Bab 135-Kayuh Perahu Dengan Tangan

2K 33 0
                                    

Rupa-rupanya dengan anggukkan kepala yang saya lakukan itu ternyata tidak memuaskan hati datuk, lalu dia bertanya bertanya:

"Kamu faham dengan apa yang tuan haji katakan tu, Tamar?"

"Saya faham tuk," suara saya meninggi sambil menjeling ke arah Haji Yatimi. Dia tersenyum panjang. Mungkin dia berasa lucu dengan telatah saya itu.

"Kalau begitu, biar aku beredar sekarang," kata Haji Yatimi dengan wajah yang tenang. Datuk agak terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Haji Yatimi itu.

"Sekarang?" Datuk minta kepastian.

"Iya, sebelum matahari terbit aku mesti meninggalkan tempat ini, kalau lambat macam-macam boleh terjadi," jelas Haji Yatimi. Datuk tunduk membisu, tidak ada sebarang pertanyaan yang keluar dari mulutnya.

Saya renung ke dada langit, saya lihat ada kerdipan bintang yang kurang jelas di sebalik awan. Langit tetap biru. Deru ombak terus menyanyi bebuih terapung dan terkandas di gigi pantai. Dalam kedinginan itu saya menarik nafas lalu mengubah pandangan , merenung dada laut yang berkabus.

"Masa datang ke sini tadi, ada kamu nampak apa-apa?" Haji Yatimi tatap seluruh wajah datuk dengan sinar mata yang lembut. Datuk telan air liur, dia merenung ke gigi pantai macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Ada apa-apa yang kamu nampak?" Ulang Haji Yatimi lagi.

"Macam biasalah, Haji."

"Apa yang kamu buat dengan semuanya tu?"

" Saya buat macam biasa, saya buat tak kisah," jawab datuk dengan senyum.

Dialog antara Haji Yatimi dengan datuk membuat hati saya menjadi resah. Macam ada sesuatu yang tidak kena saya rasakan , macam ada rahsia yang mahu mereka sembunyikan dari pengetahuan saya. Dan saya kira perbuatan mereka yang tidak mahu bercakap dengan jujur dan ikhlas itu, adalah perbuatan yang tidak baik. Saya harus memprotes sikap itu, saya harus memaksa mereka dengan cara yang sopan untuk menerangkan keadaan yang sebenar pada saya. Kalau saya tidak berterus-terang, perasaan saya akan tertekan dan saya akan sentiasa curiga dengan Haji Yatimi dan datuk. Saya harus bertindak demikian dalam masa yang pendek saya membuat keputusan yang amat berani dan mengejutkan.

"Oh, kalau begitu, tuk sudah tahu. Patutlah tuk tak cemas bila saya cakap tentang lembaga putih tadi," saya keluarkan apa yang ada di dalam hati saya. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.

"Kamu tak usah tahu tentang hal tu," nada datuk seperti memujuk. Haji Yatimi menggigit bibir, matanya tetap merenung ke arah laut lepas.

"Datuk mahu sembunyi rahsia dengan saya?"

Tidak ada jawapan yang saya terima dari datuk.

"Ada pantang-larangnya yang membuat tuk mesti berahsia dengan saya. Tuk mesti terangkan, kalau tidak saya tak puas hati," saya mengugut secara terhormat.

Saya lihat datuk berada dalam keadaan serba salah. Dua tiga kali Haji Yatimi meraba-raba pangkal lehernya. Dia tepuk bahu datuk, seolah-olah suruh bertenang.

"Biar aku jawab boleh tak ,Tamar?" tanya Haji Yatimi.

"Saya tak kira siapa yang nak jawab,"

"Baiklah Tamar, sebenarnya kami sendiri tak tahu dari mana lembaga tu datang. Setiap kali aku dengan datuk kamu ke sini, lembaga tu tetap datang, naik pening kami memikirkannya. Akhirnya kami buat tak kisah," Haji Yatimi cuba membunuh keraguan yang bergayut di jantung hati saya.

"Walau macam mana pun, lembaga putih tu tak pernah mengganggu kami," sahut datuk.

"Kami pun tak pernah mengusiknya, dia dan kita sama-sama menumpang di bumi Allah. Dia dengan jalannya dan kita dengan cara kita, pokoknya dia juga hamba Allah macam kita, masih ada batas, ada sempadan untuk dipelihara," Haji Yatimi memberi ceramah pendek yang tidak membosankan.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 10 )(COMPLETE)Onde histórias criam vida. Descubra agora