BAB 5

264 4 0
                                    

5

"TAK tidur lagi, Deela?" tegur Sofea ke arah Adeela yang masih berada di ruang tamu.

"Belum lagi, ma. Mata tak ngatuk lagi. Perut pulak meragam."

"Deela sakit perut? Teruk ke?"

"Tak adalah teruk sangat. Baru tiga kali Deela lawat tandas." Adeela tergelak sendiri. "Mama tak payahlah risau. Sekarang ni dah okey sikit. Agaknya tummy Deela ni dah kosong."

"Deela makan lauk apa tadi?" Sofea menyoal sambil menyimpan rasa bersalah dalam hati.

Dek sibuk dengan kerjaya, dia tidak ada masa untuk menyediakan hidangan yang sihat dan berkhasiat untuk anak-anaknya. Pandai-pandai merekalah agar tidak kebulur. Ketika di sekolah, mereka akan makan di kantin. Sementara untuk makan malam pula, biasanya mereka akan beli bungkus sahaja.

"Agaknya Pak Tam tertumpahkan cili dalam sambal kelinya," Sahut Adeela. "Mama dah makan?"

Sofea terbayangkan wajah Zikri. Dia juga teringatkan kata-kata Zikri yang mahu dia memikirkan kemungkinan untuk mereka rujuk semula agar anak-anak tidak bersepah. Ah! Tak mungkin dia kembali ke dalam dakapan Zikri setelah lelaki itu sanggup menyuapnya dengan madu tanpa kerelaannya!

"Dah." Dia menjawab.

"Makan dengan siapa?"

"Err... kenapa Deela sibuk-sibuk tanya ni?"

Adeela ketawa kecil. "Deela tau mama makan dengan siapa. Dengan papa kan? Mama dan papa nak berbaik semula ke?"

"Mana Deela tau? Papa report kat Deela ke?"

Adeela geleng kepala. "Deela dapat mesej daripada Anne tadi. Dialah yang bagitau. Ma, tak boleh ke kalau mama dan papa berbaik semula?"

"Deela, walaupun kami dah berpisah tapi kami masih lagi berhubung sebagai kawan." Sofea menjelaskan.

"Maksud Deela, tak boleh ke kalau kita hidup seperti satu keluarga macam dulu?"

Sofea terhenyak di kusyen. Dia memandang lurus ke arah Adeela. Jika dibandingkan dengan kembarnya, Annessa, Adeela lebih agresif ketika menyuarakan isi hatinya.

"Mama faham perasaan Deela. Tapi antara mama dan papa dah berakhir. Papa dah ada orang baru dalam hidupnya. Deela tahukan yang tak lama lagi papa akan menimang cahayamata? Mama dah fikir masak-masak sebelum buat keputusan untuk berpisah dengannya.

Masa buat keputusan tu mama ingatkan papa Deela takkan berkeras untuk pisahkan Deela, Anne dan Yaya. Mama dah cuba sedaya upaya untuk pujuk dia agar biarkan kamu tiga beradik berada di sisi mama. Tapi dia berkeras jugak. Mama tak tahu nak buat macam mana. Papa Deela sendiri yang pilih Anne untuk tinggal dengan dia. Anne pulak langsung tak membantah. Mungkin dia fikirkan kebajikan Deela dan Yaya juga."

Bersungguh Sofea menerangkan kemelut itu kepada Adeela. Memang sukar hendak menerangkan hal itu kepada anak-anak yang terpaksa berpisah dek perceraian ibu bapa mereka. Dalam kes Adeela ini lebih teruk kerana dia terpaksa dipisahkan dengan kakak kembarnya.

"Mama tahu semua ni sukar untuk Deela dan juga Anne. Tapi kami tak pernah halang Deela jumpa Anne bila-bila aje asalkan bukan masa sekolah. Tengah hari tadi pun Deela jumpa Anne kan?"

"Tanpa Anne kat rumah ni, macam ada sesuatu yang hilang. Selalunya waktu-waktu macam ni kami berdua saling bertukar-tukar cerita." Ada kesayuan dalam nada suara Adeela.

"Mama faham perasaan Deela. Mama pun rindukan Anne. Rasa macam dia ada aje kat rumah ni."

"Bohong! Sejak bila mama faham perasaan kami? Mama selalu balik lambat. Macamlah kerja mama tu lebih penting daripada kami, anak-anak mama ni!" Suara Adeela tiba-tiba sahaja berubah menjadi kasar. "Papa pun sama aje. Kalau dia sayangkan kami ni, tentu dia takkan kahwin dengan perempuan lain."

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now