata. Murahnya air mata lelaki gagah itu saat ini. Sampaikan dia juga mahu menangis tapi dia pilih untuk ukir senyuman biarpun payah.

Hati Ziyad pecah dikerjakan wanita yang begitu dia sayang. Air matanya mengalir bagai hujan asid yang begitu menyakitkan.

"Kenapa buat abang macam ni, Nur?" Lutut Ziyad jatuh ke bumi. Menekur wajah ke lantai takdir. 

BAB 1

LANGIT kelam tanpa bintang. Ditambah pula dengan angin yang berpuput lembut. Menggigit kulitnya yang sudah sedia kedinginan. Memikirkan keindahan kejadian alam, hatinya dilanda sebu. Menghitung hari-hari terakhir dia di sini...

Ini rumah. Yang begitu jauh dari tempat asalnya. Rumah yang disekat dengan tembok dan pagar besi yang tinggi. Memisahkan dia dengan dunia luar. Jauh berada di tengah-tengah orang asing yang bagaikan keluarga sendiri sedangkan keluarga sendiri sudah menjadi asing sejak sekian lama.

Setahun tidak mudah. Tidak senang untuk dia lepaskan apa yang pernah dirasai. Kesilapan yang ternyata meranapkan seluruh kehidupan. Bayu laut yang menyapa, begitu menenangkan jiwa. Rasa sejuk dan nyaman. Berseorangan di Taman Edible Landscape kala ini mengundang air mata sekali lagi. Merintih tak sudah dengan peluang kedua yang telah Tuhan berikan untuknya.

Bagaikan mati hidup semula. Tak putus asa dia merangkak naik setelah tercampak di dalam jurang hitam yang begitu dalam. Tak mudah untuk dia panjat laluan yang curam bagi melepaskan diri. Seluruh tubuh dia tertinggal parut luka. Yang masih terasa sakitnya. Cuma, nikmat yang dia dapat setelah itu telah membuatkan dia lupa pada kesakitan. Syukurlah masih ada tangan yang sudi memaut dia yang terkapai-kapai berharap pada bantuan.

"Teratai Nur?"

Kepalanya tertoleh bila mendengar nama diseru. Suara yang selalu membisikkan ketenangan saat dirinya kegundahan. Suara yang memujuk waktu dia mahu merajuk. Suara yang optimis kala dia begitu merendah diri.

"Puan." Tangan Puan Hanah digenggam kemas dan ditarik agar Puan Hanah labuhkan duduk di sisinya.

"Buat apa sorang-sorang ni?" Sejak tadi nampak anak seorang ni termenung. Biasanya berteman tapi ni seorang diri. Macam ada masalah. Risau juga dia.

"Ada masalah?"

Teratai Nur geleng dalam senyuman tipis.

"Tak boleh nak tidur, puan."

"Tak sabar nak keluar esok, ya?" Puan Hanah senyum.

Mereka bakal terpisah dan jika ada umur dan rezeki, akan diketemukan lagi. Berat juga hati mahu melepaskan Teratai Nur pergi tapi dia begitu bersyukur dengan peluang yang kini hanya ada selangkah di depan gadis ini.

Mendengarkan soalan Puan Hanah, Teratai Nur menggeleng kecil.

"Agak tak sabar tapi sebenarnya lebih pada takut..." Tipulah jika dia tak gembira bila akhirnya dia akan terbang bebas tapi, berat juga rasa kaki hendak menapak keluar dari sini. Ada masa, dia rasa inilah tempatnya. Biarlah dia kekal di sini memberi semangat pada mereka yang seperti mana dia saat pertama kali menjejakkan kaki di sini.

Bukan sekali dia dicerca. Malah paling hebat dan hingga ke saat ini terkesan dalam hati adalah daripada lidah seseorang yang sampai kini melekat dalam kepalanya. Seseorang yang dah cukup menggambarkan betapa masyarakat tak mahukan manusia seperti dia.

"Lagipun, saya akan rindukan semua yang ada dekat sini. Lebih-lebih lagi puan." Senyuman tawar terukir. Mata mula dirasakan berpasir.

"Teratai Nur..." Puan Hanah senyum lagi dan kali ini lebih lebar. Memaut bahu Teratai Nur lembut.

"Atai adalah salah seorang pelatih kat sini yang cepat sembuh dan kuat semangat untuk sembuh. Kalau nak kata saya pilih kasih pun, katalah sebab saya kena akui, saya paling sayangkan Atai..." Bening mata Teratai Nur dipandang.

Cantik!

Hanya sepatah kata itu dia mampu gambarkan wajah dan pekerti Teratai Nur. Malah sejak pertama kali ada di sini dulu, dia tak perlu banyak kerja nak melayan Teratai Nur. Gadis ini pandai bawa diri. Rajin berusaha sendiri dalam menghargai peluang kedua.

"Saya tahu, Atai berat hati tapi dengan izin Tuhan kita akan bersua lagi. Jangan fikir sangat, ya? Ada masa Atai datang sini melawat kawan-kawan. Bagi semangat. Orang macam kawan-kawan kita kat sini, tiada siapa yang lebih mengerti melainkan mereka yang pernah laluinya." Seperti biasa, pujukan Puan Hanah tetap manis bagai madu.

Teratai Nur mengangguk kecil. Betul kata Puan Hanah tapi jika seluruh manusia terima manusia seperti dia dan kawan-kawannya yang lain seperti mana kata Puan Hanah, dunia ini akan jadi terlalu aman.

"Puan doakan saya, ya?" Jari-jemari Puan digenggam kemas. Tunak pandangannya merenung tautan jari-jemari mereka dengan mata yang sudah mula berair. Liur ditelan berkali-kali membentengi sebak yang cuba menguasai diri.

Mata Puan Hanah mengerdip sekali.

"Nanti, Atai keluar ni... Cari ayah Atai biarpun dia jadikan Atai macam ni dan jangan lupa berterima kasih atas segala apa yang terjadi. Ingat tentang hikmahnya. Bila benda dah jadi, tak guna kita cari sebabnya. Ingat tu," pesan Puan Hanah lembut.

Pesanan Puan Hanah masuk dalam telinga. Tanpa berkata apa, Teratai Nur hanya mengangguk lemah. Jujurnya, dia tak rasa untuk mencari ayah tapi kerana ini adalah pesanan Puan Hanah, dia akan turuti. Tak siapa mengerti. Malah Puan Hanah sendiri tak mungkin faham betapa dia terbuang selama ini. Entah ayah masih hidup atau tidak, dia juga tak tahu.

Bahasa bisu mencelah antara mereka. Teratai Nur memejamkan mata. Ternampak senyuman sepasang doktor muda yang begitu berusaha membantunya. Tapi, kala wajah itu terlayar dalam memori, maki hamun seorang lelaki hadir sama. Renungan lelaki itu, sikap dan kata-kata sinisnya buatkan kaki dia lemah untuk menapak melepasi tembok tinggi ini.

Dia takut!

TAKDIR UNTUK AKUWhere stories live. Discover now