BAB 7

342 13 0
                                    

KLAK! Klak! Klak!

Cahaya putih berkelipan beberapa kali menerangi kawasan sekitar semak di tepi jalan itu. Kelihatan seorang anggota forensik sedang mengambil gambar mayat yang ditemui lewat malam tadi, dari beberapa sudut yang berbeza.

Seorang wanita dalam lingkungan 20-an ditemui mati dipercayai dibunuh berdasarkan daripada kesan-kesan jenayah yang ditinggalkan. Wanita itu ditemui dalam keadaan separa bogel dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh dengan belitan kuat pada lehernya.

Buat masa ini senjata yang digunakan untuk melakukan pembunuhan itu masih belum ditemui. Motif pembunuhan juga masih belum diketahui.

"Encik Mukhlis!"

Mukhlis yang sedang memerhati dari luar garisan kuning berpaling melihat seorang anggota bawahannya yang memanggil.

"Ada apa Salman?"

"Saya ada temui seutas tali yang punyai kesan darah berdekatan dengan kawasan kejadian. Saya yakin tali ini digunakan untuk menjerut leher mangsa. Mungkin terjatuh ketika suspek cuba melarikan diri," kata Salman, seorang anggota polis yang turut bertugas pada malam ini.

"Bagus Salman. Serahkan kepada pegawai forensik untuk mereka periksa DNA darah tersebut."

"Baik tuan!"

Mukhlis melihat Salman berlalu pergi menjalankan tugasnya. Sambil mengeluh, dia membuka sarung tangan getah yang dipakai tadi.

"Apalah nak jadi. Masuk hari ini, dah dua kejadian yang sama berlaku dalam masa sebulan. Parah keadaan masyarakat kita ni," dengus Mukhlis.

"Apa yang dibebelkan seorang diri tu Detektif Mukhlis?" tegur satu suara.

Mukhlis berpaling melihat. Kelihatan seorang lelaki yang tidak asing lagi baginya tercegat berdiri sambil tersenyum.

"Subhanallah Saiful! Aku ingat siapa tadi. Kau apa khabar?" ucap Mukhlis sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.

Huluran itu bersambut.

"Alhamdulillah. Aku sihat," jawab Saiful. Sambil itu matanya melirik ke tempat kejadian.

Kelihatan ramai anggota polis dan pegawai forensik sedang menjalankan tugas mereka. Menghalang pandangan Saiful daripada melihat apa yang telah berlaku.

"Kes pembunuhan lagi?" soal Saiful sambil mengunjuk ke arah kawasan yang dipagari pita penanda berwarna kuning.

"Ya. Kalau ikutkan, ini sudah kes yang kedua. Aku rasa kes ni hasil perbuatan orang yang sama. Lokasi juga berdekatan. Cara pembunuhan juga lebih kurang sama. Tapi, suspek masih belum dikenal pasti."

Saiful hanya mengangguk. Dia tahu tentang kes pertama yang berlaku. Baru sahaja terjadi beberapa minggu lepas. Sedang melihat sekeliling, dia perasan akan sepasang mata yang merenungnya tajam.

"Kenapa kau tengok aku macam tu?" soal Saiful kepada Mukhlis.

Muhklis tersenyum. Dia tahu Saiful dapat membaca fikirannya saat ini.

"Apa kata kau cuba scan mangsa tu Saif. Mana tahu kau boleh nampak sesuatu," cadang Muhklis.

Saiful terdiam. Dia datang dengan niat lain, lain pula jadinya.

"Aku bukannya ada kuasa istimewa nak scan-scan orang ni Mukhlis," balas Saiful cuba mengelak.

"Alah, kau jangan nak merendah diri sangat Saiful. Kau lupa ke kau pernah tolong aku selesaikan kes sebelum ni?"

Saiful terkelu. Dia teringat peristiwa sebelum ini. Tanpa sengaja dia telah membantu Mukhlis selesaikan satu kes pembunuhan. Di antara kelebihan yang dimiliki Saiful, dia mampu merasai dan mengimbas kejadian yang berlaku dengan menyentuh seseorang. Saat itu Saiful yang tersentuh mayat mangsa telah mengimbas kejadian yang berlaku.

PRANKWhere stories live. Discover now