Siri 221-Diusik Harimau Raja Susuk

1.4K 25 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

Dalam usaha mencari ketenangan dan menyingkirkan keresahan yang bersarang dalam kepala. Saya menarik dan melepaskan nafas secara perlahan-lahan.

Sepanjang yang diingati, sejak menemani datuk kemana-mana. Samaada di tanah air, di Sumatera dan di Tanah Jawa. Dalam setahun, paling kurang dua tiga kali berhadapan dengan kejadian yang tidak diduga dan sukar diterma oleh akal fikiran yang waras.

Kesan yang diterima setelah melalui peristiwa tersebut berbeza-beza. Bergantung pada kuat atau tidak tekanan perasaan yang dialami, semasa peristiwa itu, berlaku atau dalam istilah orag tua-tua di sebut "BADI."

Ada ketikanya, saya seperti orang bodoh, bercakap sendirian. Bermain pasir macam kanakkanak berusia antara 5-10 tahun. Mengigau dan mengalami mimpi ngeri. Menjerit, setiap kali matahari terbit dan matahari jatuh sambil berlari keliling rumah.

Penawar paling mujarab yang datuk lakukan, ialah menyuruh saya membaca beberapa wirid tertentu, setelah melakukan sembahyang wajib dan sunat. Dilanjutkan dengan membaca surah yassin, ayat Al-Kursi petikan surah Al-Baqarah dan lain-lain lagi.

Jika cara itu masih tidak mendatangkan hasil. Datuk sendiri akan bertindak hingga apa yang saya tanggung hilang terus. Soalnya, apakah perkara yang baru dialami sebentar tadi akan meninggalkan "BADI" yang hebat? Itulah yang berlegar-legar dalam tempurung kepala.

Bagaimana fikiran tidak terganggu. Apa yang dilihat dan dialami memang luar biasa sekali. Tidak masuk di akal. Sukar diterima oleh orang lain. Betapa tidak, dalam keadaan sedar saya seperti dibawa kedunia lain yang serba aneh.

"Apa ertinya semua ini?" Saya tersentak. Ali Usman mengulangi pertanyaan yang tidak dapat mendapat sebarang reaksi dari datuk. Pertanyaan itu juga menyebabkan apa yang saya fikirkan hilang serta merta. Datuk tidak juga memberikan jawapan.

"Apa ertinya semua ini?"

Untuk kali yang ketiga Ali Usman mengajukan pertanyaan.

"Ayah saudara kamu memang hebat," balas datuk.

"Maksudnya," sepasang anak mata Ali Usman tertumbuk kewajah datuk yang mempamirkan senyum sinis.

"Maksudnya mudah saja," ujar datuk.

"Mudah?" Ali Usman kehairanan.

Wajah saya direnunginya sejenak. Sayap bahu kiri dan kanan segera digerakkan keatas, menandakan yang saya sendiri tidak dapat menangkap maksud kata-kata yang datuk lontarkan.

"Maksud mudah itu seperti yang kamu lihat dan kamu alami."

Jawapan datuk itu bertujuan membunuh keraguan dalam diri Ali Usman. Buat beberapa ketika, saya dan Ali Usman termenung panjang. Datk Nampak tenang dan aman saja.

"Iya, saya tidak menafikan bapa saudara saya boleh menundkkan binatang buas, boleh menyuruh binatang melakukan sesuatu," nada suara Ali Usman lemah sekali.

"Sekarang kamu sudah faham Ali."

"Iya," Ali Usman mengangguk.

"Itulah kehebatan bapa saudara kamu, tapi............."

Datuk tidak meneruskan kata, mati begitu saja. Tetapi, ada senyum sinis berlari di kelopak bibir datuk yang kecut.

GARU

Ali Usman menggaru cuping telinga kanan dua tiga kali. Dan dia dapat merasakan yang datuk tidak menyindirnya.

"Tapi sebenarnya, dia tidak hebat."

Tanpa diduga datuk menyambung kembali kata yang putus. Ini sungguh mengejukan buat diri Ali Usman dan saya. Datuk seperti bermain tarik tali dengan Ali Usman.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)Where stories live. Discover now