BAB 2

507 6 0
                                    

2

"APA khabar, Pak Tam?" Adeela menyapa Pak Tam Gerai dengan ramah. Oleh kerana dia selalu berkunjung ke gerai yang terletak di hujung jalan kawasan perumahannya itu untuk membeli nasi bungkus, maka hubungannya telah menjadi mesra dengan Pak Tam serta isterinya yang dipanggil Mak Intan.

"Khabar baik. Anne mana?"

"Anne kat rumah. Kita orang suruh dia buat air." Adeela menyahut sambil membiarkan adiknya Aleya yang baru berusia 10 tahun untuk memilih lauk pauk yang dirasakan sesuai. Lauk pauk itu kelak akan menjadi santapan mereka bertiga malam itu.

"Mama Deela balik lambat lagi ke malam ni?"

"Biasalah, Pak Tam. Mama sibuk kerja."

Pak Tam mengangguk. Belas juga dia melihat keadaan tiga beradik yang selalu singgah membeli nasi bungkus di gerainya itu.

"Tak apalah, Deela. Agaknya kerja sebagai wartawan ni memang macam tu, sibuk memanjang. Mama Deela kerja kuat pun sebab nak cari duit untuk Deela tiga beradik. Tiada ayah dan ibu di dunia ni yang nak tengok anak-anaknya hidup susah, betul tak?" Pak Tam memujuk.

"Ye, betul tu Pak Tam. Kalau time cuti mama tak pernah lupa bawa kami jalan-jalan dan makan kat luar." Adeela menjawab.

Pak Tam mengangguk. Aleya sudah selesai memilih makanan. Pak Tam segera menghampirinya untuk mengira harga makanan yang telah dibelinya.

"Eh, Anne ke... Deela ni?" Suara yang menegur di belakangnya membuatkan Adeela segera berpaling. Matanya bertentangan dengan sepasang mata galak milik Zakuan, yang diketahuinya kini sedang menjalin hubungan yang agak rapat dengan kakak kembarnya, Annessa. "Ooo... Deela rupanya!" Jejaka itu tersengih-sengih pula ke arahnya.

"Kenapa, Wan? Kau kecewa?" sindir Adeela. Anak muda di depannya tergelak kecil. "Kau dah rindukan Anne ke?"

"Rindu jugak. Eh, Anne mana ya? Puas aku SMS dan call tapi dia tak jawab."

"Dia ada kat rumah."

"Emm... kirim salam pada Anne, okey."

"Emm... insya-ALLAH."

"Okeylah Deela, bye." Tingkah Zakuan sambil melangkah meninggalkan Adeela.

"Bye!" Adeela menjerit ke arahnya. Jeritannya membuatkan Zakuan berpaling lalu melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

"Siapa tu, kak?" soal Aleya yang sedang menghampirinya.

"Ala, kawan satu sekolah. Dah siap kira ke? Kalau dah kira jomlah balik. Anne dah lama tunggu kita kat rumah tu." Getusnya ke arah Aleya.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Tam dan isterinya, kedua beradik itu melangkah meninggalkan gerai tersebut di senja yang semakin menubir.

ANNESSA masih duduk termenung di ruang tamu ketika Adeela dan Aleya melangkah masuk. Dia dibawa oleh perasaan hingga tidak sedar pada masa yang berlalu. Pertengkaran di antara papa dan mamanya yang terjadi di ruang tamu lewat petang tadi benar-benar menghantui dirinya.

"Anne, kenapa kau duduk dalam gelap ni?" soal Adeela sambil segera memasang semua lampu di rumah itu. Rumah yang tadinya gelap dan suram tiba-tiba sahaja terang-benderang.

Adeela memang begitu, sangat penakut pada kegelapan. Jikalau tiada orang dewasa di rumah, dia akan memasang kesemua lampu termasuklah lampu di bilik air.

"Kak Anne ni sengaja nak tunjuk berani agaknya!" Aleya, si cilik berusia 10 tahun itu menyampuk.

Annessa tidak menjawab. Sebenarnya dia tidak berdaya hendak menjawab. Dia masih dalam keadaan terkejut. Kenapakah dia yang perlu mendengar segala perbualan di antara papa dan mamanya lewat petang tadi? Kenapa? Kenapa bukan Adeela yang tertinggal di rumah ketika itu?

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now