"LAELA, jangan!"
Tidak dihiraukan tubuhnya yang mula pegal-pegal. Keselamatan Laela yang tertinggal di belakang yang lebih dirisaukan. Namun Daris terlopong apabila Laela sudah berlari ke arahnya. Berjaya melepasi pagar laser tanpa sebarang kesan terbakar!
"Kau okey? Aku nak tengok luka kau!"
Tanpa menunggu keizinan Daris, terus sahaja kolar baju lelaki itu ditarik. Mengintai balutan kain kasa di bahu Daris. Takut kalau-kalau luka Daris kembali berdarah atau semakin parah. Dia menghela nafas lega apabila balutan masih cantik tanpa dicemari cecair merah.
Masih dibius rasa terkejut, Daris hanya mampu terkebil-kebil. Merenung Laela yang dilanda cemas. Hela nafas terasa tersekat-sekat.
Laela baru sahaja melepasi pagar maut yang memakan berpuluh nyawa tak berdosa dengan selamat!
"Laela."
Mengabaikan panggilan Daris, Laela beralih pula pada paha lelaki itu. Namun kerjanya tergendala apabila terpandangkan jeans hitam yang tersarung di tubuh lelaki itu.
"Daris, tanggalkan seluar kau!"
Mata Daris membuntang. Berganda-ganda rasa terkejut dihentak permintaan Laela yang dikategorikan sangat...melampau! Ya, melampau!
"Wait, what?!" Suara garaunya naik beberapa oktaf. Menzahirkan rasa terkejut yang bukan kepalang.
Laela berlutut sebelum duduk di atas kaki sendiri. Wajahnya kelat. Memutar bola mata, tangan dilipat ke dada. Jengkel melihat reaksi Daris yang terlebih dramatik. Mengerti sebab Daris terkejut sampai begitu rupa.
"Tanggalkan seluar kau sekarang!"
Antara percaya dan tidak, Daris membuang pandang ke laman wajah Laela yang nampak serius. Tiada riak bermain-main. Ragu-ragu butang jeans dibuka. Namun zip dibiar tertutup rapat. Hatinya masih dibayangi curiga dengan perubahan tingkah Laela. Masakan gadis itu bernafsu selepas mereka baru sahaja melepasi pagar laser?
Dengan butang jeans yang terbuka, Daris mendekatkan tubuhnya ke hadapan. Menghampiri Laela yang masih pegun. Setia menantinya seluarnya ditarik keluar. Memandang kiri dan kanan sebelum tunak mata terpaku di laman wajah Laela yang bersahaja.
"Kau tak rasa ke tempat sekarang tak sesuai? Buatnya kita syok sangat sampai jatuh tergolek ke bawah bukit sana. Kau tak takut? Lagi pun, why don't you ask me properly? Tak perlulah nak serius sangat. Aku akan bagi apa yang kau nak. Gladly."
Laela membalas dengan pandangan kosong. Kekal tanpa riak, dia mendengus kuat. Bibir bawah digigit geram. Dengan muka tercemik, paha kiri Daris yang luka ditepuk sebelum dicengkam kuat.
Daris mengerang kuat. Tak semena-mena luka di pahanya terasa berdenyut-denyut. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit. Terbongkok-bongkok menghindari tangan dari menyentuh bahagian tubuh yang dikasari Laela.
"Laela!"
Laela pantas berdiri. Menepuk-nepuk tangan ala-ala membuang kotoran yang terlekat sambil mempamerkan senyuman sinis.
"Tu sebabnya kenapa aku suruh kau tanggalkan seluar. Tak ada niat lain. Tapi tengok pada keadaan kau yang 'normal' tu, I think there is nothing to worry about." Sengaja Laela menekankan perkataan 'normal', menggambarkan diri Daris yang biasa dilihat.
Pedang yang masih tersandang di bahu dijadikan tongkat. Dengan muka yang berkerunyut, pedangnya dijadikan tongkat menampan berat tubuh. Membantunya berdiri tegak semula. Renungan tajam terpanah tepat ke muka Laela. Persis mahu ditelan gadis itu hidup-hidup.
"Tak ada orang yang berani buat aku macam tu." Bicaranya keras seolah-olah sedang memberi amaran.
Semakin senget bibir Laela, mengejek.
"Then, I'll be the first one."
Daris mengetap gigi, menahan pusaran rasa geram dan marah. Reaksi Laela seperti sedang mencabarnya. Kalaulah tidak kerana luka di paha dan bahunya, waktu itu juga dia mahu mencempung Laela dan campak ke tanah. Biar dia tahu rasa.
Derapan ranting dipijak mengganggu fokus. Merasakan bahaya mendekat, pantas lengan Laela dicapai. Ditarik gadis itu ke belakangnya manakala sebelah tangan lagi mengangkat pedang. Bersiaga pada ancaman yang bakal menjelma.
Takut dan cemas, Laela menyembunyikan diri di belakang Daris. Sorot matanya tertumpu pada hutan di mana datangnya bunyi-bunyi yang menaikkan bulu roma. Fabrik baju Daris digenggam kuat.
Hampir Laela terjerit apabila seekor chupacabra muncul dari celah-celah hutan. Kecut perut menentang matanya yang merah menyala. Lidahnya terjulur-julur ke bawah. Membiarkan titisan air liur menitik ke tanah.
Di luar sedar, pinggang Daris dipeluk erat. Seperti tidak mahu dilepaskan. Menyembunyikan sebahagian muka di sebalik bahu kanan Daris, chupacabra yang bersiap-sedia menyerang diintai.
"Argghh!"
Laela terperanjat apabila binatang hodoh itu melompat mahu menerkam mereka berdua. Namun dia lebih terkejut ketika chupacabra itu menggelupur di ruang tengah antara dua tiang laser sebelum hangus terbakar. Sekelip mata bertukar menjadi debu. Degupan jantung yang kencang reda semula. Hanya bau hangit menusuk rongga hidung.
Daris hanya terbius. Membuang pandang pada debu-debu hitam chupacabra yang luruh ke tanah. Rahangnya bergerak-gerak. Benaknya sedang diganggu suatu kemusykilan.
Merasakan Daris keras kejung tanpa gerakan, Laela merungkai rangkulan. Lambat-lambat dia mengintai ke muka lelaki itu. Mencari jawapan punca dia tiba-tiba berdiam diri.
"Daris?"
Dap! Degup jantung Laela terhenti tika anak mata hitam Daris menombak ke mukanya.
"Siapa kau yang sebenarnya Laela?"
Kali ini giliran Laela pula yang terkaku. Terkedip-kedip membalas renungan tajam Daris. Tidak mengerti maksud pertanyaan lelaki itu tetapi dia tetap mengerah otak mencari jawapan.
"Jawab soalan aku Laela!"
Fungsi otak Laela berterabur apabila hujung mata pedang Daris yang berkilat terhunus betul-betul di batang lehernya. Sepasang matanya membulat. Terperanjat menyaksikan perubahan Daris yang mendadak. Dadanya berombak kencang. Sesak nafas merasakan mata pedang mencucuk ke kulit lehernya.
"Siapa kau?!"
Jerkahan Daris membuat Laela terpejam rapat. Ketakutan sehingga penjuru matanya basah.
"Aku takkan teragak-agak nak bunuh kau kat sini!"
Sepi. Yang kedengaran hanyalah deru nafas Laela. Ketakutan apabila dirasakan nyawanya berada di hujung tanduk. Bukan, hujung mata pedang Daris!
Mencelikkan mata, wajah Daris berkabut gara-gara genangan air jernih yang bertakung di kelopak mata.
"Aku...aku...kau...kau yang lebih kenal aku. Kau yang jumpa aku." Dapat dirasakan tubuhnya menggigil. Sebahagian hati ingin menjerit, memarahi Daris yang berubah tiba-tiba.
"Kau perangkap aku?!"
Bulat mencerlang bola mata Daris, menikam ke wajah Laela yang pucat. Amarah mencanak naik. Memikirkan barangkali gadis di hadapannya itu adalah perangkap. Perangkap yang mahu memusnahkannya.
"Tak. Aku tak perangkap siapa-siapa. Aku sesat. Aku jatuh dalam tasik. Tiba-tiba aku ada kat dimensi ni." Laela cuba menjernihkan semula fikiran Daris yang terganggu. Mengheret semula lelaki itu pada pertemuan pertama mereka. Dalam masa yang sama, Laela berjaga-jaga, Bimbang kalau mata pedang menembusi lapisan kulit.
"Kk...kita dah sampai sini, Daris. Kita nak selamatkan ayah aku. Kenapa kau tiba-tiba jadi macam ni?"
Mencerun tajam, Daris masih setia memusatkan pandangan ke muka Laela. Tiada sedikit pun belas kasihan yang muncul melihat ketakutan Laela.
"Aku benci penipu. Aku benci pengkhianat."

YOU ARE READING
TRIS
General FictionTRIS SESAT. Namun nasib Laela baik bila dia ditemukan dengan lelaki misteri berkelubung yang menyelamatkan nyawanya. Satu-satunya cara untuk mencari jalan pulang adalah, mengikut lelaki itu. "Jangan ikut aku!" Lelaki itu tidak langsung menoleh. ...