BAB 5

685 36 6
                                    

"Rimaslah pakai baju kurung ni. Dah macam perempuan sangat." Atikah membetulkan baju kurung yang dipakainya. Sungguh dia tak selesa.

Ini semua gara-gara Hana yang ajak dia pergi kenduri di rumah Sufian. Berkali-kali dia tolak ajakan Hana dan Sufian tapi akhirnya dia kalah juga. Malah dia harus pakai baju kurung yang selama ini dia hanya pakai pada pagi hari raya pertama sahaja.

"Macamlah kau tu lelaki." Hana tarik tangan Atikah. Jangan tunjuk sangat rupa tidak selesa di hadapan orang. Malu dia. Sufian sedang menuju ke arah mereka.

"Atikah pakai baju kurung. Sah besok pagi hujan bunga sakura." Sufian tayang gigi. Bukan selalu dapat tengok Atikah pakai baju kurung.

"Kau ingat ni cerita Goblin. Hujan bunga Sakura." Sikit lagi dia hendak angkat tangan. Mujur Hana tahan.

"Saya paksa dia sayang. Siap bagi upah bagai. Kalau tak mana dia nak pakai. Tetap dengan baju kemeja dia tu." Beritahu Hana. Kalau ikutkan Atikah, t-shirt dengan kemeja ajelah pakaian yang wujud di dunia ini.

Atikah buat muka bosan. Kalau dah pasangan merpati sejoli ni mengusik memang dia akan kalah. Malas hendak melayan keduanya.

"Kau ni mata duitan betul lah."

"Sufi... Masuk tandas pun kena pakai duit tau. Mestilah duit segala-galanya. Kau bawaklah Hana jumpa mak kau." Atikah menolak tubuh Hana agar berdiri di sebelah Sufian. Lagi cepat selesai urusan lebih bagus. Boleh balik awal dan tukar baju.

"Kau?" tanya Hana. Risau juga hendak menghadap bakal emak mertua seorang diri.

"Pandailah aku bawak diri. Aku kan minah rock. Macam tak biasa pulak kat sini." Atikah buat tanda peace. Dia datang hanya untuk menamani Hana. Tidak perlulah ikut Hana masuk sekali jumpa keluarga Sufian yang memang dia sudah lama kenal.

"Jangan buat kecoh tau." pesan Hana.

Atikah angguk. Kalau tak ada hantu degil buat apa dia nak kecoh. Dia menuju ke meja buffet. Makan dulu pun bagus. Dia mengambil dua ketul tauhu bergedel. Sekejap lagi baru dia makan nasi. Melihat kuih muih seleranya tiada. Dia yang buat kuih itu. Memang dia sudah makan siang tadi.

Selesai mengambil makanan dia mencari tempat duduk. Tiba-tiba matanya terpandang sesuatu. Dia mendekati meja itu yang terletak agak hujung dan tersorok.

"Encik Hasnul." Atikah tarik kerusi lalu duduk di sebelah lelaki itu.

Hasnul menoleh ke sebelah. Dia tidak kenal gadis itu. Selamba sahaja duduk tanpa meminta izin. Dia hendak marah dan halau tapi rasa tidak manis pula buat hal di majlis orang. Adik sepupunya Safwan akan melanjutkan pelajaran ke Sabah. Hari ini diadakan kenduri doa selamat.

Dia memerhatikan gadis itu dengan teliti. Baru dia ingat di mana mereka pernah berjumpa. Sangat berbeza penampilan dengan pertemuan pertama mereka. Nampak feminin sedikit dengan berbaju kurung.

"Suka sangat ambik makanan tapi tak usik. Tak nak makan tak payah ambik. Biar orang lain makan." Atikah tarik pinggan berisi mihun goreng dan selamba sahaja makan.

Hasnul mahu menegah tapi sudah terlambat. Dia biarkan sahaja gadis itu makan. Lagi pula masih dia boleh ambil yang lain. Bukan dia tidak mahu makan. Dia belum bersedia untuk makan. Matanya memerhatikan gadis itu.

"Orang mati tak boleh makan. Hantu kat sebelah Encik Hasnul pun tak boleh makan. Tak baik membazir tau. Membazir ni amalan syaitan." Atikah terus membebel sambil menyuap mihun goreng.

"Kau sibuk kenapa?"

"Muka Encik Hasnul lebih pucat dari yang saya jumpa hari tu. Ada niat nak bunuh diri lagi ke? Hantu kebaya merah tu suruh encik mati kan? Dan encik hampir nak terjun dari balkoni" Atikah sudah habis makan. Pinggan dia tolak ke tepi. Dia menjeling hantu di sebelah Hasnul. Marah sebab dia mengganggu.

YOU CAN CALL ME MONSTER (RAW VERSION)Where stories live. Discover now