BAB 10

8.2K 187 4
                                    

WAJAH Puan Talhah, Taufiq dan Kak Mek muncul serentak. Terkejut dengan bunyi kaca pecah di dapur setelah dibiarkan Ziyad ke dapur. Tiga pasang mata hanya memandang.

"Yad, kenapa?" Taufiq mendahului. Ditepuk bahu Ziyad yang masih berdiri kaku memandang pada Teratai Nur yang sedang mengutip kaca.

"Errr... Tangan dia licin gamaknya."

"Jangan-jangan kau..." Pandangan yang Taufiq lemparkan saat ini cukup buat Ziyad mengerti. Laju dia menggeleng.

"Aku tak gilalah Fiq nak kacau pekerja mama kau dan dalam rumah kau pula tu. Aku reti lagi hormat orang." Marah juga dia dengan Taufiq ni.

"Kenapa, Fiq?" Puan Talhah mendekat.

"Minta maaf, puan. Gelas terlepas. Pecah." Wajah Teratai Nur penuh rasa bersalah. Dia angkat wajah bila hanya mendengar suara Puan Talhah.

"La... Tak apalah. Gelas aje pun. Dah, biar aje. Kak Mek tolong..."

"Eh, tak apa, puan. Pergilah makan. Nanti saya datang ke depan." Senyuman terukir.

Ziyad telan liur. Walaupun senyuman itu bukan dilempar pada dia, tapi dia tetap mahu sambutnya. Otak dia ligat memikir. Berbelit rasa risau dan penuh syak. Dia makin yakin yang dia dan Teratai Nur pernah bersua. Teratai Nur pernah jadi mangsa dia gamaknya. Tapi, kenapa wajah ini...

Arghhh... Ziyad kalih pada Taufiq.

"Kau pergi makan. Aku tolong dia bersihkan kaca ni."

Gamam Taufiq beberapa saat. Dia sebenarnya tak nak Ziyad tahu siapa sebenarnya Teratai Nur seperti mana dia sorok tentang Tiani. Itu pesan mama. Mama minta dia rahsiakan asal usul Teratai Nur.

"Kau jangan tanya dia lebih-lebih, Yad. Dia tak selesa tu." Riak wajah Taufiq sendiri yang sebenarnya nampak tak selesa.

Dia tak nak Ziyad pandang jengkel pada Teratai Nur. Memandang Teratai Nur buat dia nampak Tiani sepanjang masa. Sementelah pula, itu kawan baik adiknya yang Ziyad sendiri masih tak tahu di mana letaknya sekarang. Dia dan mama menerima kerana mereka mengerti akan keperluan orang sebegini yang mahu disayangi dan diterima di tengah masyarakat. Tapi Ziyad... Keluarga Ziyad berkedudukan malah Ziyad sendiri lain penerimaannya.

"Dia bukan macam perempuan yang pernah kau kenal, Yad. Hadkan sikit jarak kau dengan dia," pesan Taufiq lantas dia berpaling. Tersenyum pada mama dan masing-masing menapak keluar menyambung makan malam.

Ziyad mengeluh tipis mendengarkan kata-kata Taufiq. Prejudis betul kawan baik aku ni. Itulah yang dia fikir. Ya, dia pun dah bunuh niat jahat dia sejak pertama kali Taufiq menegur lagi. Matanya jatuh memandang pada Teratai Nur yang masih lagi mengutip sisa kaca.

"Awak okey?" Ziyad duduk mencangkung di depan gadis itu. Tubuh Teratai Nur berganjak sikit ke belakang.

"Saya minta maaf kalau saya dah takutkan awak."

"Saya tak takut." Dia cuma mahu Ziyad jauhkan diri daripada dia.

"Habis tu, kenapa awak gelisah sangat? Sebab saya cakap saya pernah kenal awak?"

Sepi. Teratai Nur tak membalas.

"Okey." Ziyad akhirnya mengalah.

Hai... Tak pernah-pernah dia mengalah sebelum berjuang. Dia adalah pejuang yang memelihara kedaulatan dan keamanan negara tapi akhirnya tewas di depan gadis yang baru dia kenal ini.

"Kita lupakan. Saya tak pernah kenal awak. Kita tak pernah jumpa. Saya minta maaf. Jadinya, boleh kita mula daripada awal?"

Mata Teratai Nur terangkat. Memandang tepat pada mata Ziyad.

"Nama saya Ziyad."

Dia angguk. Dah tahu. Rasa nak aje dia sinis begitu tapi dia hanya diamkan diri saja. Malas nak panjangkan hal.

"Awak Teratai Nur, kan?"

Dah tahu, nak tanya lagi buat apa? Haih... Teratai Nur kerutkan wajah. Pergilah jauh-jauh. Jangan kacau saya!

"Sebelum ni, ada sesiapa panggil awak Nur?"

Berkerut dahi Teratai Nur dengan soalan Ziyad kali ini. Tapi, dia tetap menggeleng. Sejak dulu, nama timangan dia Atai.

"Okey." Ziyad ketik jari. Tersengih sumbing.

"Boleh saya panggil awak Nur?"

"Kenapa?" Teratai Nur tayang wajah tak mengerti.

"Semua orang panggil saya Teratai. Tak ada lagi yang panggil saya Nur. Kenapa mesti nak panggil saya Nur?"

Senyuman Ziyad semakin meleret. Dia dah jumpa point untuk kenakan Teratai Nur kali ini.

"Sebab tu saya nak panggil Nur. Saya ni berbeza dan saya tak akan jadi salah seorang yang biasa dalam hidup awak. Saya akan jadi luar biasa," ujar Ziyad separuh berbisik.

Matanya jatuh memandang pada tangan Teratai Nur yang sudah berhenti daripada mengutip kaca. Perlahan-lahan, dia jatuhkan tangan. Turut sama mengutip sisa kaca.

"Okey, Nur..."

Wajah Teratai Nur nampak terkejut bila Ziyad bersuara tiba-tiba. Terpinga-pinga dia dibuatnya.

"Boleh tolong ambilkan penyapu? Ini dah kena sapu. Tak boleh kutip lagi. Nanti kena tangan, luka, berdarah, kena pergi hospital, kena masuk wad..."

"Okey, saya ambil." Teratai Nur mencantas. Terus dia bangkit dan berlalu ke belakang pintu. Dah banyak pula cerita dia. Dia kembali dengan penyapu dan penyodok di tangan.

"Bagi, saya sapu," pinta Ziyad tapi Teratai Nur menggeleng.

"Encik Ziyad tetamu. Pergilah duduk depan. Biar saya sapu." Kali ini, ketenangan menyelinap dalam nafas dan alunan suaranya sebaik saja melihat Ziyad sudah mula berhenti daripada terus memprovok dia.

"Okey. Tapi, biar saya teman." Ziyad lompat naik duduk di atas tabletop. Memeluk tubuh yang sasa sambil memerhatikan Teratai Nur sedang buat kerja.

Bagaimana pun Taufiq melarang dan sejauh mana pun dia cuba hadang, fikirannya tetap giat menyelongkar kisah lalu. Dia tahu, dia dan Teratai Nur ada kisah lalu. Dia yakin Taufiq malah Teratai Nur sendiri sedang sembunyikan sesuatu daripada dia. Yang tak mahu dia ketahui.

TAKDIR UNTUK AKUWhere stories live. Discover now