bab 8

62 15 0
                                    

DERAPAN tapak kaki kuda memecah suasana hutan yang dipenuhi hilaian cengkerik serta lolongan burung hantu. Bulan pada malam ini terang, membiaskan cahayanya kepada tanah yang diselubung kegelapan. Memudahkan Gambit memacu kudanya lebih laju membelah kedinginan malam yang kian mencengkam.

Siang tadi, dia bertemu Jue secara kebetulan di dewan makan istana. Banyak perkara dibualkan walaupun Jue yang lebih banyak bercakap berbanding Gambit. Satu topik yang menarik hati Gambit adalah tentang batu magis atau lebih dikenali sebagai Batu Mulia oleh kebanyakan. Batu yang sangat berkuasa sehingga mampu mengalahkan kejahatan pada perang besar 1000 tahun lampau dengan memetik jari sahaja. Dikatakan oleh Jue bahawa seorang pemuda di Tanah Utara yang merupakan wilayah jagaannya telah menemui salah satu Batu Mulia daripada lima batu magis tersebut.

Namun, bukan mudah untuk mengumpul kelima-lima Batu Mulia yang dikhabarkan telah terpecah ke setiap pelusuk dunia. Malah, sebelum ini ada negara lain yang telah menjalankan ekspedisi bagi mengumpul semua Batu Mulia. Tapi, tidak diketahui kesudahan mereka sehingga kini.

Setelah beberapa jam memacu kuda dan melepasi beberapa perkampungan, Gambit memperlahankan pacuan sebelum berhenti. Sepasang bibir mengukir senyuman ketika norma terarah kepada satu perkampungan berhampiran kaki bukit. Malas membuang masa, dia kembali memacu kuda. Menuju perkampungan tersebut.

'Kampung Ttolok'

Sekilas matanya menjeling ke atas. Kepada ukiran di pintu gerbang kampung. Pacuan diperlahankan tatkala memasuki kawasan kampung. Beberapa pengawal yang melakukan rondaan memerhati dengan pandangan curiga. Was-was dengan orang asing berkerudung yang memasuki kampung pada lewat malam.

Gambit malas menghirau, terus menerus memacu menuju satu arah. Dia melepasi beberapa rumah penduduk serta padang latihan yang di terangi puluhan obor di sekeliling padang. Terdapat puluhan pemuda berlatih bertempur tanpa senjata sesama mereka. Suara lantang mereka jelas kedengaran ketika melakukan pergerakan secara teratur mengikut pimpinan seorang pemuda. Tanpa disedari, Pendekar Masdor di satu sudut hanya melihat Gambit yang berjubah hitam dan berkerudung yang hanya menampakkan hidung dan mulut melepasi gelanggang dengan tempo separa perlahan. Rasa dingin menyapa dirinya.

"Siapa gerangan lelaki itu pendekar?" soal seorang pemuda tidak berbaju. Tubuh tegapnya bermandi peluh. Kelihatan berkilat ketika dijamah biasan api obor.

"Aku tak tahu Omar. Tapi auranya memberi amaran bahawa dia bukan manusia biasa," jawab Pendekar Masdor tanpa melarikan pandangan kepada Gambit yang terus menuju hujung simpang lalu membelok ke kanan.

"Kamu intip dia sebagai langkah berjaga. Jangan lakukan sebarang tindakan melulu selagi tidak diketahui niat sebenarnya," arah Pendekar Masdor kepada Omar.

...

SEBUAH rumah batu konkrit dicat warna biru dihampiri oleh Gambit. Sesekali rokok disedut dan dihembus keluar dengan anak mata seperti helang mengerling ke kiri dan kanan. Deria tajamnya dapat merasakan kehadiran manusia yang mengikut dari belakang.

Lagi 20 meter dari rumah biru, Gambit sengaja menghentikan pacuan kudanya. Dia malas menjadi bahan intipan orang penakut yang tak berani bertanya secara berhadapan. Lantas dia memusingkan kudanya menghadap belakang yang tiada sesiapa.

"Keluarlah. Aku tak ada niat jahat kat kampung kau." Gambit berterus terang.

Omar yang bersembunyi di sebalik pokok di tepi jalan keluar dengan berwaspada. Langkahnya tertib. Sambil membias riak tegang pada wajah, Omar menghampiri seperti pahlawan yang sedang bersiaga.

Serentak itu Gambit tersenyum nipis dan menunduk, langsung menolak ke belakang kerudung yang melindungi separuh wajah.

"Kau tak kenal aku lagi ke, Omar?" soalnya sambil menaikkan wajah bersama senyuman kecil.

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaKde žijí příběhy. Začni objevovat