bab 1

166 18 9
                                    

HAYYAT & GAMBIT

1157 a.c (lima tahun setelah perang tamat)
Westland, Negara Titantua

PANAHAN cahaya matahari kian membahang. Mencelah dari sebalik gugusan awan putih, membias luas pada permukaan tanah berdebu yang dipenuhi gemaan pekikan suara manusia. Letusan cahaya pelbagai warna kelihatan di setiap kawasan medan perang. Lagaan senjata-senjata tajam kedengaran berdesing ketika bertembung. Sebilangan besar mencantas pedang pada anggota tubuh lawan sehingga terpisah daripada badan.

Tubuh kaku tidak bernyawa bergelimpangan, mengalirkan darah, membanjir tanah dengan kepekatan warna merah yang meloyakan tekak. Ratusan.. malah ribuan manusia yang masih bertunjang nyawa, galak bertembung sesama mereka. Saling berbunuhan sehingga menghasilkan gegak-gempita yang membingitkan.

Di kawasan tidak jauh. Seorang lelaki berjubah hitam berjalur emas di atas singgahsana kristal merah yang tinggi menongkah langit, berteleku satu tangan sambil membuang pandangan kepada manusia-manusia tersebut. Senyuman sinis terukir pada wajahnya sebelum ketawa mengejek.

"Berbunuhlah kalian. Hanya yang kuat layak hidup di muka bumi ini."

Di medan perang, si manusia masih lagi berbunuhan sesama mereka.

...

Gurgestan

JAUH di bahagian timur negara Titantua, sebuah kawasan bernama Kampung Asta kelihatan sunyi dan suram walaupun siang sudah menaikkan tirai. Aktiviti harian penduduk tidak kelihatan di mana-mana kawasan kampung pada hari itu. Seperti semua penduduk telah bersepakat untuk bermalas-malas di rumah.

Tapi, faktor sebenar kesuraman tersebut disebabkan satu tragedi menyayat hati. Di setiap tempat, baik laluan utama atau rumah-rumah penduduk, bergelimpangan tubuh manusia yang sudah tidak bernyawa. Baik dewasa atau kecil, semuanya menerima nasib yang sama. Tubuh mereka kehitaman dan mengecut sehingga kelihatan tulang belulang sahaja di sebalik kulit kusam. Wajah mereka kelihatan seperti melalui ketakutan yang melampau tatkala ajal datang menjemput.

"Diorang mati dalam keadaan yang sama," ujar lelaki bertubuh tegap yang hanya mengenakan tank top putih, seluar hitam dan berbut serta terjepit rokok pada celahan bibir.

Wanita berambut biru dan berjubah hitam, serta terdapat lambang kepala serigala di bahagian kanan jubah, menoleh kepadanya yang sedang mencangkung memeriksa satu bangkai manusia. Baru sahaja dia hendak menyoal.

"Iya. Ini mesti kerja Pablord," celah lelaki berambut agak panjang dan serabut dari sebalik dinding. "Ada info mengatakan dia sedang giat mengumpul Mana penduduk untuk mencipta semula projek terlarang. Kau mesti tahukan pasal projek itu Gambit?" Dia menghampiri dengan dua tangan dalam kocek seluar. Semakin jelas wajahnya yang seperti penagih candu. Bermata kuyu serta agak bongkok.

Lelaki bernama Gambit bangkit berdiri dengan perlahan. Asap rokok terhembus keluar dari mulut dan saluran hidung. Air muka dipamer tegang ketika melihat lelaki tersebut.

"Apa yang kau jumpa di belah sana?" soal Gambit. Tidak berminat dengan teori rakan bernama Jacob.

"Hahaha. Kau pandai je mengelak dengan kesimpulan aku," balas Jacob lalu membakar rokok. "Apa yang kau tengah lihat sekarang, itulah apa yang aku jumpa," tambahnya sambil menghembus asap.

Gambit mendecit halus dan melangkah. Diikuti Jacob dan wanita berambut biru yang bernama Lisa. Mereka bertiga melepasi gelimpangan mayat yang membusuk di laluan utama kampung, sambil meninjau ke kiri dan kanan. Mencari klu atau penunjuk untuk membongkar misteri kematian penduduk kampung.

Sehingga tiba di tengah kampung yang terdapat binaan seperti kedai di dalam satu barisan. Satu desiran angin mematikan langkah Gambit, refleksinya pantas menangkap anak panah yang mensasarkan wajahnya dengan mudah.

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaWhere stories live. Discover now