BAB 1

1K 16 0
                                    

1

"OKAY, fine! Kalau hati you dah bulat nak menapak ke mahkamah syariah, go ahead! It's okay with me, Fea."

Dia terkedu. Semudah itu sebuah ikatan yang telah termeteri selama 19 tahun hendak dirungkaikan?

"You boleh pergi tinggalkan I, Fea. I tahu selama kita hidup bersuami isteri ni, hanya jasad you aje yang berada di sisi I sedangkan hati you dah dibawa pergi oleh orang lain. Kenapa, Fea? Kenapa dulu you terima lamaran I kalau you sebenarnya tak pernah mencintai I?"

"Zik, apa yang you cakap ni? Kenapa you putarbelitkan fakta? Jadi sekarang ni you nak letakkan semua kesalahan ke bahu I? Lelaki jenis apa you ni, Zik?"

"Lelaki yang you tak pernah cintai!"

Perempuan bernama Puan Sofea itu ketawa besar. Ketawa yang nyata dibuat-buat.

"19 tahun I di sisi you sebagai seorang isteri, tergamak you kata I tak pernah mencintai you? Jadi, sekarang you nak tuduh I curang pulak dengan you?" jerkah Puan Sofea dengan wajah yang membara dengan kemarahan.

Encik Zikri geleng kepala.

"Tak! Jasad you memang tak pernah curang dengan I. Tapi I tahu Fea, selama ni hati you selalu mengembara mencari si dia, kan? Tercari-cari, tertanya-tanya di manakah dia. You masih merindui dia, kan?"

Puan Sofea terduduk di kusyen empuk. Wajahnya mendung. Untuk seketika tuduhan suaminya terbiar tanpa jawapan.

"Kenapa you diam, Fea?" Encik Zikri terus mendesak kepada sebuah jawapan.

"You ni pak nujum ke, yang boleh teropong ke dalam hati I? Jangan tuduh melulu, Zik."

"Kenapa you masih nak bersembunyi di sebalik topeng?"

"Sembunyikan apa? Topeng apa? Hey, Zik, you yang menduakan I. Perempuan mana yang sanggup dimadukan? Selama 6 bulan you sembunyikan sebuah hakikat yang you dah bernikah dengan perempuan tu tanpa pengetahuan I. Tindakan you ni benar-benar mencabar maruah I sebagai seorang isteri, tahu tak!" Puan Sofea menjerit-jerit meluahkan perasaannya.

"Fea..."

"Biar I habis dulu!" jerkahannya membuatkan Encik Zikri terdiam. "Lepas you curang dengan I, you persoalkan pulak perasaan I pada you? Suami apa you ni, Zik?"

"Tenang, Fea. I minta maaf sebab nikah satu lagi tanpa izin you. Tapi tolonglah, demi anak-anak kita, jangan bertindak ikut perasaan." Encik Zikri merayu.

"Tak boleh! I jijik dengan you. Jijik!! Jijik memikirkan malam tadi you peluk perempuan tu, dan malam ni you nak peluk I pulak. Heeiii!!!"

"Fea, fikir dulu. Jangan terburu-buru bagi jawapan."

"I dah fikir masak-masak, Zik. Sekarang ni, I dah malas nak fikir."

"Jadi, you tetap dengan keputusan you nak bercerai?"

"Buat apa berkongsi kasih? Tak, I tak sanggup. You ingat I ni tak laku ke?"

Encik Zikri menyengih. "Macamlah selama ni you dah curahkan kasih penuh sebaldi pada I!" ejeknya.

"You jangan sesekali menuduh kalau sebenarnya you tak pasti. I tak pernah curang dengan you, Zik!"

Encik Zikri mengeluh. Dia bergerak ke tepi jendela lalu membuang pandang keluar.

"Okey, kalau you dah tetap dengan keputusan you untuk bercerai, I tak boleh buat apa-apa untuk menghalang. Cuma ada satu syarat..."

"Syarat?"

"Salah seorang anak akan ikut I."

"What? I sebagai ibu berhak terhadap anak-anak I, Zik! I yang mengandung dan melahirkan mereka dengan segala susah payah!" Puan Sofea menjerit.

"Habis, I sebagai ayah mereka tak ada hak langsung terhadap anak-anak?" Encik Zikri menyergah. Suaranya sama kuat dengan jeritan Puan Sofea. "Itu aje syaratnya, Fea. Salah seorang daripada mereka akan tinggal bersama I."

Dia tidak dapat menadah telinganya lagi. Senangnya mereka berdua membuat keputusan bagi pihak orang lain. Bagaikan insan-insan lain tidak mempunyai makna langsung di sisi mereka.

"Anne akan ikut I." Encik Zikri bersuara tegas ke arah Puan Sofea.

"No... no... no! You jangan jadi kejam, Zik. Sanggup you pisahkan mereka?"

"Habis, siapa? Yaya?" Encik Zikri mendengus.

Puan Sofea kebuntuan.


ANNESSA menunggu sehingga papa dan mamanya meninggalkan ruang tamu sebelum melangkah keluar dari tempat persembunyiannya. Perasaannya ketika itu hanya TUHAN saja yang tahu. Hiba menyentap-nyentap dadanya.

Kakinya terasa berat. Dia tidak terdaya hendak melangkah lagi lalu kemudiannya terduduk di atas kusyen tenggelam punggung.

Dingin hubungan di antara papa dan mamanya sudah terlalu lama. Malah kehambarannya cukup jelas kepada setiap individu di dalam rumah itu, kecuali mungkin kepada Aleya yang masih terlalu mentah untuk menjadi seorang penilai. Mereka tidak perlu menyembunyikan hakikat daripada orang lain tentang hubungan yang seumpama retak menanti belah.

"Aku harap pa dan ma boleh berbaik semula." Kata-kata Adeela yang penuh dengan pengharapan itu menerbak semula ke ruang fikirnya.

"Jangan berharap sangatlah, Deela." Tingkahnya. Sememangnya dia sudah jelak berharap. Kini dia tidak mengharapkan apa-apa lagi. Dia pasrah dan menerima apa juga yang bakal mendatang.

"Tapi kenapa, Anne? Mereka kan ada kita bertiga. Tak sayangkah mereka pada Charlie's Angels mereka ni?" terjah Adeela dengan penuh semangat.

Adeela memang begitu. Sangat positif orangnya terutamanya tatkala membincangkan tentang hubungan di antara orang tua mereka yang sedang berantakan.

Annessa mengeluh. Dalam dan berat. Dia membayangkan wajah Adeela. Adik kembarnya itu tentu hampa dan kecewa yang amat sangat kalau terdengar perbualan di antara papa dan mama mereka tadi. Kasihan, Adeela! Nampaknya harapanmu akan hanya tinggal harapan.

Papa dan mama tetap akan membawa haluan masing-masing walaupun mereka ada Charlie's Angels yang masih perlukan kasih sayang dan perlindungan. Namun, hakikatnya apabila dua orang dewasa telah bulat dengan keputusan mereka, orang lain tidak mempunyai makna apa-apa lagi.

"Anne akan ikut I!" Kata-kata yang terlontar dari mulut papanya seketika tadi mencengkam hati Annessa. Baginya itulah lontaran kata-kata yang paling kejam pernah dilontarkan oleh Encik Zikri.

Bukan Annessa tidak menyayangi Encik Zikri. Lelaki itu adalah papanya. Dia menyayangi papanya sama seperti dia menyayangi Puan Sofea, sebagai mamanya. Kedua-dua insan itu sama penting dalam hidupnya.

Namun, dia pelik bagaimana papanya sanggup menuturkan kata-kata itu yang akan menyaksikan dia berpisah dengan Adeela yang lahir hanya 7 minit selepas kelahirannya. Kejamnya papa! 

- BERSAMBUNG

--------------------------

PEMBACA SEKALIAN: JEMPUT BACA KISAH YANG MENYENTUH HATI INI.

UNTUK MAKLUMAN SEMUA, NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN GRUPBUKU KARANGKRAF(BUKU PRIMA). IA BOLEH DIDAPATI DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR YANG AKAN BERLANGSUNG PADA 27 APRIL SEHINGGA 6 MEI 2018.

TERIMA KASIH. 

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now