5: Kepulangan Eusuf

558 62 2
                                    

"Sensei!" jerit Eusuf gembira.

Tangannya diangkat tinggi melambai ke arah bekas gurunya dengan lagak riang. Pandangan pelik manusia-manusia yang berada di lapangan terbang itu tidak diendahkan. Laju dia menolak troli yang dipenuhi beg-begnya menuju ke arah Cikgu Fatih yang menanti berhampiran sebuah restoran.

Cikgu Fatih menekup muka menahan rasa malu apabila dia menjadi tumpuan beberapa orang di situ. Kepalanya digeleng-geleng perlahan. Manakala anak gadisnya yang ikut serta hanya tertawa perlahan. Lucu melihat gelagat guru dan bekas pelajar itu.

"Eh, macam kenal," gumam Eusuf tatkala semakin menghampiri mereka. Langkahnya diperlahankan sambil wajah bersih gadis itu ditilik lama. Tindakannya membuatkan wajah gadis itu merona kemerahan.

Cikgu Fatih mengetap bibirnya sebelum telinga Eusuf ditarik kuat. Menjerit pemuda itu di situ.

"Anak sensei yang kamu tenung itu tahu! Abah dia wujud lagi di sini. Jangan nak buat benda bukan-bukan ya!" marahnya.

Eusuf tersengih sambil mengusap belakang lehernya. Malu-malu dia memandang Qaseh. "Jadi betullah ini Qaseh! Wah, semakin cantik Qaseh sekarang! Abang nak mengurat boleh?"

Cikgu Fatih merengus perlahan. Tanpa amaran, sekali lagi dia menarik telinga Eusuf. Tarikannya lebih kuat berbanding tadi. Bergegar tempat itu dengan jeritan Eusuf yang bukan perlahan.

Qaseh sekadar tertawa kecil. Hatinya terhibur melihat gelagat Eusuf dan abahnya. Benar kata abahnya, Eusuf tak pernah berubah sejak dahulu. Selamba dan suka bergurau tanpa mengira masa dan tempat. Hanya gaya penampilannya sahaja yang berubah lebih matang.

"Sensei ini memang nak cabut telinga sayakah?" rajuk Eusuf sambil mengusap telinganya yang sudah merah. Mulutnya dimuncungkan.

Cikgu Fatih mengangkat keningnya. "Kalau dengan mencabut telinga kamu itu membuatkan otak kamu berfungsi secara normal, tak mengapalah. Tetapi sensei rasa tak ada beza pun nanti. Jadi, buang masa dan tenaga sahaja," balasnya.

Eusuf membuat muka kesian. "Ya Allah! Sensei ini sungguhlah tak punya hati perut," gumamnya.

"Kalau tak ada hati, sensei tak akan berkahwin dan mempunyai anak. Kalau tak ada perut, sensei tak akan rasa lapar sekarang ini. Semua sebab menunggu kamu lambat sangat sampai," bidas cikgu Fatih.

"Ohhh, baru abang tahu abah Qaseh ini ada hati perut sebenarnya. Ke Qaseh yang dermakan kepada sensei?" balas Eusuf selamba. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek sambil dia mengukir senyuman nakal.

"Sudahlah abang Eusuf, abah. Baru berjumpa pun mahu bergaduh ke?" tegur Qaseh. Sopan sahaja nada yang digunakannya. Lengan abahnya dipaut kemas.

"Demi Qaseh, abang akan berhenti bergaduh dengan sensei. Asalkan Qaseh sanggup belanja abang makan," ujar Eusuf sambil tersengih lagi. Dia mengenyitkan mata ke arah Qaseh.

Cikgu Fatih membulatkan matanya. Dia menolak perlahan tubuh anaknya ke tepi lalu dia berdiri betul-betul di depan Eusuf. Dia mencekak pinggang memandang bekas pelajarnya itu.

"Amboi, amboi budak tak sedar diri ini. Sudah cukup baik sensei dan Qaseh sanggup turun ke KL ini demi menjemput kamu. Tetapi sudah diberikan betis, sibuk mahukan paha pula ya? Duit kamu bukan ke berkepuk di dalam bank? Sepatutnya kamu yang belanja sensei dan Qaseh, bukan sebaliknya," bebel cikgu Fatih.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now