BAB 12

6.7K 155 0
                                    

PINTU bilik mama diketuk sekali. Bila dengar mama mengizinkan, Taufiq masuk ke bilik. Tersenyum pada mama yang nampak baru sahaja selesai bersolat.

"Teratai dah balik, Fiq?"

"Ada lagi dekat bawah. Kejap lagi dia baliklah tu. Kak Mek pun dah masuk berkurung." Taufiq duduk di sisi Puan Talhah.

"Esok Fiq minta Teratai temankan Ziyad sementara kita pergi. Mama bagi dia half-day esok, ya? Fiq cakap mama dah bagi. Nanti kot dia tanya mama, mama cakaplah ya. Dia tu patuh betul dekat mama," komen Taufiq.

Komen Taufiq buatkan Puan Talhah sengih lebar. "Dia pernah cakap, seumur hidup dia akan terhutang budi dekat kita sekeluarga. Lagipun, budak tu sebatang kara, Fiq... Kalau bukan pada kita, pada siapalah lagi dia nak menumpang."

"Mama tahu tentang kisah lepas dia?" Taufiq pasang minat. Manalah tahu apa yang dia rasa ni ada benarnya. Kotlah keyakinan Ziyad juga berasas.

"Ziyad ada cakap dekat Fiq, dia yakin dia pernah jumpa Teratai Nur tu tapi dia lupa dekat mana?"

"Mama tak boleh cakap lebih-lebih, Fiq... Sebab mama tak tahu. Dia tu perahsia sangat. Apa yang mama tahu, mungkin ayah dia hidup lagi..."

"Mungkin?" Taufiq tayang riak terkejut.

"Ya..." Keluhan tipis lepas dari celah bibir Puan Talhah. Dia sendiri tak pernah tanya. Dia tahu sikit-sikit aje.

"Ayah yang dia tak tahu hidup atau mati. Tak tahu dekat mana. Mama tak berani nak tanya sebab bila sebut pasal keluarga, memang muka dia berubah. Nak-nak bila mama sebut tentang Tiani, dia senyum tapi mata dia berair. Mama tahu dia cemburu. Dia rindu ibu ayah dia. Cumanya..." Hai... Malas dah nak cakap. Nanti, dia juga turut sedih.

"Mak dia?"

Bibir Puan Talhah menceber lebar.

"Teratai Nur kata ibu dia dah tinggalkan dia dengan ayah dia lama dah. Sejak hari tu, dia tak pernah tahu."

"Macam mana dia boleh terjebak?" Taufiq tak dapat nafi, dia memang tertanya juga tentang hal itu. Tiani tu sebab kawan-kawan. Tidaklah dia salahkan kawan-kawan Tiani sepenuhnya. Adik dia tu sendiri yang tak kukuh iman dalam dada.

"Itu, Teratai tak pernah cakap. Mama pernah tanya tapi dia memang diam tak jawab apa."

Taufiq diam. Cerita-cerita mama cuba dihadam sebaik mungkin. Hujung jari bergerak mengetuk kepala lutut. Dia pandang ke pintu. Bagai tembus hingga ke bawah. Apalah yang Ziyad tengah buat gamaknya?

"Ziyad macam suka Teratai aje, Fiq..."

"Hah?" Terkejut bila tiba-tiba mama menyoal. Hai... Mama pun boleh perasan. "Fiq rasa dia main-main aje, ma."

"Itulah yang mama risaukan." Puan Talhah sembunyikan resah melalui senyuman yang kelat. Tangan perlahan-lahan melipat telekung.

"Mama dah rasa dia macam anak mama. Mama rasa mama tak boleh nak terima kalau dia dipermainkan. Mama tak izinkan Ziyad dekati dia."

Mama serius! Taufiq telan liur.

"Habis tu, takkan mama nak jodohkan dengan Fiq pula?" Saja memancing. Manalah tahu. Mama nampak suka sangat.

"Mama suka dia tak bermakna mama suka dia jadi menantu mama, Fiq. Anak perempuan dan menantu ni adalah dua kedudukan berbeza. Fiq kena faham. Tapi, kalau Fiq suka... Mama tak akan bantah."

"Maaa..." Panjang dia seru mama. Tangan singgah tepat di belakang tangan mama. "Fiq rasa dia macam adik aje. Mama jangan risau. Tentang Ziyad tu, Fiq akan pastikan dia tak buat yang bukan-bukan dekat anak mama tu. Cumanya..." Taufiq jeda. Memikir tindakan Ziyad.

TAKDIR UNTUK AKUWhere stories live. Discover now