Bab 3

88 2 0
                                    


Pintu bilik Lila diketuk oleh Puan Dahlia. Mahu memeriksa keadaan gadis itu pagi ini sebelum dia keluar ke Lila's Café. Teringat yang Lila pulang dalam keadaan yang sedikit mencurigakan malam tadi membuatkan hati kecilnya terdetik untuk bertanya.

"Lila." Puan Dahlia menyeru nama gadis itu tetapi panggilannya tidak bersahut. Diketuknya pintu bilik Lila beberapa kali namun masih tiada jawapan dari dalam.

Tap!

Tombol pintu bilik dipulas. Pintu dikuak. Terlihat Lila masih berselubung di bawah comforter.

"Ya Allah, Lila. Kenapa tak bangun lagi ni? Dah lewat, Lila. Nanti lambat pergi photoshoot." Puan Dahlia mendekati Lila sambil membebel kecil. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk halus sambil memanggil-manggilnya lagi tetapi panggilannya tetap tidak bersahut sehingga menyebabkan Puan Dahlia terpaksa menarik comforter lalu melemparkannya ke bawah. Jam di dinding dijeling. Sudah pukul 8.45 pagi. Bukankah Lila mempunyai call time pada jam 9 pagi?

"Lila, bangunlah. Dengar tak umi panggil ni? Dah lewat ni." Puan Dahlia menggoncang-goncang bahu Lila tetapi gadis itu masih terus terkaku di atas katil.

Melihat keadaan Lila, Puan Dahlia sedikit panik. Menyedari wajah Lila yang memucat dengan bibirnya kelihatan kering menyebabkan dia kekalutan seorang diri. Disentuh pula dahi dan leher Lila. Panas!

"Lila, bangunlah. Jangan buat umi risau, sayang. Ya Allah!"

Nafas Lila kedengaran sangat perlahan. Pergelangan tangan Lila disentuh, memeriksa denyutan nadinya. Kerisauan Puan Dahlia mula bermukim di hati apabila melihat keadaan Lila dan memikirkan tentang Datuk Katrina. Apa yang dia hendak jawab kepada wanita itu jika Datuk Katrina menelefonnya nanti bertanya tentang Lila? Yang lebih merisaukannya ialah apa yang dia perlu lakukan dengan Lila sekarang ini?

Dua jam kemudian, setelah Puan Dahlia mengiringi doktor peribadi keluarga mereka ke muka pintu, dia bergegas naik ke bilik Lila untuk memeriksa keadaan gadis itu. Baru sekarang dia berasa lega setelah Doktor Ruzana mengesahkan bahawa Lila hanya demam biasa dan tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital. Lila hanya perlu berehat di rumah selama beberapa hari sehinggalah keadaannya kembali pulih seperti biasa.

"Umi tak pergi kafe ke?" aju Lila tatkala Puan Dahlia sedang membantu gadis itu bersandar ke kepala katil.

"Tak. Hari ni umi temankan Lila kat rumah."

"Tak payah la, umi. Lila okey aje ni. Umi pergilah kafe. Lila boleh jaga diri sendiri."

"Isk, Lila ni buat umi risau ajelah. Lila tu bukannya sihat lagi. Macam mana kalau jadi apa-apa masa umi tak ada di rumah?"

Lila hanya tersenyum kecil melihatkan raut wajah Puan Dahlia. Risau benar wanita itu dengan dirinya. Tidak seperti Datuk Katrina. Lila hidup atau mati... dia tidak pernah peduli. Apa yang dia tahu, hanya perniagaannya saja. Lila mengeluh deras apabila mengenangkan Datuk Katrina. Alangkah indahnya kalau Datuk Katrina ada bersama dengannya ketika dia jatuh sakit begini.

"Kuat mengeluh tu. Fikir apa?" Sempat lagi Puan Dahlia mencuit dagu Lila yang sedang termenung.

"Mommy ada telefon umi?"

"Tak ada pula. Kenapa Lila tanya?"

"Saja. Tapi, kalau mommy telefon umi nanti, jangan cakap apa-apa kat dia pasal Lila."

"Kenapa pula umi tak boleh beritahu dia apa-apa? Lila kan anak dia?" Puan Dahlia menggeleng.

Dia tahu dan ingat dengan pesanan yang Lila selalu titipkan buat dia supaya tidak memaklumkan apa-apa kepada Datuk Katrina mengenai dirinya. Puan Dahlia sebenarnya rasa tersepit. Di sini Lila dan di sana Datuk Katrina. Dua-dua dia sayang. Tapi, bila hubungan mereka ada masalah... Puan Dahlia tak tahu nak buat apa. Kebetulan pula dia memang tidak sempat hendak menelefon Datuk Katrina memaklumkan keadaan Lila. Dia teringat yang Datuk Katrina ada beritahunya yang wanita itu akan berada di luar kawasan untuk dua atau tiga hari. Jadi, dia mungkin tidak boleh berhubung dengan wanita itu.

Dear LilaWhere stories live. Discover now