BAB 8

230 2 0
                                    

8

MASA terus berlalu meninggalkan mereka yang lalai serta alpa. Adeela semakin tenggelam dalam kelukaannya. Dia tidak dapat menumpukan perhatiannya pada pelajaran walaupun matanya tertancap kemas ke muka Cikgu Azizah yang sedang mengajar. Fikirannya bercelaru. Melayang ke ruang kelam dalam hidupnya.

Dia merindui kakak kembarnya, Annessa. Rindu yang teramat. Kini tempat Annessa di sisinya telah digantikan oleh Mei Ling; anak taukeh kedai gambar yang lebih suka mendiamkan diri daripada bercakap. Dalam keadaan dia yang sedang tenggelam dalam tekanan emosi itu, dia seolah-olah telah berjumpa solace dengan Mei Ling. Sekurang-kurangnya gadis kecil molek yang bermata agak sepet itu tidak bertanya soalan-soalan statik yang malas hendak dijawabnya.

Fikirannya menerawang pula ke peristiwa pagi tadi. Wajah Tengku Amirul menyapa ruang fikirnya membuatkan hatinya sakit tiba-tiba. Lelaki itu kini sering sahaja muncul di rumahnya dengan pelbagai alasan. Konon-kononnya hendak menghulurkan sebarang bantuan yang perlu kepada mama yang kini sudah bergelar 'ITM' atau ibu tunggal muda!

Walaupun lelaki itu tidak pernah menjejakkan kakinya ke dalam rumah, tetapi Adeela tetap tidak menyukainya. Malah, Adeela cukup benci melihat cara Tengku Amirul merenungnya walaupun dia tidak pernah mengadukan kecurigaannya itu kepada mamanya.

Seketika kemudian, wajah lelaki yang dibencinya digantikan pula dengan wajah kembar yang teramat dirinduinya. Ya, dia merindui Annessa yang kini sudah berpindah jauh dari Kuala Lumpur. Annessa terpaksa mengikut papa yang berpindah ke Melaka.

"Oh, Anne, aku rindukan kau." Hatinya berbisik.


TENGKU AMIRUL membayangkan dua wajah – Sofea dan Adeela. Dalam diam dia membandingkan kedua-dua beranak itu. Ketika usianya kini melewati angka 40, dia masih belum berkahwin, masih solo atau dalam jolokan kasarnya, bujang terlajak.

Usia mudanya di luar negara dihabiskan dengan berfoya-foya. Kini, dia mahu mengubah semua itu. Dia sudah lebih cukup daripada bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki anak-anak daripada isterinya yang sah.

Dia boleh saja memilih Sofea, kerana baginya masih ada sisa-sisa cintanya untuk Sofea. Tapi, Sofea sudah berusia. Dia kemudian membayangkan pula wajah Adeela yang menawan, yang baginya masih muda dan fresh. Kalaupun nak beristeri, pilihlah yang masih dara walaupun aku sudah bukan teruna lagi, hatinya berbisik. Tak mainlah ibu tunggal macam si Fea tu, walaupun bodynya masih mengancam persis si anak dara. Hatinya terus menggatal.

Satu saja masalahnya, Adeela begitu membencinya.

Tapi... argh... aku Tengku Amirul! Aku ada banyak cara untuk menjerat Adeela dan menundukkannya hingga dia akur menjadi isteriku. Usia? Ah, usia yang masih muda bukan penghalangnya!

Hartaku dicampurkan dengan harta keluargaku, berkepuk untuk memberikan kesenangan hidup kepada si kijang liar itu. Hatinya mula merencana. Licik!


ANNESSA lebih senang bersendirian sedangkan teman-teman sekelasnya berpusu-pusu ke kantin pada waktu rehat. Berbekalkan sandwic sardin yang dititipkan ibu tirinya sebelum dia melangkah keluar dari rumah pagi tadi, dia memilih untuk duduk di bangku batu bawah pokok mangga yang merendang sambil merenung padang sekolah yang luas terbentang. Padang yang di sesetengah kawasan, rumputnya nampak bercapuk-capuk dan mungkin sudah sampai masanya untuk ditampal dengan rumput yang baru.

Dia tidak menghiraukan panorama padang sekolah yang agak cacat pada pandangan mata itu sebaliknya menadah renungan ke dada langit. Langit bersih membiru. Sesekali kelihatan kepulan-kepulan awan melintas sambil berlumba-lumba mencipta bentuk-bentuk yang beraneka corak. Sesekali kelihatan awan bergumpal, agak tebal. Kemudian gumpalan yang tebal berpecah kepada bentuk-bentuk yang lebih kecil dan nipis sebelum menghilang laju ditiup angin.

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now