BAB 2

18 0 0
                                    

"Tolonglah lepaskan aku. Aku sanggup bayar berapa pun yang kau nak asalkan kau tak bunuh aku," rayu lelaki di hadapannya itu dengan air mata. Lelaki itu adalah mangsanya hari ini. Tangan dan kaki yang berikat membuatkan pergerakan terikat. Dia tidak mampu lari ke mana-mana. Hanya mampu merayu atau menunggu ajalnya datang.

"Tolonglah. Aku ada anak bini nak kena sara," rayu lelaki itu. Terbayang wajah isteri dan anak-anaknya yang sedang tersenyum manis.

Angel memandang kosong lelaki itu. Riak matanya kosong. Bukannya dia tidak pernah melihat sinar mata lelaki itu. Sebelum ini, sinar mata itu penuh dengan keangkuhan. Tamak. Ego. Angkuh dengan harta yang ada. Tamak dan inginkan lebih dari apa yang dia ada sehinggakan sanggup menganiaya kawan baik sendiri. Dirinya penuh dengan ego.

"Tanpa kau sekalipun, anak bini kau masih mampu hidup. Kewujudan kau hanya menyeksa mereka. Kewujudan kau hanya menambahkan bilangan pendosa yang sedia ada. Kewujudan kau hanya menambahkan dosa orang lain dan diri kau sendiri. Jadi, lebih baik aku tarik nyawa kau," tuturnya perlahan tapi mampu meremangkan bulu roma lelaki itu.

"Aku beri kau satu peluang. Aku akan rekodkan video tentang kau. Kau boleh cakap apa sahaja yang kau mahu. Aku akan hantarkan video tu ke rumah kau. Anggap itu kenangan terakhir dari kau buat keluarga yang kau seksa sebelum ini," ucap Angel. Pelik. Tapi itulah caranya. Dia memberikan satu kenangan buat keluarga sasarannya.

"Kau boleh cakap tentang apa-apa sahaja. Wasiat. Kemaafan. Luahan hati. Terpulang pada kau. Anggap sahaja ini mesej wasiat buat keluarga kau," kata Angel. Dia mengeluarkan telefon pintarnya. Kamera videonya dibuka sebelum dihalakan kepada lelaki itu. Nanti, dia akan pindahkan rakaman itu ke dalam CD bagi memudahkan keluarga mangsanya menonton.

"Mula sekarang," arah Angel. Dia menghalakan kamera telefon pintarnya ke arah lelaki itu.

"Nia, maafkan abang, Nia. Abang tahu abang banyak berdosa pada kau. Abang pukul kau. Abang hina kau. Abang caci kau. Abang curang. Abang berdosa pada anak-anak kita. Maafkan papa, Iman, Syira. Papa pukul kamu. Papa abaikan kamu. Papa hina kamu. Papa khilaf. Di saat ajal hampir menjemput barulah papa sedar semua kesalahan papa. Maafkan papa," ucap lelaki itu. Dia menangis teresak-esak.

"Papa harap, anak-anak papa mampu menjadi orang yang berguna dan mampu bahagiakan mama. Jangan jadi macam papa. Papa teruk! Nia, maafkan abang, sayang. Abang harap Nia akan jumpa lelaki yang jauh lebih baik dari abang. Abang harap Nia akan bahagia dengan anak-anak. Buat anak-anak papa, tolonglah jaga mama kamu. Bahagiakan dia. Berikan dia apa yang papa tak mampu berikan pada dia. Kebahagiaan," sambungnya lagi. Dia mengesat air matanya. Jelas kelihatan wajahnya yang lebam dan bibirnya yang sedikit pecah akibat dibelasah oleh Angel. Dia tersenyum kecil. Walaupun sukar untuk dia mengukirkan senyuman, dia tetap senyum. Dia mahu anak-anak dan isterinya melihat dia tersenyum saat akhir hidupnya.

"Banyak lagi papa nak beritahu kamu semua. Tapi papa dah tak ada banyak masa. Papa cuma minta kamu semua hidup bahagia. Sayangi keluarga kamu. Jangan jadi seperti papa. Gagal dalam mendidik kamu semua. Malahan diri sendiri pun papa tak mampu nak didik," kata lelaki itu. Air mata penyesalan mengalir di pipinya dan bibirnya masih lagi mengukirkan senyuman. Dia menunjukkan isyarat kepada Angel untuk berhenti merakamkannya.

Angel menekan skrin telefonnya. Menghentikan video yang sedang dirakamnya. Dia menyimpan telefon bimbitnya di dalam poket seluarnya.

Beg kecil yang terletak di atas meja kecil dicapainya. Jarum suntikan itu mempunyai cecair yang mampu membunuh mangsanya dalam masa kurang 5 minit. Itulah racun yang dicipta oleh kumpulannya sendiri bagi memudahkan kerja pembunuhan mereka. Cecair itu akan  menyebabkan salur pernafasan lelaki itu menjadi sempit membuatkan dia mati akibat kekurangan oksigen. Dia menyuntik cecair itu ke leher lelaki yang kelihatan sudah hilang separuh nyawa itu sebelum membuka ikatan di tangan dan kakinya lalu melangkah pergi.

Setelah keluar dari rumah lelaki iti, dia menyalakan mancis yang dibawanya sebelum mencampakkannya ke arah rumah lelaki itu.Minyak petrol yang sememangnya sudah dituang ke sekeliling rumah lelaki itu sejak dari mula membuatkan api yang kecil itu bertambah besar sebelum menjadi marak. Membakar rumah itu berserta dengan isinya.

Tugasnya selesai hari ini. Khalid Abu Bakar. Seorang usahawan yang berjaya mati terbakar. Pasti itulah yang akan terpapar di dada akhbar esok.

Tapi tiada siapa tahu, di sebalik kejayaannya, dia menindas mereka yang lemah. Menganiaya kawan baiknya sendiri bagi mendapatkan harta. Memukul anak isterinya. Curang dengan isterinya. Tamak. Makan rasuah.

Itu dosa Khalid. Dan tugas Angel adalah untuk menarik nyawa mereka yang berdosa.



 Dan tugas Angel adalah untuk menarik nyawa mereka yang berdosa

Ups! Gambar ini tidak mengikuti Pedoman Konten kami. Untuk melanjutkan publikasi, hapuslah gambar ini atau unggah gambar lain.
BROKEN ANGELTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang