BAB 4

365 10 0
                                    

NAMA aku Saiful. Saifulzaman Bin Abdullah. Berumur genap 30 tahun pada tahun ini. Bekerja sendiri sebagai seorang penulis novel seram dan thriller sepenuh masa. Perjalanan bagaimana aku menjadi penulis ini mungkin berbeza daripada kebanyakan penulis-penulis tanah air yang lain.

Rata-ratanya menulis kerana minat. Tidak kurang juga yang menulis kerana mahukan populariti. Aku? Entahlah. Aku menulis hanya kerana ingin bercerita. Ingin berkongsi segala pengalaman aneh yang aku hadapi tetapi aku tak mampu ceritakan kepada orang lain.

Aku diuji Tuhan semenjak kecil. Ujian yang kadang-kadang aku rasa ragu sama ada ia adalah anugerah ataupun bala. Namun aku yakin Allah Maha Mengetahui. Apa yang Dia kurniakan kepada hamba-Nya pasti bersebab dan ada hikmah-Nya yang tersendiri.

Kerana itu, aku terima kelebihan yang Allah beri ini sebagai satu kurniaan daripada-Nya.

Aku diberikan kelebihan dengan pancaindera yang istimewa. Aku mampu melihat, mendengar dan merasai. Apa yang istimewanya?

Orang biasa juga boleh melihat dengan mata, mendengar dengan telinga dan merasai dengan pancaindera lainnya. Anehnya, aku boleh melihat mahkluk pelik, mendengar suara-suara tidak bertuan dan merasai kehadiran mahkluk yang tidak diundang. Apa yang aku pasti mereka bukan manusia.

Jin? Syaitan?

Entah, aku pun tidak tahu. Apa yang pasti, aku yakin mereka juga mahkluk dan hamba Allah. Kerana setiap apa yang dijadikan di muka bumi ini tidak wujud dengan sendirinya melainkan hanya dengan kekuasaan dan keizinan daripada Allah, Tuhan pencipta alam.

Gila?

Aku juga pernah terfikir yang aku ini gila. Nampak sesuatu yang bukan-bukan, boleh mendengar suara-suara bisikan dan merasai kehadiran orang asing di sekelilingku.

Aku pernah bertemu dengan pakar psikiatri dan juga pakar psikologi. Aku ceritakan semuanya tentang diriku. Mereka juga mengkaji tentang 'penyakitku' ini. Namun, hasilnya mereka pasti aku tidak gila.

Kerana aku masih mampu berfungsi dan hidup seperti orang normal. Tidak pula aku berubah kelakuan menjadi tidak terurus, membahayakan orang lain mahupun menyakiti diri sendiri. Sudahnya mereka kata aku terkena 'buatan' orang.

Aku jumpa pakar perubatan Islam. Seorang sahabatku, Malik, pandai mengubati orang yang disihir, terkena gangguan dan segala penyakit yang melibatkan perkara ghaib ini. Setelah diperiksa tiada pula tanda-tanda aku dianiayai orang mahupun didampingi mahkluk tidak diundang.

Tiada apa yang meragukan.

Sudahnya, Malik kata padaku, ini adalah anugerah Tuhan. Tidak semua orang memiliki kemampuan ini. Nasihatnya, dekatkan diri kepada Allah, kuatkan spiritual diriku supaya aku tidak mudah tertekan dan kalah dengan gangguan mahkluk-makhluk halus dan ghaib ini.

Sebenarnya, kemampuan pancaindera istimewa ini ataupun mudahnya aku panggil sixth sense ini, telah aku miliki semenjak kecil. Kataku ibuku, yang kini sudah tiada (semoga Allah merahmati ibuku di alam sana), ketika kecil, aku kerap menangis dan ketawa sendirian. Aku selalu bermain sendirian dan berbual seorang diri. Seolah-olah aku punyai kawan ghaib yang menemani aku bermain.

Pernah suatu ketika, ibuku berkata aku berbual dengan sorang lelaki hitam di luar rumah pada waktu senja. Aku memanggil-manggil lelaki itu masuk ke rumah dan aku ceritakan pada ibuku ada tetamu datang. Namun apabila ibuku keluar tiada sesiapa di situ.

Semenjak itulah ibuku perasan bahawa aku punyai kelebihan istimewa. Namun, aku tidak ingat semua itu kerana aku sangat kecil dan tidak faham apa yang berlaku.

Kata ibuku, apa yang aku alami ini mungkin berpunca daripada bapaku dan kawannya yang merupakan guru silat di kampung kami. Kawan bapaku, Tok Rahib, pandai mengubati orang.

PRANKWhere stories live. Discover now