BAB 6

325 13 0
                                    

SAIFUL lihat sekeliling. Semuanya gelap-gelita. Kakinya dengan sendiri melangkah beberapa tapak ke hadapan. Tiada apa-apa yang tercapai pada pandangan matanya saat ini.

"Hik, hik, hik..."

Sedu tangis seorang perempuan kedengaran. Bermula dengan perlahan, sayup-sayup kemudian menjadi semakin kuat dan jelas.

Deria istimewa Saiful aktif dengan sendiri. Kehadiran makhluk lain dirasainya. Saiful berpaling ke belakang perlahan-lahan.

"Hik, hik, hik..."

Kelihatan seorang wanita berbaju labuh putih menutupi seluruh badan sedang duduk mencangkung sambil membelakangkan Saiful. Dia menutup wajahnya dengan dua tangannya yang pucat seperti tidak berdarah. Bahunya terhinggut-hinggut menangis.

"Siapa?" soal Saiful sambil berhati-hati melangkah, cuba menghampiri wanita berbaju buruk itu.

Kain putih yang dipakainya seperti kain lama yang sudah lusuh dan kusam. Terdapat kesan tompok darah di beberapa tempat.

"Cik..." panggil Saiful sekali lagi. Kali ini dia betul-betul sudah hampir dengan wanita itu.

Panggilan Saiful tidak berbalas. Wanita itu masih dengan esak tangisnya. Wajahnya tidak ternampak kerana tertutup oleh rambut hitamnya yang kusut dan menggerbang.

Saiful menghulurkan tangannya, mahu mencapai bahu gadis itu. Dahinya mula berpeluh. Seluruh tubuhnya rasa membahang. Baju yang dipakai Saiful sudah lencun hingga melekat ke tubuhnya. Kerana tidak tertahan dengan bahang dan tekanan yang dirasai, dia mula menuturkan doa.

"Rabbi au'zubika min hamazatisysyayatin. Wa au'zubika mirrabbi an yahdhurun."

Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung juga kepada-Mu wahai Tuhanku, daripada kedatangan mereka kepadaku.

Selesai membaca doa itu, Saiful tekad menghulurkan tangan mahu menyentuh dan menarik bahu perempuan menangis itu. Namun, tinggal seinci sahaja lagi untuk tangan Saiful mencapai bahunya, perempuan misteri itu terlebih dahulu berteriak kuat.

"Jangan ganggu aku!"


"ALLAH!"

Saiful tersentak daripada tidur. Dia melihat ke kiri dan ke kanan. Dia masih berada di biliknya. Bukan di tempat yang asing. Dia tidak sedar bila dia tertidur tadi setelah pulang ke rumah. Mungkin badannya keletihan sehinggakan dia bermimpi lagi.

Mimpi...

Saiful termenung seketika di atas katil. Dia cuba menganalisa mimpi yang baru dilaluinya tadi. Ini kali pertama mimpi ini hadir dalam tidur malamnya. Mimpi-mimpi lain yang hadir sebelum ini hampir kesemuanya merupakan mimpi yang berulang dan dia sudah tahu tentang makhluk yang mengganggu mimpinya itu.

"Hmm, abaikan. Sama sahaja. Semua mainan syaitan," ulas Saiful sambil turun dari katil.

Dia menggeliat, melenturkan badannya kebelakang. Dua tangan dengan jari bersilang menolak puas ke atas. Menghilangkan lenguh yang menggigit tubuh.

Saiful berjalan menuju ke meja menulisnya. Apabila melihat fail kuning yang terletak di atas meja itu, otak Saiful berfikir sesuatu. Dia teringat semula akan pertemuannya dengan Khalis.

Saiful menghidupkan laptop, lalu membuka laman sesawang internet. Dia menaip nama Muhd Azril Bin Mansur. Apabila butang search ditekan, senarai maklumat yang berkaitan dengan nama itu terpapar di skrin laptop.

Namun, seperti tiada apa yang menarik. Tidak banyak maklumat mengenai pemuda itu. Maklumat-maklumat yang terpapar lebih menjurus kepada Mansur atau lebih dikenali sebagai Orang Kaya Mansur.

Saiful tidak pelik, kerana dia tahu Orang Kaya Mansur memang orang yang terkenal. Berita dan gosip tentang lelaki itu memang banyak. Yang mana satu betul dan yang mana satu salah pun tidak dapat dipastikan. Dunia hari ini, penuh dengan fitnah dan cerita palsu.

Sedang Saiful melihat sepintas lalu maklumat itu, dia terbaca satu berita yang menarik perhatiannya.

"Pembunuhan misteri rumah agam."

Saiful terus membuka berita itu untuk membaca cerita selanjutnya. Satu kes pembunuhan telah menggemparkan masyarakat setempat berlaku di sebuah rumah lama. Menurut Inspektor Salihin, ketua bahagian penyiasatan, rumah lama itu merupakan rumah tinggalan dan tidak diduduki sekian lama.

Katanya, tiga mayat yang ditemui merupakan tiga orang pemuda yang tidak dapat dikenal pasti identiti mereka. Dia percaya bahawa pemuda-pemuda tersebut merupakan orang asing yang datang tanpa permit ke situ. Kematian mereka dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah berdasarkan pada tanda fizikal yang terdapat pada tubuh mereka serta beberapa kesan penggunaan dadah di dalam rumah tersebut.

Penduduk setempat dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak membuat sebarang aktiviti berdekatan dengan kawasan rumah tersebut kerana dipercayai sering dijadikan sarang penagih dadah. Jika ada sebarang maklumat yang berkaitan, pihak siasatan mengalu-alukan orang ramai untuk berkongsi dan memberi kerjasama.

Saiful termenung berfikir. Kenapa berita ini keluar atas carian nama Azril. Apa kaitan kes ini dengan pemuda itu? Apa pula kaitan Mansur dengan rumah itu?

Saiful teruskan membaca. Komen-komen pembaca di bahagian bawah berita dibaca oleh Saiful.

Rumah tu Orang Kaya Mansur punya. Dia tu kaya nak mampus.

Entah-entah penagih-penagih tu orang bawahan dia. Patutlah kaya. Jual beli dadah rupanya.

Ada sumber cakap anak dia terlibat dengan kes ni.

Saiful diam, berfikir. Entah kenapa dia rasakan misteri kes pembunuhan di rumah itu seperti ada kaitan dengan apa yang berlaku kepada Azril. Dia teruskan lagi carian maklumat tentang kejadian pembunuhan di rumah itu. Namun tiada lagi maklumat tambahan tentang kes itu.

Saiful pelik. Seperti ada sesuatu yang tidak jelas.

Kes pembunuhan. Rumah milik Orang Kaya Mansur. Azril yang diserang penyakit mental.

Adakah semua ini berkaitan? Adakah sebarang kemungkinan bahawa tekanan perasaan yang dialami Azril berpunca daripada kes ini? Adakah Azril terlibat dengan penyalahgunaan dadah? Namun, tidak dinyatakan pula dalam fail rekod Azril bahawa dia terlibat dengan dadah.

Adakah semuanya dirahsiakan? Sebab apa?

Minda Saifulberpusing-pusing dengan pelbagai teori dan persoalan. Dia mahu tahu denganlebih mendalam tentang kes Azril dan kes pembunuhan di rumah itu. Dia perlumulakan siasatannya sekarang juga.

PRANKWhere stories live. Discover now