Siri 229-Sedut Tulang Bayi

1.3K 22 2
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin 

 Wanita hodoh itu menggunakan kekuatan ilmu aliran nadi yang disalurkan kearah tumit kakinya yang bercantum pada sekeping papan lantai yang secara kebetulan dipijak oleh sepasang kaki Ali Usman. Andainya sebelah kaki Ali Usman memijak papan lantai yang lain, pasti aliran nadi hitam wanita hodoh tidak akan berhasil meresap ke urat darah Ali Usman. Seluruh tubuh Ali Usman jadi lembik dan perlahan-lahan mahu rebah ke lantai. Sepatutnya dia rebah ke kiri dan ke kanan tetapi yang anehnya, dia seakan-akan rebah lurus ke atas papan lantai sekeping yang dipijak oleh wanita hodoh. Bayi dalam dakapan wanita hodoh ketawa kegelian seperti digelitik. Malah bayi itu bertepuk tangan. Saya menarik nafas kecewa, beberapa detik lagi seluruh tubuh Ali Usman yang lembik akan terbaring di papan lantai sekeping. Kejadian seterusnya susah sungguh mahu diramalkan. Wanita hodoh mula ketawa, tergambar kepuasan dan kegembiraan yang amat sangat di mukanya. "Allahu hu Akbar." Datuk bertempik, melompat hampir mengenai lelangit bilik dengan kedua-dua belah kakinya terkangkang dan sepasang tangannya berkembang. Bila tubuh yang melambung itu kembali berada di lantai tanpa membuang masa datuk terus menumbuk papan lantai di hadapannya. Aneh sungguh, papan lantai yang ditumbuk tidak pecah, sebaliknya papan lantai yang menjadi tempat wanita hodoh dan Ali Usman berdiri patah dua dan tercabut dari paku. Papan yang patah jatuh ke tanah lalu terbentuk ruang atau lubang yang panjang. Cahaya dari luar menyelinap masuk. Ketawa si bayi dalam dakapan wanita hodoh terhenti dan wajah wanita hodoh yang ceria menjadi keruh dan cemas. "Kubur untuk kau," kata datuk. "Belum tentu." Sahut wanita sambil menjenguk ke arah lubang lantai yang ternganga, macam mulut buaya lapar menanti monyet turun dari pokok bakau. Saya pastikan, sebaik selesai menjengah ke lubang yang terpelohong itu, wanita hodoh termenung seketika. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. "Mungkin juga untuk aku, mungkin juga untuk orang yang mungkir janji," sindir wanita hodoh sambil menjeling tajam ke arah Ali Usman yang sudah boleh berdiri dengan betul, sebaik saja papan yang di pijaknya patah dan menjadi lubang. "Bertenanglah Ali Usman. Aku tidak akan membiarkan kamu sengsara," sebuah ikrar terpancar dari kelopak bibir datuk. Ali Usman yang sudah memperolehi kekuatan semangat dan fizikal mengukir sebuah senyum keyakinan buat dirinya dan datuk. "Hai, orang tua nak mampus, usah masuk campur dalam urusan ini. Biarlah hal ini diselesaikan oleh anak saudara orang terbabit dalam perkara ini," satu permintan yang keras dari wanita hodoh untuk datuk. Di sebalik permintaan yang keras itu, wanita hodoh terus menjadikan datuk sasaran kemarahannya untuk kali kedua. Kalau tadi matanya merah menyala dan kedua belah bahu mengeluarkan asap. Tetapi, kali ini dari mata yang merah itu terpancar cahaya kebiruan yang panjang dan tajam, macam pancaran laser. Setiap benda yang terkena pancaran cahaya akan cair dengan sendiri Manakala dari kiri dan kanan bahu sudah bertukar daripada asap mengeluarkan percikan bunga api seperti yang selalu dimainkan oleh kanak-kanak ketika menyambut hari raya. GAGAL

Berkali-kali sorotan pancaran cahaya itu diarahkan kepada datuk. Semuanya gagal, pancaran itu seolah-olah ditolak oleh angin ke arah lain. Dalam masa yang sama terdengar suara datuk membaca surah Al-Kursi dengan fasih dan lancar sebutannya. Selagi ayat-ayat itu terkeluar dari mulut datuk, kedudukan sorotan cahaya tidak mengikut seperti apa yang di arahkan oleh wanita hodoh, malah sorotan cahaya menjadi lintang pukang dan saling tindih menindih. Setiap kali sorotan cahaya itu berpatah ke arah wanita hodoh dan mengenai tubuhnya, wanita hodoh akan menjerit kesakitan dan hujung rambutnya akan terbakar lalu mengeluarkan bau hangit yang amat sangat. "Bodoh sial," Wanita hodoh cuba menimbulkan kemarahan datuk. Dalam perkiraanya, bila datuk marah, datuk tidak dapat mengawal perasaan. Mudahlah baginya mencari kekurangan atau kelemahan diri datuk. Dengan itu mudah lah dia menewaskan orang tua yang menjadi batu penghalang cita-citanya. Segala usaha yang dilakukan tidak menjadi. Datuk tetap tenang dan dingin. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Sebaliknya terus mendekati Ali Usman. Bahu kiri anak saudara raja pukau itu ditepuknya beberapa kali. Ternyata tindak tanduk itu menyemarakkan kemarahan yang sedia ada dalam dada wanita hodoh. Dengan serta merta pancaran cahaya yang menyerupai pancaran laser itu dimatikan. "Kraaakkkkk...." Seluruh perhatian kami tertumpu ke arah bunyi tersebut. Beberapa keping papan lantai turut patah (terutama di kiri kanan papan yang patah pada mula-mula tadi) membentuk permukaan yang bulat seperti permukaan perigi yang seluasnya lebih dari empat kaki dalam bentuk bulat. Dari permukaan papan yang bulat itu terhulur secara perlahan-lahan ketulan batu bata tua yang penuh lumut dan rumput-rumput. Ketulan batu lama tersusun rapi mengelilingi lubang yang tersedia di lantai. "Telaga timbul dalam bilik," itu komen saya melihat kejadian di depan mata yang tidak masuk di akal. "Itu bukan telaga, tetapi kubur untuk kamu bertiga," wanita hodoh membalas komen saya. Datuk hanya diam. Sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Wanita hodoh terus berusaha dengan menimbulkan bermacam macam bunyi yang lebih menakutkan daripada tadi di dalam bilik. Malah dengan kuasa sihir yang ada padanya, wanita hodoh mendatangkan ular bisa dan beribu-ribu kala jengking di atas lantai. Semua binatang berbisa menuju ke arah kami bertiga tetapi berpatah balik ke arah wanita hodoh lalu menjadi dedaun kering, bila datuk menjentik papan lantai dengan kuku jari hantunya. PERUT Jalan terakhir yang dilakukan wanita hodoh untuk melunaskan rasa marah hatinya, bayi dalam pangkuannya dibalingkan ke pangkal tiang. Kepala bayi itu berkecai dengan otak bersemburan. Tempurung kepalanya terbelah dua. Apa yang menakjubkan bayi itu tidak menangis langsung. Darah bertebaran di lantai. Memang tidak disangka, kejadian yang ngeri dan menakutkan itu berlaku di depan mata. Saya kecut perut. Wanita hodoh melangkah ke tiang tempat dia menghempaskan bayi kesayangannya. Sekujur tubuh bayi terkapar dilantai, dikelilngi darah merah segar. "Daripada hidup menderita, tidak bertuan lebih baik kamu mati," terdengar ratapan dari wanita hodoh. Sungguh mendebarkan bila sepasang kaki wanita hodoh memijak-mijak tubuh si bayi. Darah memancut-mancut dari tubuh bayi yang malang. Wanita hodoh duduk mencangkung di depan tubuh bayi yang terkapar.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)Where stories live. Discover now