Umar melangkah keluar dari kelasnya. Suasana di sekolah itu telah lengang kerana waktu persekolahan telah lama tamat. Sengaja dia pulang lewat kerana ingin menyiapkan kerja sekolahnya dahulu. Nanti dirumah, bolehlah dia memfokuskan untuk menguruskan adiknya.
Tiba-tiba lengannya ditarik ke dalam tandas. Mulutnya turut ditekup supaya jeritannya tidak kedengaran. Umar menarik tangan yang menekup mulutnya. Dia memalingkan tubuhnya berdepan dengan orang yang menariknya itu tadi.
"Mereka sudah tahu engkau ada disini. Hati-hati," nasihat orang itu.
"Kau..."
"Aku sampaikan pesanan papa sahaja. Lagi satu, tolong buka hati kau untuk percayakan geng Danial. Mereka boleh bantu lindungi kau," pesan orang itu lagi.
"Um..."
"Ingat pesan aku. Aku pergi dahulu".
Umar memerhatikan orang itu keluar dari tandas. Dia mengeluh perlahan. Jika benar kata pemuda itu, maknanya dia perlu lebih berhati-hati selepas ini.-----------------------------------------------------------
"Kau memang tak makan saman! Aku sudah bagi amarankan!!" jerkah Haiqal. Wajahnya menyinga. Satu lagi tumbukan dilayangkan ke wajah Umar.
"Arghh!!!" jeritnya geram. Dia melepaskan kolar baju Umar yang dicekaknya. Tubuh Umar ditolak kuat sehingga menghempas dinding belakang kedai sebelum melurut jatuh terbaring diatas jalan tar.
Umar bangkit lalu duduk bersandar di dinding. Dia mengesat darah di pinggir bibirnya yang pecah. "Maafkan aku..." ungkapnya dalam nada sesal.
Haiqal merengus kencang. "Aku tak kebulur dengan ungkapan maaf kau! Kalau ikutkan hati aku yang panas ini, sudah lama aku belasah kau sampai tak boleh bangun. Nasib baik kau..."
Kata-kata Haiqal dipotong dek jeritan beberapa suara yang cukup mereka berdua kenali.
"Haiqal!!!"
"Tengok! Aku sudah cakap, hero-hero kau ini mesti akan datang. Haishh, tiga sahaja? Tetapi tak apalah. Sekurang-kurangnya tiga yang terkuat. Nampaknya kau terselamat kali ini," ujar Haiqal dingin.
Haiqal membelakangkan Umar untuk berhadapan dengan bekas kawan-kawannya itu. Dia mengukit senyuman sinis melihat Danial meluru ke arahnya dengan penumbuk yang digengam padu.
Penumbuk Danial ditangkap dengan kemas lalu digengam kuat. Sempat dia menguap untuk memperlekehkan kekuatan Danial. Tangan Danial dikilas ke belakang sehingga pemuda itu menjerit kesakitan.
"Haiqal! Jangan melampau!!" marah Kauthar sambil menangkap tubuh Danial yang melayang akibat ditendang oleh Haiqal.
"Umar, kau ok?" tanya Eusuf sambil membantu Umar untuk berdiri.
Umar sekadar mengangguk. Dia menoleh memandang Haiqal dengan pandangan sedih. Tiada kata-kata yang terluah dari mulutnya. Haiqal yang perasan dengan pandangan Umar itu sekadar berdecit. Pemuda itu memalingkan kepalanya ke arah Danial dan Kauthar.
"Apa salah Umar sehingga kau belasah dia sampai begini?! Mana Haiqal yang aku kenal dahulu?! Mana?!!" Danial melepaskan rasa kecewanya. Sungguh dia sedih apabila kawan yang cukup dia hormati selama ini berubah menjadi insan yang dia tidak kenal. Kenapa Haiqal menjadi sekejam ini?...
"Haiqal yang kau kenal, yang korang kenal, telah mati bila dia datang ke sini," jawab Haiqal dalam nada mendatar. Jari telunjuknya ditunding ke arah Umar.
"Sebab dia, aku kehilangan segalanya. Dan kau Danial, tak layak mengutuk aku. Kau tak berada di tempat aku. Kau tak rasa apa yang aku rasa. Kau tak alami apa yang aku alami. Aku kecewa dengan kau dan yang lain-lain. Bertahun kita berkawan, tetapi korang telah membuktikan bahawa aku tiada nilai pun dalam hidup korang. Habis madu sepah dibuang. Korang pilih Umar yang baru beberapa bulan korang kenal berbanding aku. Hahaha, sia-sia aku berkawan dengan korang selama ini jika ini yang korang balas," ujar Haiqal. Matanya mengandungi seribu satu emosi.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...