Siri 222-Diserang Monyet Jadian

1.2K 19 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

Dalam masa yang amat singkat beratus –ratus ekor monyet menguasai bumbung rumah dan pokok ara besar. Semua monyet tersebut memperlihatkan kemarahan. Tidak mahu menerima kehadiran kami.

Bila saya acah kemarahan kumpulan monyet itu kian menjadi-jadi. Malah ada yang berani mendekati kami. Datuk dan Ali Usman tetap tenang. Buat saya, keadaan begini sungguh membosankan, menjadikan saya tidak tentu arah dan lemas sendirian. Mahu rasanya menjerit sekuat hati.

Ketika saya membongkok mahu mengambil sepotong kayu di hujung kaki untuk dibalingkan ke arah monyet-monyet yang menjerit, datuk segera memagang tangan saya.

"Jangan," suara datuk keras.

"Jangan Tamar, monyet-monyet di sini kalau diganggu akan mengamuk, susah kita dibuatnya."

Ali Usman bagaikan menyokong tindakan yang datuk buat.

"Mana kamu tahu?"

"Aku sudah mengalaminya, dulu aku datang ke sini, seekor monyet jantan mengacah-acah aku di kepala tangga. Bila di baling dengan kayu se kumpulan monyet lain datang menyerang. Nasib baik bapa saudara aku ada. Kalau dia tak ada tak tahulah apa nak kata."

"Hmmmmm............." keluh saya.

Bila melihat kumpulan monyet kian bertambah, datuk seperti keresahan. Lebih-lebih lagi bila melihat ukuran badan satu kali lebih besar dari monyet biasa.. Terdapat juga satu kumpulan monyet berbulu putih dan kemerahan. Kumpulan yang berbulu kemerah-merahan ini lebih agresif berbanding dengan kumpulan yang lain.

"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan, kita sebenarnya dalam bahaya. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, kita mesti bertindak."

Sebaik saja selesai bercakap, datuk mematahkan batang pokok kemahang yang ada disisinya. Batang kemahang itu dipatah tiga. Bahagian bawah dihumbankan ke bawah rumah manakala bahagian atas dicacak kebumi.

Batang bahagian tengah ditimang beberapa kali. Berdaasarkan gerak mulutnya, saya yakin datuk sedang membaca ayat-ayat suci. Bila pembacaannya tamat, kayu yang ditimang terus digenggam erat.

Kemudian potongan kayu itu terus dilemparkan ke pangkal pokok ara besar. Monnyetmonyet liar yang bergayutan bertempiaranmenuju kearah bukit kecil.

Akibat dari lompatan monyet-monyet tersebut, dedaun muda dan tua berguguran ke bumi. Reranting yang kering berjatuhan.

Bunyi deru akibat lompatan kumpulan monyet dari dahan ke dahan, tidak ubah seperti rebut yang kuat. Jeritan dari monyet-monyet itu menegejutkan beburung dan lain-lain unggas yang mendiami hutan sekitar rumah.

BESAR

Dalam suasana yang tidak menentu itu, seekor monyet besar yang ukuran tingginya sama dengan seekor beruang dewasa muncul dari balik pangkal pokok ara besar. Seluruh badannya si selimuti bulu tebal berwarna kemerah-merahan.

Bentuk muka monyet besar ini menyerupai muka mawas yang seketurunan dengan orang hutan dan cimpanzi. Monyet besar mendengus marah sambil menyeringai gigi yang tajam. Dalam keadaan tegak melangkah perlahan-lahan kea rah datuk.

Ali Usman bagaikan terpaku. Saya toleh ke kiri, toleh ke kanan mencari tempat yang sesuai untuk melompat dan melarikan diri. Andainya, berlaku sesuatu yang tidak diduga.

HAMPIR

Monyet besar kian lama kian hampir dengan datuk. Secara perlahan-lahan Ali Usman berubah tempat. Tadi ke kanan, kini betul-betul berada di belakang datuk. Saya pula berlindung di belakangnya (Ali Usman). Apa saja ayat-ayat Quran yang saya ingat saya terus baca.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora