BAB 8

283 10 0
                                    

MUHKLIS mengetuk-ngetuk jari telunjuknya pada meja makan kedai mamak 24 jam. Tiada irama. Serabut sepertimana fikirannya juga saat ini. Matanya memandang ke hadapan tetapi tidak berkelip, seperti tembus ke dunia yang tidak berpenghujung.

"Macam mana Muhklis?" soal Saiful setelah sekian lama menanti.

Dia tidak mahu tergopoh-gapah memaksa Mukhlis memberikan maklumat. Bimbang jika satu pun tidak berjaya dikoreknya nanti.

"Hmm... pertama sekali aku nak tahu kenapa engkau nak siasat kes ini?" soal Mukhlis dengan pandangan tajam. Penuh rasa curiga.

"Aku cari maklumat di internet, tapi aku tak dapat apa yang aku mahu. Maklumat tentang kes ini seperti tidak jelas dan tak betul," jelas Saiful.

"Kenapa engkau sibuk nak tahu tentang kes ini? Bukan kes lain? Dari mana kau tahu kes ini?" soal Muhklis bertubi-tubi.

Dia perlukan kepastian. Jika tidak dia mungkin terpaksa rahsiakan semuanya daripada Saiful, walaupun lelaki itu kawan baik yang sangat dipercayai.

Saiful jawab soalan itu dengan mengeluarkan fail kuning dari dalam beg sandangnya yang dibawa bersama sedari tadi. Dia sudah bersedia. Dia tahu ini akan terjadi. Mukhlis akan menyoalnya secara mendalam.

"Apa ini?" soal Mukhlis hairan apabila fail kuning yang dibawa Saiful dihulurkan kepadanya.

"Bacalah."

Mukhlis sambut huluran fail itu. Dibelek muka luar sepintas lalu, kemudian dibuka isi dalamnya. Dia baca satu per satu maklumat yang terdapat di dalam fail itu dengan khusyuk.

"Ma... mana kau dapat fail ini Saif?" soal Mukhlis dengan wajah terkejut.

Tidak sepatutnya maklumat seperti itu berada di tangan orang awam seperti Saiful.

"Kawan aku bekerja di tempat Azril dirawat. Dia yang bagi fail ini pada aku."

"Tapi kawan kau tak ada hak untuk bagi pada kau. Dia dah menyalahgunakan kuasa dia. Sepatutnya dia jaga maklumat persendirian pesakit," tegur Mukhlis yang tidak tahu cerita sebenar.

"Sabarlah Mukhlis. Aku belum cerita habis. Kau ni, soal aku macam aku penjenayah pulak," kata Saiful.

Mukhlis turut tersenyum dengan kata-kata Saiful. Hilang seketika suasana tegang antara mereka.

"Haha, maaflah. Dah terbiasa. Tabiat seorang detektif. Sekarang kau ceritalah betul-betul pada aku apa yang terjadi sebenarnya. Kenapa kau tiba-tiba nak tahu pasal kes ini?"

Saiful menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan ceritanya.

"Sebenarnya aku tak tahu pun tentang kes ini. Tapi Puan Maimunah datang jumpa kawan aku ni minta bantuan untuk tolong anak dia. Keadaan anak dia semakin teruk. Dia risau. Sebab itu dia datang minta tolong. Dipendekkan cerita, mereka nak guna bantuan aku. Nak cuba daripada perspektif lain selain daripada medikal. Puan Maimunah mahu aku tengokkan Azril. Aku tak kisah. Boleh saja aku tengokkan. Cuma, masalahnya..."

"Apa masalahnya?" sampuk Mukhlis tidak sabar.

Saiful berdeham, membasahkan tekak. Dihirup air teh panas di depannya.

"Masalahnya, maklumat yang diberikan tentang Azril kepada aku ni macam pelik. Dalam fail yang kau baca tu maklumat Azril seperti tak lengkap. Sepatutnya, maklumat seorang pesakit kena jelas tentang penyebab penyakitnya. Tapi, maklumat Azril ni banyak sangat yang dirahsiakan. Kemudian, bila ditanya pada puan, semua dia tak mahu cerita. Aku rasa peliklah. Macam ada sesuatu yang tak kena," jelas Saiful.

"Jadi, kau dah siasat? Apa yang kau dapat tahu?" soal Mukhlis menduga.

"Tak banyak maklumat yang aku dapat daripada internet. Terhad. Tapi, aku tertarik dengan satu berita ni, tentang kes pembunuhan yang berlaku di salah sebuah rumah milik Orang Kaya Mansur. Aku rasa macam ada sesuatu yang tak diceritakan dan dirahsiakan. Aku rasa apa yang terjadi kepada Azril mesti berkaitan dengan kes ini. Sebab itulah aku nak tahu daripada kau. Kau mesti tahu tentang kes ini."

Mukhlis menghembus nafas berat. Dia tergeleng sendiri.

"Aku cadangkan kau lupakanlah niat kau tu Saif," kata Mukhlis tegas.

"Kenapa pulak?"

Mukhlis mendekatkan dirinya dengan meja makan. Supaya dia boleh berbisik kepada Saiful.

"Kes Azril dan Orang Kaya Mansur ni bukan kes kecil Saif. Orang Kaya Mansur ni bukan orang biasa-biasa. Dia berani buat apa sahaja untuk jaga maruah diri dia," kata Mukhlis sekadar berbisik. Bimbang jika didengar orang sekeliling.

Saiful terdiam. Jadi benarlah, memang ada sesuatu yang dirahsiakan! Memang ada sesuatu yang berlaku kepada Azril yang tidak diceritakan!

Saiful tersenyum. Perasaan ingin tahu dalam dirinya membara. Sudah lama dia tidak menyiasat kes-kes seperti ini. Mungkin kali ini, dia akan dapat mencari idea yang menarik untuk novel seterusnya. Dia suka kisah-kisah benar seperti ini.

"Tapi kau dah berjanji akan bantu aku," kata Saiful menuntut janji daripada Mukhlis.

Detektif itu ketawa. Dia tergeleng sendiri.

"Kau ni memang tak berubah Saif. Masih dengan perangai degil kau tu. Hmm, aku boleh cerita pada kau. Tapi kau kena ingat, apa yang aku bagitahu ni adalah rahsia yang sangat besar. Sebab maklumat ini berkait dengan Orang Kaya Mansur. Lelaki itu tak seperti yang semua orang sangka. Dia punyai sudut negatif yang tersendiri. Siapa sahaja yang tahu tentang perkara ini, nyawanya dipertaruhkan. Rasa nak selamat, diam. Kalau kau buka cerita, kau tanggung sendiri," pesan Mukhlis tegas.

"Baik. Aku nak tahu sepenuhnya cerita sebenar. Kau jangan risau, aku tanggung risiko sendiri," kata Saiful meyakinkan Mukhlis.

"Sebenarnya apa yang kau rasa tu memang betul Saif. Kes ini diputar belit dan dirahsiakan atas sebab yang tertentu."

PRANKWhere stories live. Discover now