BAB 14

2.3K 271 40
                                    

"Kak chik, kak chik..."

"Ya? Kenapa kak long?" Piqa yang sedang memasukkan kek ke dalam oven memandang kakak iparnya dengan kening terjungkit ala Ziana Zain.

"Kak chik dengan calon mama tu macam mana? Apa perkembangan?"

"Perkembangan macam mana tu?" Piqa menutup pintu oven sebelum mendekati Sara yang sedang memotong buah untuk pavlova yang sudah ditempah.

Piqa rasa dia sangat bernasib baik bila Sara sudi jadi pembantu tanpa gaji untuk bisnesnya.

"Perkembanganlah. Awak dengan dia ada cakap pasal masa depan ke tak? Lepas ni nak relationship ni ke mana?" Tanya Sara sebelum dia menyuap strawberri yang sudah siap dia potong ke dalam mulutnya, "Ergh, masamnya!"

Piqa ketawa melihat wajah berkerut Sara sebelum dia juga mencapai buah-buahan yang sudah dipotong dan terus disuap ke dalam mulutnya, "Okey je! Tak masam pun."

"Soalan kak long, kak chik tak jawab lagi!"

"Iya kak long sayang, nak jawablah ni," Piqa sengih sebelum dia duduk di kerusi meja makan, "Kak chik dengan Acer masih berkawan macam biasa. Kami selesa kawan macam gini. Hal-hal lain, nanti-nantilah kot kami bincangkan."

"Kak chik nak tahu gosip latest kat taman perumahan kita ni?"

Piqa jungkit kening, "Gosip apa paling latest?"

"Anak Cik Aina, Kak Iman tu... bahan gosip terbaru mak cik bawang. Dok cakap Kak Iman tu anak dara tua, takkan laku. Dah tua."

"Acik Kiah tu dah kenapa ya? Orang rasa Kak Iman tu tak adalah tua mana. Normal apa umur 30 tak kahwin lagi. Kalau umur baya Acik Kiah pun tak peliklah kalau tak kahwin lagi," balas Piqa, geram! "Yang pelik jenis suka jaja hal hidup orang, jaga tepi kain orang padahal kain sendiri dah berlubang."

"Ada satu lagi gosip terhangat kak chik..."

"Apa tu?"

"Acik Kiah cerita, malam hari tu yang Acer hantar kak chik balik malam tu. Dia nampak Acer dengan kak chik bercumbu dalam kereta. Tak tahu batas agama apa."

Piqa hela nafas dan dia beristighfar dalam hati, "Mama tahu pasal ni?"

"Tahu. Pagi tadi, waktu kat pasar ada orang cerita dekat mama," bagitahu Sara sebelum dia pegang tangan Piqa, "Kak chik jangan risau, mama percayakan kak chik. Kak long pun percayakan kak chik."

Piqa senyum saja sebelum dia menggenggam tangan Sara.



"Kenapa nak jumpa I tiba-tiba ni?" Tanya Acer pada Piqa sebelum dia memanggil pelayan untuk memesan minuman.

Piqa diam sahaja, menanti Acer memesan minuman dulu. Sebaik sahaja pelayan itu berlalu meninggalkan mereka, Piqa senyum pada Acer, "Saja. Tak boleh?"

"Bukanlah tak boleh cuma pelik, semalam you tak cakap pun nak jumpa I."

"Ingat kita keluar hari tu?"

Acer angguk kepala, "Ya, kenapa?"

"Acik Kiah dah canang cerita pasal kita bercumbu dalam kereta you, kat dalam Whatsapp group!" Jawab Piqa dengan muka tak berperasaan.

"But we didn't do anything like that..." Acer kerut dahi, "Kenapa dia perlu tokok tambah cerita macam tu?"

"Sebab semua orang sekarang hidup nak dengar gosip. Gosip kena hangat, baru seronok menyebar."

"So are you okay?"

Piqa angguk kepala, "Tapi maybe mama yang tak berapa okey. Kat pasar ada dua tiga orang mak cik asyik tanya pasal hal ni pada dia."

"I can clarify things with them kalau itu you nak."

"People choose to believe what they want to believe, Acer. Kalau you pergi taman I, tiba-tiba nak clarify thing you rasa dorang akan percaya ke."

"Habis takkan you nak biar je nama you busuk macam tu?" Tanya Acer. Kebetulan waktu itu pelayan menghantar minuman pesanannya tadi.

Piqa diam, memberi laluan kepada pelayan itu. Sebaik sahaja pelayan itu berlalu, dia pandang Acer, "Biar ajelah, memang dah busuk. Allah tahu apa I buat, sudahlah."

Acer angguk kepala. True. Kenapa nak kisahkan orang lain?

"Acer..."

"Ya...?

"I..." Piqa garu kepala sikit, "I sebenarnya..."

"Ya? Kenapa?"

Piqa mencubit lengannya sendiri, untuk memberi kekuatan kepada dirinya untuk meluahkan apa yang dia nak luahkan, "I rasa... I suka you. Jom kita bertunang!"

Acer tercengang. Dia pandang Piqa tak percaya, "Takkan sebab you kena gosip, you nak kita bertunang? You sendiri tahu yang I... masih belum lupakan Fei sepenuhnya."

"I nak tolong you..." ujar Piqa, perlahan sebelum memandang Acer, "Lupakan Fei." Dan I nak bantu diri I sendiri...

Acer diam tak terkata. Kali pertama dilamar. Kali pertama ada orang yang masih mahukan dia padahal dia tahu dalam hatinya ada nama orang lain.

Tanpa sebarang kata, Acer bangkit dan terus berlalu. Dia perlukan masa dan ruang nak berfikir.

Piqa yang ditinggalkan terpinga-pinga sebelum bibir mengukir senyum tawar.

He just left. Just like that!



Tadi lepas ditinggalkan Acer,Piqa terus balik ke rumah.

Sara pun berulang kali mengetuk pintu biliknya, bertanya keadaannya. Nampak sangat ke mukanya sedih? Nampak sangat ke yang dia baru lepas ditolak Acer?

Bunyi telefon pintar buat dia mengangkat panggilan itu tanpa memandang nama di skrin. Pasti Jannah sebab tadi dia ada menghantar mesej pada Jannah, beritahu yang dia sudah kena reject dengan Acer.

"Jane..." Panggil Piqa, perlahan! "Aku dah bagitahu dia pasal perasaan aku."

Senyap. Jannah tidak membalas.

"Dia tolak aku, Jane. Dia blah macam tu je tadi lepas aku ajak dia bertunang. Aku rasa dia takut dengan aku, Jane!" Piqa ketawa besar, namun jelas dibuat-buat. Tanpa sedar air matanya jatuh ke pipi.

Jannah masih diam. Tak membalas sepatah apa.

"Macam ni agaknya perasaan dia bila perempuan yang dia suka tolak dia. Sakit, Jane!" Piqa cuba ukir senyum. Nada suaranya tertahan-tahan, jelas menahan sedih! Tangannya naik menepuk dada yang terasa sesak, "Sakit gila hati aku ni. Pedih, Jane..."

"Kachu? I'm sorry."

Piqa terdiam terus. Bukan suara Jannah di talian sana.

"Kachu, I minta maaf. Janganlah nangis macam ni!" Lembut suara itu memujuk, "I tak sengaja nak tinggal you macam tu. I tersedar tadi, I pergi balik kafe tu tapi you dah balik."

Lembut suara Acer buat Piqa menangis lebih teruk.

"Kachu, hujung minggu ni I hantar rombongan I jumpa mama you, ya? Jangan nangis macam ni."

"Nak buat apa?" Dengan sedu yang tertahan, Piqa bertanya.

"Nak bertunanglah. You kan ajak I bertunang tadi?"

"I tak nak... you terima sebab I nangis-nangis macam ni. I tak mahu simpati you!"

"Tak, I terima sebab I nak give us a chance. Bukan sebab I bersimpati ke apa," masih lembut nada Acer bercakap dengan Piqa, "I dah fikir masak-masak. I nak tolong diri I sendiri."

Piqa menangis, sungguh-sungguh dia menangis!

"Kachu, I minta maaf! I tak sengaja buat you sedih macam ni. Sorry!"

Piqa tak membalas sebaliknya dia terus menangis dan Acer, tidak sekalipun cuba meletakkan panggilan...

Bersambung...

BLIND DATE (TERBIT)Where stories live. Discover now