Bab 32

37 6 2
                                    

Istana Versailers

MATAHARI baru sahaja timbul dari ufuk timur. Keadaan masih kelam ketika Jeneral Kumbang tiba di hadapan istana. Namun, rasa hairan menjentik hati kerana suasana sepi yang menjalar. Tidak kelihatan kesatria atau hulubalang di mana-mana tempat. Hanya kekosongan yang melanda seperti baru sahaja dilanda sesuatu.

"Apa yang sudah berlaku?" gumamnya perlahan.

Dua pengiringnya turut menayang wajah hairan sambil memandang kawasan istana yang kosong dan sepi tanpa sesiapa. Perkara tersebut sangat mustahil untuk berlaku melainkan telah terjadinya sesuatu yang buruk.

"Jeneral.." panggil salah seorang pengiring.

Jeneral Kumbang menoleh kepada lelaki tersebut. Dia mendiamkan diri seketika bagi mencerna apa yang sedang dilihatnya.

"Kita masuk dalam dahulu," usul Jeneral Kumbang seraya mengatur langkah. "Jangan lengah walaupun sesaat. Kita tidak tahu apa yang menanti kita," pesannya tanpa menoleh.

"Baik, tuan." Mereka berdua menjawab serentak.

Sepasang daun pintu besar ditolak oleh Jeneral Kumbang dengan penuh hati-hati. Bersiaga sekiranya terdapat perangkap yang dipasang di sebalik pintu itu. Namun, tiada apa yang berlaku. Dan tiada apa yang berada di ruangan lantai marmar yang luas itu.

Sepi. Itu sahaja yang dapat dikatakan. Tiada kelibat dayang-dayang istana yang kebiasaannya sibuk pada waktu ini. Atau kesatria dan hulubalang istana yang sepatutnya berkawal. Segenap inci ruang tersebut kosong tanpa penghuni.

"Mana semua orang?" getus seorang pengiring yang ternyata dibelenggu kehairanan.

"Kita pergi balairung dahulu," tutur Jeneral Kumbang seraya mendahului.

Seperti pengiringnya, Jeneral Kumbang turut dikuasai dengan kehairanan. Dia tidak dapat mentafsir apa yang telah berlaku. Sebentar tadi disangkakan bahawa Istana Versailers diserang. Ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Tiada tanda-tanda pertempuran telah berlaku di mana-mana kawasan istana, baik jasad atau kesan kerosakan.

Tapi, apa sebenarnya yang telah berlaku?

Persoalan itu berlegar di kepala Jeneral Kumbang. Dia perlu mencari sebab yang mencetuskan perkara ini. Dia tidak mampu membuat rumusan selagi tiada petunjuk diperoleh. Sebarang keputusan tidak boleh dilakukan secara melulu. Ianya mampu mengundang pada jika tersilap mengambil langkah.

Derapan tapak kasut mereka bergema di ruangan dalam istana. Baik Jeneral Kumbang atau pengiringnya, mereka saling bersiaga terhadap sebarang kemungkinan.

Setelah beberapa ketika berjalan di koridor panjang yang sunyi sepi itu, langkah Jeneral Kumbang terhenti betul di hadapan sebuah pintu yang tertutup rapat. Merupakan pintu ruangan balairung istana yang sepatutnya dikawal oleh hulubalang. Namun tiada sesiapa yang berkawal pada pagi itu.

"Biar saya yang buka, Jeneral." Seorang pengiring menawarkan diri.

Jeneral Kumbang terangguk. Berundur selangkah bagi memberi ruang untuk pengiringnya. Tiada kata yang terluah. Namun setiap daripada mereka berkongsi debaran yang sama. Keliru, gusar dan pelbagai perasaan berkecamuk di sebalik hati mereka. Membuat degupan jantung bertambah laju. Berdegup kencang seperti mahu tercabut dari posisinya.

"Saya buka, tuan."

Mereka bersiaga dalam debaran. Sekeping hati dijitukan dalam menanti daun pintu tersebut terbuka. Mata Jeneral Kumbang tertacap kepada jemari pengiringnya yang menggengam tombol pintu.

Tombol dipusing serentak daun pintu ditolak. Namun ianya tidak bergerak seakan terhadang sesuatu. Daun pintu tersebut langsung tidak berganjak walaupun si pengiring menolak sepenuh hati.

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ