Bab 137-Dibelit Ular Ghaib

2.1K 31 0
                                    

Saya kira bila nenek sudah mula duduk bersila begitu, pasti dia mahu mengajukan beberapa pertanyaan untuk datuk. Dan pertanyaan yang dikemukakan itu bergantung pada rasa hatinya, kalau hati sedang marah, pasti pertanyaan yang keluar menyakitkan hati. Kalau hati sudah sejuk, pertanyaan yang terhambur pasti menggembirakan hati datuk.

Masa terus berlalu, nenek masih membisu. Perbuatan itu menimbulkan keresahan dalam diri saya. Walaupun demikian, saya masih dapat mendengar deru angi di luar yang beransur perlahan.

Tetapi suara salakan anjing terus mendayu-dayu. Burung tukang, tidak sekerap tadi berbunyi. Cuma yang rancak berbunyi ialah suara cengkerik.

"Dari mana awak nak bertolak?" Nada pertanyaan nenek lembut . Wajah datuk nampak aman dan saya tersenyum.

"Dari Pulau Pinang?" Sambung nenek lagi.

Datuk gelengkan kepala.

"Dari Lumut?"

Datuk gelengkan kepala.

"Dari Melaka?"

Macam tadi juga datuk tetap gelengkan kepala.

"Habis dari mana awak nak bertolak?" Suara nenek meninggi, dia mula naik darah.

"Dari Teluk Senangin," jawap datuk.

"Haa..," nenek terkejut, mulutnya terlopong, "awak buat kerja gila, awak naik perahu menyeberang ke Sumatera. Awak nak tempah maut di Selat Melaka," sambung nenek lagi matanya tidak berganjak menatap batang hidung datuk.

"Begini," ujar datuk dalam usahanya meredakan rasa bimbang di hati nenek, " aku hanya naik perahu ke tengah laut saja, dari situ aku naik tongkang yang bawa barang-barang dari Lumut ke belawan, dari situ menyusur pantai menuju ke Jambi, kemudian masuk Kuala Sungai Batang Hari," jelas datuk kepada nenek yang nampak resah semacam saja.

Dari gerak-geri dan air mukanya, saya dapat menduga bahawa nenek kurang puas hati dengan penjelasan datuk. Macam ada sesuatu yang ingin diketahuinya, tetapi nenek takut mengajukan pertanyaan kepada datuk.

"Hum, awak kurang puas hati?" Datuk merenung hidung nenek. Tidak ada jawapan yang datuk terima dari nenek. Sebagai suami yang sudah berpuluh tahun mendampingi isteri, datuk dapat membaca perasaan hati nenek melalui gerak-gerinya.

"Tak usah bimbang, aku dah aturkan perjalanan dengan sebaik mungkin," saya lihat datuk bersuara penuh ketenangan. Memang datuk bersuara mahu menyingkirkan rasa sangsi yang bermain di hati nenek. Tidak ada sepatah kata yang nenek luahkan, dia terus membisu. Nampaknya nenek lebih senang mendengar dari meluahkan pendapat atau pertanyaan.

"Tongkang yang aku naik tu, tongkang pedagang Acheh. Aku kenal dengan nakhodanya. Sudah lama perkara ini aku aturkan lebih dari setahun," tambah datuk. Nenek anggukkan kepala tanpa memberi sebarang komen.

"Sampan nak membawa ke tengah laut tu, milik anak saudara nakhoda itu, dia tahu di mana tongkang ayah saudaranya boleh berlabuh, semuanya sudah aku susun. Kamu tak usahlah bimbang," datuk bersuara lagi. Nenek menarik nafas lemah. Mata datuk ditatapnya.

"Kalau sudah begitu, eloklah. Saya bukan apa-apa, saya cuma bimbangkan keselamatan diri awak," nenek meluahkan perasaannya.

"Sayang juga awak kepada saya," datuk bergurau. Nenek menghadiahkan senyum sinis kepada datuk. Saya lihat datuk terus tersengih panjang.

"Selain dari menengok kampung halaman, bertemu dengan sahabat handai, kemana lagi awak nak pergi?" Barulah nenek memperlihatkan keriangan di wajahnya. Datuk membetulkan duduk dan silanya supaya kemas dan selesa.

"Aku nak ke Kampar, Indragiri, Langkat, Serdang, Acheh dan ......." Datuk berhenti bercakap dan terus kerutkan kening, macam ada sesuatu yang diingatinya. Apakah yang dingat dan difikirkan oleh datuk untuk diluahkan kepada saya dan nenek?

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 10 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now