BAB 7

243 4 0
                                    

7

"DEELA... Yaya, dah siap ke?" Sofea melaung dari ruang tamu, memanggil anak-anaknya.

Kepalanya berdenyut-denyut. Entah kenapa? Mungkin disebabkan masalah yang sedang membelenggu hidupnya kini. Pagi itu dia rasa malas sangat hendak bangun dari tidur. Tetapi dipaksakan juga mengenangkan dirinya yang harus ke tempat kerja dan anak-anak yang hendak ke sekolah.

Dia tidak berdaya hendak menyediakan apa-apa pun yang dapat dijamah oleh anak-anaknya awal pagi itu. Kadangkala, dia rasa bersalah juga kerana sebagai seorang ibu, dia seolah-olah telah gagal untuk menjalankan tanggung jawabnya dengan sempurna. Namun, apa boleh buat! Dia adalah wanita bekerja yang sibuk. Dia bukannya suri rumah sepenuh masa. Setakat ini anak-anak memahami situasinya.

"Kenapa ni, ma? Mama tak sihat ke?" soal Adeela yang sudah lengkap berpakaian sekolah. Aleya yang menyusul di belakangnya turut risau melihatkan keadaan ibu mereka yang tersandar di kusyen sambil memicit-micit kepala.

"Mama pening kepalalah." Rintih Sofea. Sejurus kemudian, telefonnya berbunyi. "Ai, siapa pulaklah tu? Pagi-pagi buta dah kacau orang. Tolong jawab, Deela."

Telefon kecil itu berpindah tangan. Adeela segera memekapkan telefon itu ke telinganya.

"Hello, siapa ni? Amir?"

"Amir? Mintak mama!" Telefon kecil itu berpindah tangan semula. "Hai, Amir! I pening kepalalah. You kat mana ni? Hah, kat depan rumah?"

Sofea agak terkejut apabila mendengar kata-kata Tengku Amirul yang dia sekarang berada betul-betul di depan rumahnya. Dia bangkit lalu menuju ke pintu. Anak-anaknya menurut dari belakang. Mereka nampak kereta lelaki itu di luar pagar.

Sofea bergegas mendapatkan Tengku Amirul. Lelaki itu tersenyum manis ke arahnya.

"Dah makan ubat?"

"Belum lagi. Amir, I nak minta tolong sikit, boleh tak? Tolong hantar anak-anak I ke sekolah. I rasa tak laratlah nak memandu." Pinta Sofea.

"Boleh, apa salahnya." Tengku Amirul terus saja bersetuju. Sofea lantas mengarahkan Adeela dan Aleya agar masuk ke kereta Tengku Amirul.

"Terima kasih, Amir," ucap Sofea.

Tengku Amirul mengangguk. "Jangan lupa makan ubat." Pesannya sebelum memecut keretanya menuju ke sekolah Adeela dan juga Aleya.


TENGKU AMIRUL perasan pandangan kurang senang yang dilemparkan oleh Adeela yang duduk di tempat duduk belakang itu, tetapi dia tidak mengendahkannya. Dia terus memandu dengan tenang menuju ke destinasi.

Walaupun Adeela menunjukkan emosi kurang senang dengannya tetapi tidak begitu halnya dengan Aleya. Anak bongsu Sofea itu begitu galak berbual dengannya.

"Betul ke uncle dah lama kawan dengan mama?" soal Aleya ingin tahu.

Tengku Amirul menoleh ke arah gadis cilik di sebelahnya lalu mengangguk. "Ya, kalau Yaya nak tau, uncle dan mama Yaya dah lama kenal. Kami kenal sejak masih bergelar student dulu lagi."

"Uncle dan mama kawan baik?"

Tengku Amirul ketawa kecil. "Macam tulah lebih kurang." Getusnya sambil menoleh ke arah Adeela melalui cermin pandang belakang. Dia nampak wajah Adeela yang muram.

"Mama cantik tak masa muda-muda dulu, uncle?" soal Aleya lagi.

"Yaya!" Adeela mendengus. Dia tidak suka pertanyaan yang dilemparkan oleh adiknya kepada Tengku Amirul.

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now