BAB 8

1K 20 0
                                    

Alunan muzik Brandenburg Concerto No 3 in G Major, BWV 1048, Allegro Adagio menemani makan malam kami. Menikmati makan malam yang disajikan diiringi dengan alunan muzik yang klasik ini telah menimbulkan rasa tenang dan mewah seolah-olah sedang makan di restoran mewah 5 bintang di Itali. Jangan terpegun kenapa aku boleh tahu mengenai tajuk muzik ini, aku hanya baca di skrin Ipad milik Nuh yang terpapar tajuk muzik yang sedang dimainkan. Bushra menjamu aku dengan hidangan spaghetti bolognese bersama bebola daging. Masakan Bushra sememangnya menepati tekak aku kerana kuah bolognese agak pedas berbanding dengan kuah bolognese asli. Mesti dia blend pes kuah bolognese ini dengan cili sekali. “Sedapnya Bushra masak. Pedas-pedas memang kena dengan tekak kampung akak ni.” puji aku.

Bushra tersenyum bangga apabila dia puji. “Bushra ni memang suka pedas-pedas. Abang Nuh pun sama. Bak kata akaklah, dah tekak kampungkan. Makanan Itali yang tak pedas pun boleh dipedaskan.” katanya sambil ketawa kecil.

Bebola dagingnya pun rasanya sedap semacam. Saiznya juga lebih besar sedikit berbanding bebola daging Ikea. Dagingnya pula empuk dan berjus. “Meatball ni pun, sedap gila dik. Pakai daging brand apa ni? Rupa dia lebih kurang meatball Ikea cuma besar sikit and lagi berasa lah. Kalau Ikea selalu macam tawar sikit.”

“Oh, daging tu saya buat sendiri kak. Saya yang kisar sendiri lepastu adalah campur sikit garam, blackpepper nak bagi rasa.”

“Oh buat sendiri ke. Patutlah sedap.” puji aku lagi. Aku kemudian memandang Nuh. “Untung Nuh dapat isteri lawa, pandai masak lagi.”

Nuh hanya membalas dengan senyuman. Bushra tersenyum bangga. Dia kemudian memandang mee spaghetti dan kuah bolognese yang berbaki sedikit di dalam pinggan aku. “Eh kak, tambahlah lagi.”

“Eh takpa, takpa. Akak dah kenyang dah dik. Meatball ni besar-besar terus kenyang perut akak.” kata aku yang menolak pelawaannya. Memang benar aku sudah kenyang. Mana tidaknya, nak dekat 10 biji bebola daging aku makan. Aku kemudian meneguk segelas air berperisa blackcurrant yang sejuk.

Usai menikmati makan malam, aku menemani Bushra di dapur untuk membantunya mencuci pinggan mangkuk yang digunakan untuk hidangan tadi namun aku hanya sempat membasuh sudu garfu yang digunakan aku sahaja sebelum aku dipaksa olehnya untuk duduk di ruang tamu. “Akak janganlah camni, akak ni tetamu saya. Akak rehatlah dulu dekat ruang tamu.” kata Bushra. 

“Hmm yelah dik. Aku duk sini jelah kejap.” kata aku merujuk kepada sebuah kerusi yang terletak tidak jauh dari Bushra. Aku kemudian melabuhkan punggung aku di situ. Saja mahu berbual dengannya sementara menunggunya habis mencuci pinggan mangkuk. “Bushra ni asal mana?”

“Asal boleh je kak.” Bushra berseloroh. “Gurau je kak… Saya asal Melaka. Abang Nuh asal Johor.” balasnya. Bagus betul, belum sempat aku tanya pasal suami dia dia dah bagitau siap-siap. “Akak pulak?” soalnya kembali. 

“Akak orang sini je. Suami akak pun.” balas aku. Aku kemudian terpandang sebuah frame kanvas di hadapan aku yang memaparkan pemandangan bus double-decker berwarna merah yang berlatarbelakangkan kota London. Kepala aku kemudian teringat berkenaan dengan ketiadaan gambar manusia yang digantung di dinding rumah. “Korang ni memang tak suka gantung gambar orang ke?”

Bushra yang sedang mencuci pinggan tersentak sehingga terhenti perbuatannya seketika. “Huh?” soalnya kepada aku.

“Tak maksud akak, dekat rumah Bushra ni akak perasaan banyak gambar-gambar gantung kat dinding. Tapi semua gambar pemandangan. Tak ada satu pun gambar korang. Gambar kahwin ke? Memang tak suka gantung gambar sendiri ke?” soal aku. Aku mempunyai kenalan yang tidak suka menggantung gambar manusia di dalam rumah. Katanya nanti malaikat tak masuk. Boleh jadi mereka ni berada dalam kelompok yang sama. Bushra hanya membisu. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dijawab. Aku merenungnya dengan sedikit rasa pelik.

“Kami memang tak suka gantung gambar benda hidup dekat dinding. Macam manusia. Nanti malaikat tak masuk.” Nuh yang baru tiba terus bersuara. “Gambar-gambar kami macam gambar-gambar kahwin tu semua kitorang simpan dalam album.” 

“Oh…” Aku mengangguk faham. Betul lah sangkaan aku.

Nuh berjalan menghampiri isterinya. “Sayang, apa kata pergi bawak kak Aina naik atas. Boleh akak berehat. Pinggan mangkuk tu biar abang sambung basuh.” kata Nuh. 

Bushra mengangguk akur dengan arahan suaminya. “Kak jom kak saya tunjuk bilik akak.” Aku kemudian bangkit dari kerusi lalu terus memulakan langkah mengikuti Bushra dari belakang. Kami kemudian menaiki anak tangga. Tidak lama selepas itu, kami tiba di tingkat 2. Tercungap-cungap aku dibuatnya. Lega aku akhirnya aku tiba di tingkat ini. Di tingkat 2 aku dapat lihat ada empat buah pintu bilik yang kesemuanya dalam keadaan tertutup. Agaknya mana satu bilik yang mereka sediakan untuk aku. Bushra kemudian kembali berjalan menuju ke tangga untuk menaiki ke atas. Aku tercengang. “Atas lagi ke?”

“Haah kak. Bilik kat tingkat ni saya tak sempat nak kemas. Berhabuk sikit yelah dah lama tak gunakan. Lagipun dekat atas ada satu bilik tetamu yang selesa sikit.” maklum Bushra. Dia kemudian meneruskan langkahnya mendaki anak tangga. Aku hanya mengikutinya. Haih nak kena panjat tangga lagi. Kami akhirnya tiba di tingkat 3 iaitu tingkat yang terakhir rumah ini. Di tingkat ini keluasannya agak kecil sedikit berbanding di tingkat dua kerana sebahagiannya dijadikan balkoni. Di tingkat ini hanya ada 2 buah bilik sahaja kerana aku hanya dapat melihat 3 pintu sahaja iaitu 2 pintu bilik dan satu pintu kaca untuk ke ruang balkoni. Bushra menuju ke pintu yang berdekatan dengan tangga. Pintu bilik itu dikuak. Dia kemudian masuk dan aku mengikuti dari belakang. “Malam ni akak tidur sini. Okay ke?” soal Bushra.

“Eh… Okay sangat dik!” kata aku. Gila tak okay. Bilik ada aircond. Katilnya pula belum aku baring sudah terasa empuknya. “Terima kasih banyak-banyak Bushra. Akak dah banyak susahkan Bushra dengan Nuh.”

“Akak janganlah cakap camtu. Kami tak rasa terbeban pun. Harini hari akak, manalah tahu esok lusa hari saya pulak kan. Tak apalah akak jangan fikir sangat sekarang ni akak rehat je.” kata Bushra.

Aku mengangguk. “Baiklah, terima kasih ya dik.” ucap aku sekali lagi. Bushra hanya membalas dengan senyuman. Dia kemudian keluar menutup pintu bilik meninggalkan aku keseorangan di bilik ini untuk berehat. Aku terus merebahkan tubuh aku ke katil size queen. Allahu, empuknya. Terus aku rasa nak tidur. Aku kemudian membetulkan posisi tubuh aku. Beg tangan aku diletakkan ke atas sebuah laci kecil di tepi katil. Tiba-tiba, beg tangan aku terjatuh kerana aku terletak di atas lubang di antara katil dan laci. Beg tangan aku yang lupa dizipkan dengan betul menyebabkan kesemua barang-barang di dalam beg tangan aku berterabur. Aku mendengus. Haih, ada je nak bagi aku kerja. Aku bingkas bangun kemudian mengutip satu persatu barang-barang aku. Gincu aku terselit di belakang laci. Aku menolak sedikit laci itu ke tepi untuk mengambil gincu aku yang kini terletak di atas sebuah buku tebal berkulit keras. Usai memasukkan gincu aku ke dalam beg tangan, aku mengangkat buku itu. Berat juga buku ni. Lebih berat daripada kamus dewan. Aku kemudian menerbalikkan buku itu untuk melihat tajuk buku di hadapan. Lalu aku tersentak. Buku itu bertajuk ‘Holy Bible’. Huh?! Bible?! Apa yang sedang berlaku sebenarnya ni? Aku mula kusut. Macam-macam perkara aneh yang berlaku sejak kali pertama aku bertemu dengan pasangan ini. Dan kini aku menjumpai sebuah kitab suci penganut agama Krisitian yang tersorok dicelah katil di rumah pasangan Melayu yang beragama Islam ini? Aku mula rasa tidak sedap hati.

TUMPANG - Sebuah cerita seram PKPWhere stories live. Discover now