bab 19

50 10 0
                                    

Razor Safehouse

KESUNYIAN malam diganggu bunyi dengungan daripada bulatan portal dimensi yang muncul berhampiran banglo empat tingkat yang dikelilingi pagar konkrit. Nana individu pertama keluar dari pintu portal disusuli Noah, Lisa dan Maria. Tanpa membuang masa, mereka beriringan memasuki perkarangan banglo melalui pagar utama yang ternganga luas. Simbahan cahaya daripada barisan tiang-tiang lampu di kiri kanan laluan yang terus ke halaman banglo menerangi kawasan safehouse yang dijaga oleh Razor.

Dalam waktu yang sama, tiga kesatria singa emas melompat turun daripada bumbung banglo. Mendarat selajur berdiri tegak menanti kehadiran mereka berempat di halaman. Separuh wajah mereka terlindung kerudung. Hanya menampakkan hidung serta mulut.

"Sahkan identiti kamu berempat," tutur salah seorang kesatria.

Nana di hadapan sekali mematikan langkah dalam jarak satu meter berhadapan kesatria. Noah berdiri di sebelah, Lisa dan Maria di belakang.

"Selamat malam komrad purple (kod yang diguna-pakai antara kesatria berlainan divisyen menggunakan warna jubah). Maaf kerana datang mengganggu pada waktu sebegini. Aku Nana. Dia Noah. Yang dekat belakang Lisa dan rambut merah tu Maria. Kami berempat adalah kesatria divisyen serigala hitam. Dibawah arahan Kapten Gambit," tutur Nana mewakili rakan-rakannya. Sekaligus menunjukkan sekeping plat perak sebesar telapak tangan yang berlambang divisyennya.

Kesatria di hadapan menolak ke belakang kerudungnya lalu menyambut plat tersebut. Dahinya berkerut, seraut wajah seakan tidak percaya tatkala menilik plat yang ditunjukkan. Hanya kesatria berpangkat leftenan dan ke atas sahaja layak menerima plat tersebut. Dia bergilir-gilir memandang wajah Nana dan plat perak tersebut. Perak bermaksud kapten atau pemangku kapten. Gangsa untuk leftenan, manakala emas dikhaskan untuk jeneral dan laksamana armada. Bagi kesatria biasa, mereka memperolehi lencana berbentuk bulat seperti kepingan syiling.

"Kenapa, Cik Nana?" Satu suara menegur dari belakang kesatria membuat Nana tertanya-tanya gerangan yang memanggilnya kerana terlindung penglihatan dek tiga kesatria di hadapan.

Tiga kesatria tersebut menoleh secara serentak seraya berundur ke tepi dan berdiri tegak. Memberi laluan kepada seseorang yang mendekati mereka.

"Tuan." Serentak mereka bertiga menyapa Remy yang melangkah dari verandah banglo.

Remy ketika itu hanya berpakaian kasual dengan baju-t tanpa kolar dan seluar panjang serta berselipar. Jemarinya memaut pemegang cawan kaca yang masih berwap panas.

"Boleh aku jumpa Kapten Razor?" soal Nana terlebih dahulu.

"Atas urusan apa kau perlu datang kemari pada lewat malam seperti ini?" jawab Remy dengan pertanyaan. Sebenarnya sedari tadi dia menanti kedatangan anak buah Gambit berdasarkan laporan intelnya.

"Boleh atau tidak?" Nana tetap dengan permintaannya.

Remy diam seketika waktu sambil bergilir memandang tiga kesatria berhampiran. Kemudian mencicip air panasnya.

"Kamu bertiga boleh sambung berkawal," arah Remy.

Tanpa banyak soal mereka menurut lalu ghaib ketika melompat ke atas.

"Langkah Seribu. Teknik yang mampu mengawal aliran angin bagi menambah kelajuan seseorang. Hebat kesatria kau, Remy," tutur Noah seakan kagum.

"Aku sebenarnya tak suka nak mengaku, walaupun kami nombor satu.. tapi divisyen kau adalah tulang belakang kerajaan. Intel dari divisyen kau paling banyak memperoleh informasi sulit. Kemampuan unit intel kami tak mampu menandingi kecekapan mata-mata kau. Itu salah satu sebab mengapa aku mencemburui divisyen serigala hitam. Bila cerita pasal divisyen kau, Jeneral Hwan-yu sangat agungkan Gambit. Kekuatan dia, skill dia yang melangkau lebih dari orang lain. Tapi, aku tetap rasa Kapten Razor jauh lebih baik," balas Remy selajur normanya berkalih ke luar pagar. Kepada seseorang yang sedang melepaskan tekanan Mana tahap tinggi. Menyebabkan rasa seram sejuk menerpa mereka berlima.

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaWhere stories live. Discover now