BAB 1

1.1K 39 1
                                    

"Maafkan abang sayang... Kalau abang balik awal hari tu... tentu sayang dan anak kita masih hidup." Hasnul menitiskan air mata di hadapan kubur isterinya. Tanpa segan silu dia baring di situ. Dia tidak pedulikan pandangan pengunjung yang melihat gelagatnya.

"Izz sayang... maafkan papa. Sebab papa Izz tak dapat jenguk dunia." Hasnul terus menangis. Anaknya dikebumikan satu liang dengan Sofea.

Tiga bulan sudah berlalu namun dia masih tidak boleh menerima hakikat kematian isteri dan anaknya. Seandainya masa boleh diputar semula, dia tidak akan biarkan telefon dalam mode senyap. Pasti panggilan Sofea dia dapat jawab segera dan akan lekas pulang. Isteri dan anaknya dapat diselamatkan. Dia... bahagia dengan Sofea dan Izz.

"Sayang ingat tak hari ni hari apa?"

Sepi. Dia mengharap sesuatu yang sia-sia. Jawapan kepada soalannya tidak akan pernah muncul sampai bila-bila.

"Hari ni, enam tahun yang lalu kita berjumpa buat pertama kalinya. Sayang ingat tak?

Soalannya tidak terjawab. Hasnul cuba untuk senyum namun gagal. Air mata yang gugur menggila dia kesat dengan jari. Pernah dia memohon kepada Allah agar nyawanya ditarik sekali. Dia ingin berjumpa dengan Sofea dan anak mereka di alam sana.

Trettt! Telefon bimbitnya yang diletakkan di poket bergetar. Sengaja dia letak dalam silent mode. Tidak mahu ada sesiapa yang mengganggu dia. Dia biarkan sahaja panggilan itu. Seketika kemudian panggilan itu terhenti. Namun telefonnya kembali bergetar. Tubuhnya ditegakkan. Dia kembali duduk bersila.

Telefon dikeluarkan dari kocek. Nama 'Mama' tertera di skrin. Hasnul tidak mahu ibunya tahu dia sedang menangis. Dia tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan. Cuba berlagak biasa. Air matanya dikesat dengan jari.

"Assalamualaikum ma."

"Waalaikumsalam. Hasnul kat mana sayang?" Kedengaran riak risau dari hujung sana.

"Hasnul kat rumah ma. Kenapa ya?" Hasnul berbohong. Kalau ibunya tahu dia akan di kubur Sofea, pasti ibunya akan marah. Adakalanya sampai seharian dia di kubur. Menjelang Maghrib baru dia pulang.

"Mama tak pernah ajar anak mama bohong. Siapa yang ajar anak mama bohong ni!?"

"Mana ada Hasnul bohong..." Hasnul masih mahu menafikan.

"Kalau Hasnul ada kat rumah mesti Hasnul dengar mama ketuk pintu bagai nak roboh ni! Hasnul pergi kubur lagi ke!?"

Hasnul jauhkan telefon dari telinga. Mama kalau memetir boleh rosak gegendang telinga.

"Mama... tolonglah faham Hasnul."

"Mama tak nak faham kalau..."

Hasnul tamatkan panggilan. Dia mematikan telefon bimbitnya. Kenapa semua orang tidak mahu faham akan dirinya? Kenapa semua orang memaksa dia lupakan Sofea? Sofea adalah isterinya. Sofea mati kerana dia. Dia pembunuh.

"Semua orang suruh abang lupakan Sofea... tapi abang tak akan lupakan Sofea. Abang janji sayang." Hasnul menyentuh tanah yang seperti menyentuh pipi Sofea. Hasnul tunduk dan mengucup tanah kubur itu.

"Kita jumpa esok ya sayang." Hasnul bangkit. Tengah hari sudah lama berlalu. Tiba-tiba dia terasa lapar. Dia pun tidak pasti bila kali terakhir perutnya menerima sebarang makanan. Ketiadaan Sofea membuatkan dia lupa segala-galanya. Ada kalanya dia bagaikan lupa erti bernafas dengan tenang.

Hasnul mengibas belakang bajunya. Langkah kaki di ayun perlahan menuju ke kereta. Mukanya diangkat untuk melihat keretanya. Berjalan di sebelahnya seorang perempuan memakai baju hitam dengan tudung hitam serta berkaca mata hitam. Alat kawalan jauh ditekan untuk membuka kunci kereta.

YOU CAN CALL ME MONSTER (RAW VERSION)Where stories live. Discover now