Bab 4

86 3 0
                                    


Setelah beberapa hari berehat di rumah, baru kini Lila kembali menjalani rutin hariannya seperti biasa. Beberapa kontrak kerjanya dengan beberapa pihak telah dibatalkan secara rasminya setelah dia ke pejabat mereka dan mendapatkan pengesahan.

Walaupun semua cerita yang bertebaran di media sosial itu merupakan fitnah terhadap dirinya, dia tetap merasa tidak adil apabila dilayan dengan begitu teruk. Pesanan Puan Dahlia kuat bergendang di telinga Lila buat kesekian kali sebaik dia teringat tentang apa yang telah berlaku dan menimpanya.

'Perkara dah berlaku, Lila. Tak ada apa-apa yang boleh diubah lagi. Tapi, percaya cakap umi. Lila masih boleh betulkan keadaan dengan memperbaiki diri. Tinggalkan semua perbuatan yang mendorong ke arah maksiat. Buat solat taubat. Minta ampun dekat Allah. Dan jangan lupa... minta kekuatan daripada Allah agar Lila mampu hadapi semua ini.'

Puas dia menangis di atas tikar sejadah, baru dia berasa lega. Mungkin ini balasan untuknya kerana selalu melanggar hukum tuhan. Lila rasa terpukul dengan semua ini.

Baiki diri. Mulakan hidup baru. Buktikan pada dunia bahawa dia berhak untuk mendapat peluang kedua. Dan buktikan pada dunia bahawa dia juga berhak untuk menjalani hidup seperti biasa tanpa dipengapa-apakan sama ada di media sosial atau pun di dunia nyata.

Selepas kelas pagi berakhir, Lila menuju ke kafeteria yang terletak di aras G bangunan Fakulti Perniagaan. Sedari jauh lagi dia sudah melihat kelibat Elisa dan Bella sedang melepak di sebuah meja dalam kafeteria. Dia yakin kedua-dua mereka juga sudah pasti baru habis kelas memandangkan mereka berdua mempunyai beberapa subjek berbeza dengannya pada semester ini.

Sudah banyak hari dia cuba menghubungi mereka berdua tetapi talian Elisa dan Bella sentiasa sibuk. Mujur saja dia tergerak hati untuk singgah ke kafeteria ini. Berjodoh dia dengan Elisa dan Bella setelah seminggu tidak bersua muka.

"Hey, babes. What's up? Lamanya I tak dengar cerita you berdua." Tanpa dipelawa, Lila terus melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Elisa dan Bella yang sedang berbual-bual.

Sebenarnya, dia risau juga nak menegur mereka berdua. Risau kalau-kalau mereka tidak sudi untuk berbual dengannya sejak kes tempoh hari. Apatah lagi apabila Elisa dan Bella masing-masing meninggalkan group The Gorgeous Armies secara tiba-tiba.

Elisa dan Bella yang tidak bersedia menerima kehadiran Lila terus terkedu. Masing-masing menayang wajah pucat. Malah, mereka saling berpandangan sesama sendiri seolah-olah sedang bercakap dalam bahasa isyarat.

"Hai, Lila..." balas Bella sedikit tergagap-gagap. Liurnya ditelan. Senyuman kelat ditayang.

"Kenapa you berdua pandang I macam tu?" aju Lila setelah Elisa dan Bella melemparkan pandangan semacam kepadanya.

"Erm, nothing!" Bella menggeleng, sekadar beralasan. Sedangkan hatinya berkocak hebat tatkala melihat Lila tiba-tiba saja muncul di hadapan mereka.

Ugutan dan amaran lelaki misteri pada malam parti anjuran Amri tempoh hari masih segar lagi di ingatannya. Entah kenapa sejak kejadian malam itu, hatinya sentiasa berasa tidak senang tambah-tambah selepas dia mendapat berita bahawa Lila telah jatuh sakit keesokan harinya.

"Erm, sorry Lila. We need to go. Kami berdua ada kelas lagi lepas ni." Elisa kalut mengemas buku-buku yang bersepah di atas meja. Begitu juga dengan Bella apabila lengannya dicuit oleh gadis itu. Kelam kabut kedua-dua gadis itu beredar setelah itu.

Lila pula hanya mampu menghantar kelibat Elisa dan Bella berlalu dengan ekor mata. Ah, kenapa dengan mereka berdua? Adakah mereka benar-benar sibuk dengan kelas atau sekadar mencari alasan agar dapat menjauhinya? Mungkinkah mereka berdua telah termakan dengan hasutan dan fitnah netizen yang tak sudah-sudah menjadikan cerita di parti itu sebagai bahan gosip dan jenaka?

Dear LilaWhere stories live. Discover now