"Terima kasih cikgu," ungkap Zarfan sebaik sahaja kereta cikgu Fatih berhenti di depan rumah keluarga angkatnya. "Kalau cikgu tak bawa saya, saya tak akan berjumpa dengan kawan-kawan abang saya. Terubat sedikit rindu saya pada arwah abang bila bersama-sama dengan kawan-kawan dia. Terima kasih sangat-sangat cikgu".
Cikgu Fatih tersenyum manis. "Cikgu tak buat apa-apa pun. Takdir Allah SWT yang menemukan kamu dengan Batch Lagenda semula. Kamu tahu, lega hati cikgu bila tahu kamu ialah Afan. Terasa hilang beban pada bahu ini bila tahu adik arwah Umar hidup dengan baik," luahnya sambil mengusap lembut kepala Zarfan.
Zarfan hanya membiarkan. Tidak melenting walaupun dia tak biasa dimanjakan sebegitu kecuali semasa abangnya masih hidup. Namun, usapan itu mengingatkan dia kepada Umar yang sudah lama tidak ditemui. Apa khabar agaknya lelaki serba misteri itu?
"Saya masuk rumah dahulu, cikgu. Terima kasih hantar saya," ujar Zarfan meminta diri. Badannya ditundukkan sedikit sambil tangan mencapai tangan cikgu Fatih yang direhatkan di atas stereng untuk disalam.
"Assalamualaikum cikgu," lambai Zarfan buat kali terakhir sebelum keluar dari kereta cikgu Fatih.
"Walaikumussalam wa rahmatullah. Kirimkan salam saya kepada penjaga kamu ya," balas cikgu Fatih.
Zarfan mengangguk. Dia membalas lambaian cikgu Fatih lalu melihat cikgu Fatih memandu keretanya pergi. Andai sahaha dia tahu cikgu Fatih sedang menuju ke perkuburan arwah abangnya....
-----------------------------------------------------------
Haiqal melutut sendirian di tepi kubur itu. Tangan kanannya diangkat menyentuh batu nisan dihadapannya seakan-akan sedang membelainya. Sebak yang semakin membuak dalam hatinya cuba ditahan. Namun, dia gagal. Lalu, mutiara jernihnya gugur tewas menuruni pipinya dengan laju.
"Wan, kenapa kau perlu pergi seawal ini? Aku tak kuat tanpa kau. Separuh jiwa aku terasa hilang setelah kau pergi. Kau selalu ada untuk aku, bagi sokongan kepada aku. Kini, tak ada sesiapa lagi yang buat macam itu kepada aku. Aku lemah, Wan. Aku tak tahu selama mana lagi aku mampu berlagak kuat," ujar Haiqal dalam nada sebak. Itulah yang dirasakannya setiap kali melawat perkuburan itu. Air matanya tak akan pernah gagal dari menitis laju mengiringi kesedihan dan kekesalan yang tak akan pernah hilang.
Umar Zaqwan...musuh utamanya di zaman sekolah dahulu. Tak ada sesiapa yang menyangka, pertelingkahan mereka telah lama terjadi...sejak sebelum Umar Zaqwan masuk ke sekolahnya. Ya, mereka saling mengenali sejak awal malah teramat rapat. Namun, satu peristiwa telah berlaku menyebabkan ukhwah antara mereka berdua terlerai begitu sahaja.
Dia menyalahkan Umar Zaqwan bahkan membenci pemuda itu. Namun, tak pernah sekalipun Umar Zaqwan membalas kebenciannya dengan kebencian juga. Kerna Umar Zaqwan, dia berubah tanpa Batch Lagenda sedar. Sayangnya, nyawa pemuda yang berhati mulia itu tak panjang. Allah lebih menyayanginya.
Haiqal mengesat air matanya dengan hujung lengan baju melayu. "Oh ya, maafkan aku. Mesti kau bosan dengar luahan yang sama setiap kali aku datang ke sini. Maafkan aku. Baiklah, kita buka cerita lain pula. Wan, kau tahu...Afan sudah besar. Sudah berumur enam belas tahun. Cepatkan masa berlalu? Membuatkan aku rasa aku sudah semakin tua pula. Sebut tentang Afan ini, alhamdulillah...dia mula terima pemergian kau dan ibu secara perlahan-lahan. Dia pun sudah berjumpa dengan Batch Lagenda tahu? Dengar cerita, mereka gembira dapat berjumpa sesama sendiri. Tetapi, dia masih belum tahu kebenaran tentang aku. Siapa aku yang sebenar. Kau rasa, patutkah aku beritahu dia?" sambung Haiqal lagi.
Dia diam sejenak. Dia merenung kuntuman-kuntuman bunga dan dedaun dari pokok kemboja berhampiran yang gugur di atas kubur itu apabila ditiup pawana petang.
Terasa bagai semalam baru jenazah Zaqwan disemadikan. Masih segar dalam memorinya suasana pada petang itu. Petang yang tak akan dia lupakan. Bagaimana dia dihalau seperti anjing kurap oleh Batch Lagenda. Dia tak menyalahkan mereka tetapi dia tak dapat menafikan kesedihan yang begitu mencengkam hatinya setiap kali teringatkan perkara itu.
Buku yasin dibuka. Kedengaran suara merdunya melantunkan bacaan surah yasin dengan penuh tenang dan bertartil. Usai menghadiahkan surah itu buat Umar Zaqwan, dia kembali merenung pusara dihadapannya itu
"Wan, aku janji akan tamatkan semua ini. Aku tak akan biarkan Afan menderita lagi. Itu janji aku. In sha allah. Doakan aku ya, Zaqwan," bisiknya.
"Nampaknya, kau benar-benar sayangkan arwah Umar, Haiqal".
Haiqal tersentak. Belum sempat dia berpaling, cikgu Fatih terlebih dahulu muncul di tepinya.
"Sen...sei," sebut Haiqal sedikit tergagap. Sungguh, dia tak sangka cikgu Fatih akan ada di sini pada waktu ini. Bukankah lelaki itu masih berada di Teluk Batik bersama-sama Batch Lagenda?
Cikgu Fatih menguntumkan senyuman nipis. Dia melabuhkan punggung di sisi Haiqal. "Sudah tujuh tahun dia pergi bukan?"
Haiqal merenung wajah tua itu. "Apa sensei buat disini?"
"Sama seperti kamu. Sensei juga rindukan dia," jawab cikgu Fatih dalam nada santai. Sengaja dia datang ke situ selepas menghantar Zarfan ke rumahnya selepas mereka pulang dari majlis reunion Batch Lagenda.
"Kenapa kamu curi-curi balik ke sini? Kenapa tak datang jumpa sensei? Sensei rindukan kamu juga, Haiqal. Sama seperti sensei rindukan Batch Lagenda yang lain," luah cikgu Fatih.
Haiqal kembali memandang kubur arwah Umar Zaqwan. Dia menyiram pusara itu dengan sebotol air mawar yang dibawanya. "Layakkah orang seperti saya bertemu dengan sensei? Saya jahat, selalu menyusahkan sensei".
"Tak, kamu tak jahat Haiqal. Sensei tahu hampir semua tentang kamu dan Umar. Qaseh sudah ceritakan semuanya kepada sensei. Sebenarnya, pemusuhan kamu berdua hanya satu kepura-puraan sahajakan?"
Haiqal memusingkan tubuhnya menghadap cikgu Fatih. Wajahnya tak beriak. "Terpulanglah bagaimana sensei hendak menafsirkan perkara itu. Cuma satu sahaja saya pinta, jangan beritahu apa-apa kepada Batch Lagenda dan Afan".
Cikgu Fatih menarik nafas dalam. "Tetapi kenapa, Haiqal? Kenapa sensei perlu merahsiakan kebaikan kamu dan membiarkan mereka menyebut-yebut kejahatan yang tidak kamu lakukan. Sensei tak sanggup," ujarnya.
Haiqal memandang kubur Umar. "Untuk apa sensei? Mereka sudah buktikan bahawa saya memang tiada tempat disisi mereka sebagai kawan. Kalau tidak, mereka tak akan senang-senang membiarkan saya putuskan hubungan dengan mereka. Mereka sepatutnya sudah mengenali saya, bahawa seorang Haiqal sangat sayangkan kawan-kawannya. Tetapi nampaknya, hanya saya yang bertepuk sebelah tangan".Cikgu Fatih terdiam mendengar luahan Haiqal. Pasti hati Haiqal sangat sakit bila dilayan sedemikian rupa oleh kawan-kawannya. Dari mata Haiqal, dia dapat 'membaca' bahawa Haiqal telah berputus asa dengan Batch Lagenda. Mungkin Haiqal telah memaafkan mereka, tetapi Haiqal pasti tak akan menerima mereka sebagai kawan semula. Luka hatinya terlalu dalam.
"Saya tak pernah salahkan arwah Zaqwan sebab saya sendiri yang merancang semuanya. Cuma saya agak terkilan bila sedar betapa tipisnya kepercayaan Batch Lagenda kepada saya. Bertuahkan arwah Zaqwan, sensei? Batch Lagenda lebih sayangkan dia dari saya".
"Haiqal, itu tak benar..." nafi cikgu Fatih.
Haiqal tersenyum tawar. "Saya pinta diri dahululah sensei. Alang-alang kita sudah berjumpa ini, saya minta ampun atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan kepada sensei dahulu. Panjang umur, kita bertemu lagi di atas izin Allah," ujarnya. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan cikgu Fatih. Kepalanya turut ditundukkan untuk mencium tangan bekas gurunya itu.
Haiqal bangun. Dia mengutip semula botol kosong yang tadinya berisikan air mawar. Baru dia hendak melangkah, dia dihentikan dek pertanyaan cikgu Fatih.
"Katakan, adakah kamu yang berikan surat misteri itu kepada Danny?"
Haiqal berpaling seraya menguntumkan senyuman manis. Kemudian, dia melangkah pergi meninggalkan kawasan perkuburan itu.
Cikgu Fatih mengeluh. Senyuman itu...cukup untuk memberi jawapan yang diperlukannya.
YOU ARE READING
Kelam Semalam
RandomBaik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang be...