Bab 133-Rahsianya Mula Ketara

2.9K 42 0
                                    

Datuk termenung sejenak. Kemudian dia basuh tangan dan mengakhiri minuman petangnya. Nenek membawa cawan dan piring kosong ke dapur untuk dibersihkan.

Datuk mengajak saya duduk di ruang anjung rumah. Datuk minta saya membantunya meraut bilah buluh untuk dibuat lokah. Permintaan itu saya tunaikan.

"Pada aku dia tidak cakap apa-apa, tiba-tiba dia menghaibkan diri," keluh datuk tanpa merenung ke arah saya, pisau kecil ditangannya terus meraut bilah buluh.

"Pelik juga tuk, apa silapnya kita tuk."

"Tak ada yang silap tapi...," datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia berhenti meraut bilah buluh, keningnya dikedutkan, macam ada sesuatu yang difikirkannya, "tapi Mat Upeh ada beritahu aku yang Haji Yatimi nak pergi ke sebelah utara dan pantai timur. Dia minta Mat Upeh sampaikan berita pada aku, dia juga kirim salam pada kau," sambung datuk dengan wajah tenang.

"Buat apa dia ke sana tuk?" soal saya.

"Dia memang selalu macam tu, kalau dah datang ke sini, dia mesti ke Kedah, Perlis ke Kelantan dan Terengganu, ramai kawan-kawannya di situ," jelas datuk.

"Jangan-jangan dia balik ke kampung halamannya tuk."

"Semuanya tu boleh jadi, usah fikirkan tentang dirinya Tamar. Bila kita ke Sumatera kita cari dia. Dunia ini bukannya luas, panjang umur dan diizinkan Allah bertemu juga."

"Hum...," saya menghela nafas. Cukup mudah datuk menyelesaikan masalah. Dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan kehilangan Haji Yatimi itu.

Lebih kurang setengah jam lagi mahu sampai waktu Maghrib, saya dan datuk meninggalkan rumah menuju ke surau.

Seperti selalu bila masuk waktu Maghrib, saya disuruh oleh datuk melaungkan azan. Selesai sembahyang Maghrib, sementara menanti waktu Isyak, saya dan datuk bersama penduduk-penduduk kampung mengikut pengajian Tauhid dari seorang guru agama yang datang dari daerah Krian. Guru itu keturunan Banjar yang datuk neneknya berasal dari Kalimantan.

Disamping mengajar agama di surau dan masjid, guru tersebut menulis buku-buku agama yang jadi bahan rujukan guru-guru pondok di tanah air, di Patani, di Kemboja (Kampuchia) dan di beberapa kepulauan Indonesia. Buku agama itu dicetak di Pulau Pinang dalam tulisan Jawi lama.

Menurut cerita datuk, guru agama itu dilahirkan di Banjamasin tetapi sejak berusia lapan bulan dibawa oleh kedua orang tuanya ke Teluk Medan, dekat Bagan Serai. Bersekolah Melayu di situ dan masuk pengajian pondok di Kelantan. Menghabiskan masa lebih kurang dua tahun menuntut ilmu agama dan belajar bahasa Arab di Makkah dan Madinah. Khabarnya, semasa di bumi Arab Saudi itu, dia berkawan dengan cendiakawan dari Kuala Lumpur iaitu Mohamad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.

Bila pulang ke Bagan Serai, dia dilantik menjadi guru agama di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan pernah berkhidmat di bawah pemerintahan tiga sultan. Bila berhenti, ditauliahkan untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Perak secara percuma.

Pengajian Tauhid yang disampaikan secara mudah itu ternyata meninggalkan kesan pada yang hadir malam itu. Semua pertanyaan agama dijawab dengan mudah. Sesuatu yang berkesan di hati saya, bila guru agama itu mengingatkan para jemaah supaya jangan memusuhi orang-orang yang tidak seagama dengan kepercayaan dan kebebasan mereka harus dihormati selagi mereka tidak mengganggu-gugat agama Islam.

Setelah menunaikan sembahyang Isyak, para jemaah menikmati hidangan ringan yang disediakan. Kemudian para jemaah bersalaman dengan guru agama yang mahu pulang ke kampungnya dengan kereta Austin Eight hitam yang dipandu oleh cucunya.

"Bulan depan saya datang lagi," katanya pada Ketua Kampung sebelum masuk ke kereta.

"Kami nanti kedatangan tuan guru."

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 10 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now