55

404 44 1
                                    

Tun Daim termenung selepas solat jemaah dengan Pak Syeikh. Selesai Isyak, mereka bersolat hajat bagi memudahkan misi membawa balik Puteri Wang Li Bao.

"Anakanda, bagaimanakah keadaan Cempaka?"tanya Pak Syeikh setelah selesai doa. Tiada jawapan dari Tun Daim. Dia berpaling ke belakang dia melihat Tun Daim tertunduk merenung sejadah. Dia menggelengkan kepalanya. Dia mengalihkan tubuhnya menghadapi Tun Daim. "Anakanda?"tegurnya sekali lagi. Dia menepuk lengan Tun Daim.

"Ayahanda bertanyakan Daim?"soal Tun Daim tersedar dari lamunannya. Pak Syeikh tersenyum.

"Apabila hati kita menyukai seseorang tidak semestinya akan berbalas. Lelaki yang baik akan beroleh perempuan yang baik. Jodoh pertemuan rezeki dan ajal adalah rahsia Allah,"kata Pak Syeikh memulakan bicara.

"Mungkin ini adalah balasan Daim kerana selama ini begitu dingin dengan Cempaka. Banyak yang Daim pertuturkan sebelum ini kepadanya caranya begitu kasar. Anakanda sedar,"keluh Tun Daim. "Entahlah, sebelum kecelakaan itu, anakanda selalu beranggapan yang Cempaka ini terlalu dimanjakan, jahil dalam agama, tidak kenal Al-Quran. Hanya tahu berhias dan bermain sepanjang waktu." Pak Syeikh masih lagi mendengar isi hati Tun Daim. "Daim takkan berbohong ayahanda sebelum kejadian itu hati Daim milik Syahida malah Daim berniat menyuntingnya sebagai isteri kerana Syahida sempurna di mata anakanda."

"Urusan perkahwinan bukan kerja orang muda, anakanda. Orang tua yang selayaknya memilih mana terbaik untuk anak-anak,"balas Pak Syeikh. Tun Daim mengangguk.

"Sebab itu Daim ikutkan sahaja biarpun jiwa dan raga tidak bersetuju. Anakanda masih ingat subuh selepas kecelakaan itu anakanda mendengar Cempaka mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran malah mengimamkan Kembang Cina. Hati ini berbalik dari benci kepada sayang dengan sekelip mata. Tapi anakanda terlewat agaknya, Cempaka yang sedar dari sakit tidak lagi seperti Cempaka yang dulu. Dia lebih berani dan langsung tidak mengendahkan anakanda."

Tun Daim tertunduk kerana seribu penyesalan melanda hatinya. Pak Syeikh menepuk-nepuk bahunya.

"Hati itu milik Allah. Banyakkan berdoa dan berharap agar Cempaka lembut hatinya. Hanya Allah dapat menjentik hati seseorang untuk menyayangi,"nasihat Pak Syeikh. "Sudahlah bersedih. Sebagai lelaki anakanda harus kuat,ya? Pak Syeikh doakan yang terbaik untuk anakanda," bicara Pak Syeikh terhenti di ketika itu.

"Terima kasih, ayahanda,"kata Tun Daim sambil bersalaman. "Anakanda meminta diri dulu,"ucapnya sambil berlalu. Tun Daim terfikirkan Cempaka dan dia berhasrat untuk pergi Kembang bertanyakan khabar.

Kembang baru sahaja pulang daripada dapur selepas menyediakan ramuan untuk dimasak masa sarapan. Dan membantu Shu Wu Ji menyediakan snek malam untuk Sara. Dia berjalan dengan penuh keletihan. Tun Daim yang baru sahaja menutup pintu kamar kediaman Pak Syeikh terus memanggil Kembang.

"Ya, datuk,"kata Kembang menunduk hormat.

"Kau dari mana?"

"Dayang dari dapur datuk, kenapa?"tanya Kembang. Hatinya berdebar-debar takut akan pertanyaan seterusnya.

"Cik muda bagaimana?"

"Cik muda selepas diberi ubat dia tidur datuk,"jawab Kembang langsung tidak memandang Tun Daim.

"Kau di sini, siapa yang tinggal dengan Cik Muda?"tanya Tun Daim nadanya semakin tegas.

"Err..ada datuk. Sebab tu dayang boleh ke dapur,"jawab Kembang gemuruh. Tun Daim cuba menelah airmuka Kembang.

"Siapa yang menemani Cik Muda?"tanyanya berhati-hati. Lama Kembang berfikir jawapan yang sebaik mungkin. "Eh, kau tak dengar ke?"sergah Tun Daim. Terangkat bahu Kembang disergah. Dia menundukkan kepalanya sekali lagi.

Sara: Cempaka Sari (Vol 1)Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu