Bab 1

290 3 0
                                    


843 k followers. 167 following. 2794 posts.

Gambar terbaru berlatarbelakangkan Dubai Miracle Garden yang baru saja dimuat naik pantas menerima jumlah love. Dalam seminit, sudah lebih 10 ribu tanda love terhias di pandangan.

_itsdamien Hey, beautiful!

roykhalil You look so pretty, Lila!

sophieamora111 Amazing! Beautiful flowers and the beautiful person!

Lila tersenyum senget membelek skrin telefonnya. Melihat ribuan netizen yang menurunkan komen dan memberikan love pada gambar dirinya yang sedang bercuti di Dubai ketika cuti semester berlangsung sudah jelas membuatkan hatinya kembang setaman. Seketika, butang live ditekan dan dia mula berinteraksi dengan para pengikutnya di laman Instagram.

Jennafaris19 Oh my god! You look so gorgeous, Lila!

Rezafaliq06 I love you, Lila! Stay cantik macam selalu tau.

Sitiabdul Flawless nyer kulit you! Produk apa yang you pakai? I nak juga. Hehe.

Pujian demi pujian diterima. Bangga apabila menjadi perhatian orang. Terasa dirinya begitu beruntung kerana memiliki kecantikan semulajadi yang mampu membuatkan sesiapa saja tidak lekang memuji. Disebabkan kecantikan inilah, mudah saja dia mencuri tumpuan lensa kamera.

Walaupun baru setahun jagung, dia sudah berjaya mencipta rekod sebagai instafamous paling popular sehingga berjaya menjana pendapatan lumayan melalui medium itu. Malah, kerjaya sebagai model sambilan juga berjaya membuatkan Lila berada di dalam kelas yang tersendiri.

Lila bahagia! Sekurang-kurangnya, dia dapat mengurangkan rasa kosong yang bermukim di hati.

"Dik, bahagian atas tu senget! Hah, betulkan sikit. Sikit aje!" Suara dari luar Mini Cooper mencuri tumpuan Lila. Pantas dia menamatkan sesi live di Instagram lalu memboloskan diri dari perut keretanya. Wanita yang sedang berdiri tidak jauh dari sebuah premis kedai didekati. Hairan Lila dibuatnya. Apa yang dilakukannya di premis bersebelahan Lila's Café?

"Umi buat apa ni?" Lila menjongketkan keningnya, merenung tampang Puan Dahlia yang kelihatan bersungguh-sungguh. Rasa tertanya-tanya Lila semakin bercambah apabila melihat senyuman yang dilemparkan oleh Puan Dahlia kepadanya. Sesekali matanya dilarikan ke arah dua orang lelaki yang sedang berpaut pada tangga yang diletakkan di hadapan pintu masuk ke premis tersebut.

"Ni haa... umi tolong budak-budak ni. Umi nampak papan tanda ni senget, jadi umi tolonglah beritahu diorang." Puan Dahlia membalas.

"Lila dah habis kelas ke?" Wajah Lila dipandang.

Lila hanya tersengih bersahaja kepada Puan Dahlia, ibu saudaranya yang dipanggil umi itu. Ya, memang dia baru saja selesai menghadiri kuliah. Dia sengaja singgah sebentar ke Lila's Café milik Puan Dahlia ini untuk membantu wanita itu sementara menanti call time yang telah diberikan oleh Butik Rhia, iaitu butik yang telah menggajikannya untuk menjadi model pakaian mereka.

"Dah umi. Tapi petang nanti Lila ada photoshoot. Lila singgah sekejap aje kat sini."

"Hah, elok sangatlah tu. Lila masuk ke dalam tolong umi ya?" Puan Dahlia menolak-nolak bahu gadis itu sehingga membuatkan Lila mengerutkan kening.

"Ada apa-apa yang Lila tak tahu ke, umi?" Sempat lagi Lila mengeraskan tubuh di pertengahan kaki lima kedai. Bukannya dia tidak mengenali Puan Dahlia. Ini Lila la! Sekilas ikan di air pun dia sudah tahu yang mana satu jantan dan yang mana satu betina. Inikan pula wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Pastilah ada apa-apa ni!

Dear LilaWhere stories live. Discover now