BAB 4

8.9K 221 0
                                    

TERATAI NUR tekur wajah ke bumi. Tersenyum tipis mengingati dua orang doktor yang begitu berjasa dalam hidupnya. Kerana rasa prihatin mereka, dia adalah seperti dirinya sekarang. Ditilik seluruh tubuh. Dah sopan. Dah menutup aurat setelah sekian lama dia biarkan saja terdedah malah dalam keadaan diri yang tak terurus langsung.

Andai diberi peluang, dia mahu peluk kaki kedua-duanya. Menyatakan betapa dia bersyukur atas peluang dan pertolongan. Menjadi asbab dia berubah. Namun, senyum tipis yang manis itu menjadi tawar akhirnya. Wajah seorang lelaki yang dia kenali sebagai Ziyad itu meracun senyumnya.

Kata-kata lelaki itu... Adalah tohmahan terakhir yang sempat memorinya rakam sebelum dia pitam dan yang terakhir itu jugalah yang dia sedang ingat bertahun lama. Namun, yang menjadi persoalan... Tangan kasar siapa yang mengelus pipi dia saat dia hampir pitam sepenuhnya?

Keluhan tipis lepas. Bukan berputus asa tapi dada dia sesak tiba-tiba. Bibir bawah digigit. Mata dipejamkan beberapa saat sebelum memandang jauh ke dada langit. Hari yang panas. Cuaca yang benar-benar elok.

Cebisan kertas pemberian Tia direnung. Tak rasa ada keyakinan langsung nak dihubungi nombor itu tapi dia perlu bekerja untuk kelangsungan hidup. Lagipun, Tia pasti nakkan yang terbaik untuk dia. Tia dah janji akan bantu.

Tubuh diangkat. Menapak perlahan ke arah pondok telefon awam dan dicapai gagangnya. Menggeletar juga jari-jemari mahu menekan nombor. Bimbang harapan itu menjadi layu. Bimbang mendengar herdikan. Tapi, digagahkan juga. Tak lama, dia mendengar suara lelaki menjawab panggilan.

"Saya telefon nak minta kerja. Saya ni, kawan Tiani." Lebih baik dia berterus-terang. Tak perlu berbolak-balik akan asal usulnya kerana pasti akan diketahui. Jika mahu ditolak, biarlah sekarang.

"Tia kata saya akan dapat kerja bila saya telefon nombor ni." Resah hatinya bila yang di talian sana hanya mendiamkan diri.

"Kalau tak boleh, tak apa. Bukan rezeki saya. Saya letak dulu..." Gagang hampir saja disangkut kembali bila dia mendengar suara itu menahan.

"Kejap. Kiranya awak ni yang adik saya selalu cakap tu, ya?"

"Adik?" Dahi Teratai Nur berkerut. Ini abang Tia ke? Tak ada pula Tia cakap apa-apa. Jangan-jangan...

"Tia tu adik encik ke?"

"Ya... Adik. Saya yang hantar dia ke situ bila kami rasa kami tak mampu nak kawal dia lagi." Jujur lelaki itu menjawab. Bukanlah tidak sayang tapi kerana sayanglah dia letak Tiani di situ.

Bibir Teratai Nur sudah berani mengoyak senyum. Setidak-tidaknya, dia tak rasa sukar mana kerana awal-awal lagi abang Tia dah tahu dia siapa walaupun Tia tak pernah bercerita tentang keluarganya. Seperti juga dia yang tak pernah sebut tentang waris. Tidak perlu diceritakan kerana dia membesar sebatang kara.

"Tia ada cakap awak mungkin perlukan kerja tapi saya tak kerja dengan orang tua saya. Jadinya, memang tak tahu ada kerja kosong ke tidak. Tapi, kalau kata awak nak kerja, nanti saya tanyakan. Kalau tak kesah, awak boleh tinggalkan nombor telefon awak pada saya. Saya hubungi awak semula, errr... Alah... Lupa pula nama." Kepala tak gatal digaru. Banyak kali dah Tia sebut nama budak ni bila dia jarang-jarang sekali melawat. Tapi sekarang, dia langsung lupa.

"Atai. Teratai Nur," jawab Teratai laju.

"Oh ya, Atai..." Barulah dia teringat.

"Tia ada bagi tahu nama awak Teratai Nur. Saya lupa sebab nama eksotik sangat." Sempat dia memerli. Memang nama klasik betul.

"Okey, Cik Teratai Nur... Boleh bagi nombor telefon tak ni?"

"Errr... Saya tak ada telefon, encik." Terdetik juga dalam kepala.

Tak akanlah abang Tia ni tak boleh agak dia tak ada telefon? Kalau ada telefon, dia tak pakai telefon awam. Sementelah pula, dia baru keluar dari pusat tahanan. Duit ringgit yang ada pun tak seberapa. Semuanya hasil daripada gaji dia bekerja semasa dalam tahanan.

"Oh, yalah. Silap pula saya." Taufiq tepuk dahi. "Okey senang aje. Awak telefon saya balik petang nanti. Lepas waktu asar."

"Ya, encik. Terima kasih." Nak menanti waktu asar, berjam-jam juga tapi tak apalah jika hanya ini pilihan yang dia ada sekarang. Dia tak layak langsung untuk memilih.

Gagang diletakkan. Dia dah dapat hela nafas lega. Setidak-tidaknya, peluang itu ada. Sekarang, bergantung pada rezeki saja. Jika dah tertulis untuk dia, pasti menjadi milik dia.

Kakinya diatur mencari tempat duduk. Dilabuhkan duduk di perhentian bas. Menarik sebungkus roti dan air kotak yang dibeli tadi bagi mengalas perut yang sedang berbunyi. Baru sekali digigit roti, matanya terpandang tong sampah di depan mata. Kelopak matanya basah. Rengkung mula menyempit.

Dulu... Pernah dia menyelongkar tempat itu. Untuk apa saja. Kemudian, matanya beralih semula pada makanan di atas riba. Air jernih itu menitik juga setitis.

Alhamdulillah Ya Tuhan, atas rezeki yang telah Kau berikan buat hamba hari ini. Moga esok lebih terang sinarnya untuk hamba meniti titian hidup yang begitu curam. 

TAKDIR UNTUK AKUWhere stories live. Discover now