MASING-masing terpaku melihat lelaki berpedang di hadapan mata. Rambut panjang dan kusutnya luruh ke lantai. Masih tetap membisu ketika lelaki itu mengikis jambang di sekitar dagunya hanya menggunakan pedang.
"Errr..." Salah seorang tentera menurunkan senapang. Diikuti dengan rakan-rakan yang lain.
"Qaiser Amir."
Tentera-tentera mula menjatuhkan sebelah lutut di atas lantai, sementara sebelah lagi menampan tubuh. Kepala ditundukkan sedikit sebagai tanda hormat dan sembah pada pemerintah kedua Kerajaan Dawama. Satu-satunya putera kepada Qaiser Humam Iskandar.
Josh tergamam. Tak semena-mena tubuhnya menggigil. Tidak menyangka tahanan yang tertangkap itu adalah Qaiser Amir, antara lelaki terpenting dalam kerajaan. Orang yang dikasari adalah orang yang sepatutnya dihormati.
"Qaiser Amir Shakeel." Terus sahaja Josh menjatuhkan sebelah lutut, sama seperti tentera-tentera lain. Kepalanya ditundukkan lebih rendah. Sedar, dia orang yang paling banyak melakukan kesilapan. Mengasari Qaiser Amir.
Daris membuang renungan tajam pada Josh. Memang dia marah. Namun mengamuk bukan caranya. Sebagai Amir, dia sedia maklum bagaimana keadaan layanan di penjara. Masakan pengawal penjara mahu memberi layanan penuh kasih sayang pada tawanan.
Tetapi dia berasa tercabar apabila lelaki itu berterusan menyebut tentang Laela. Lagi pula dia terpaksa. Jika terkurung, bererti dia terpaksa merelakan Laela diratah. Kerana adalah mustahil untuknya keluar dari penjara dalam keadaan selamat dan bernyawa.
Satu hal yang dia boleh puji, tahap keselamatan penjara Dawama sangat cemerlang.
Lambat-lambat Daris menapak ke arah Josh sambil menyeret pedangnya di atas lantai.
Josh yang tertunduk, terketar. Semakin rendah kepalanya.
"Hamba mohon ampun. Hamba tahu hamba salah, tuanku." Hilang sudah kegarangannya. Diganti dengan suara rendah bernada rayuan.
"Bangun!"
Garau suara Daris mencecah telinga Josh. Hampir dia rebah ketika mata pedang Daris mendarat di atas bahu kirinya. Lambat-lambat dia bangun. Masih menundukkan kepala. Tidak berani langsung menentang pandang Qaiser Amir.
"Aku tahu penjara ni memerlukan ketua garang macam kau." Daris menggerakkan mata pedang ke rahang Josh.
"Tapi aku tak boleh maafkan kau untuk setiap penghinaan pada isteri aku."
Fokus mata Josh tepat pada mata pedang yang kini berada di dagunya. Berkilau besi itu buat dia telan liur. Sesal datang bertimpa-timpa saat corak khas yang terukir di sepanjang mata pedang. Corak diraja! Khas dimilikki oleh Keluarga Diraja Tris sahaja.
"Kau perkecilkan pedang aku. Kau rasa apa yang dia boleh buat sekarang?"
"Ham... hamba mohon ampun tuanku. Ampunkan hamba. Hamba minta maaf untuk setiap penghinaan hamba pada Qaiser Amirah juga." Josh terpejam celik.
"Huh!"
Daris pantas memasukkan pedang ke dalam sarungnya semula lalu disandang ke belakang semula.
"Sebelum ada tentera kau sentuh isteri aku, baik kau pergi keluarkan dia. Ingat Josh, kalau ada tentera kau yang berani letak jemari dia atas kulit Laela, aku tak kan teragak-agak untuk potong tangan dia!"
Josh yang menikus pantas menunduk. Bersiap sedia melaksanakan arahan sang qaiser amir. Tanpa menunggu lama, dia pantas berlari bergegas menuruni tangga ke tingkat bawah. Sampai lupa mereka memilikki teknologi lif.

YOU ARE READING
TRIS
General FictionTRIS SESAT. Namun nasib Laela baik bila dia ditemukan dengan lelaki misteri berkelubung yang menyelamatkan nyawanya. Satu-satunya cara untuk mencari jalan pulang adalah, mengikut lelaki itu. "Jangan ikut aku!" Lelaki itu tidak langsung menoleh. ...