TEPAT jam 6.30 petang, tamatlah perlawanan dan sesi penutup acara pada hari itu. Kelihatan para pelajar mula berpusu-pusu beredar pulang. Begitu juga Qaliff Yusuf dan Qisha Qaisara. Mereka berjalan beriringan hingga ke tempat parkir motor di luar pagar sekolah."Sara, nak balik sekali tak? Aku hantar." Tawar Qaliff Yusuf dengan tangan lincah memakai topi keledar.
"Naik apa? Motor kau ni? Hmm tak payah, aku lagi rela jalan kaki." Tolak Qisha Qaisara dengan bibir terjuih. Kalau hendak diikutkan, kawasan perumahannya tidaklah jauh mana dari sekolah. Lagipula gila ke apa hendak suruh dia membonceng di belakang lelaki itu? Sudah serupa chingey lagaknya. Eh tak mahu aku!
"Pergh! Berlagak." Sinis Qaliff Yusuf, terasa dengan penolakan yang diterima.
"Bukan berlagak, tapi tak manis orang tengok. Kalau kau laki aku tak apa juga nak bonceng belakang." Jawab Qisha Qaisara tidak bersetuju dengan ujaran Qaliff Yusuf yang menuduhnya pilih bulu. Kalaulah Qaliff Yusuf itu suaminya, sudah lama dia menempel tanpa harus dipinta. Pasti akan diikuti lelaki itu merempit ke sana ke mari tanpa banyak bertanya.
"Ohh... jadi kena halal dululah ya? Jomlah kahwin dengan aku kalau begitu? Senang sikit nak angkut kau ke mana-mana." Spontan Qaliff Yusuf berkata. Tidak perasan gurauannya membawa sejuta rasa dalam dada si pendengar.
Qisha Qaisara terpempan, jantungnya ibarat berhenti berdegup buat seketika.
Beberapa saat isi kepala melayang, Qisha Qaisara kembali tersedar. Sedar diri seakan mula ingin hanyut, dia pantas memangkah apa yang terlintas di benak hati. Tak mahu terbuai dengan keromantisan kata-kata Qaliff Yusuf yang memang sejenis bergurau lepas.
"Tak naklah kahwin dengan buaya, nanti buat sakit hati aku je. Hari-hari kau usya perempuan lain. Citarasa aku jenis yang setia." Bidas Qisha Qaisara. Sebolehnya dia cuba berlagak biasa dan meneutralkan kembali suasana.
"Eh, baik sikit. Aku setia tau!" Tingkah Qaliff Yusuf menjeling Qisha Qaisara. Berang dikatakan kaki perempuan.
"Kalau tak setia, tak adalah sampai sekarang aku suka pada orang yang sama." Tambahnya lagi tapi dalam nada yang cukup perlahan. Dalam dengar tak dengar saja suaranya menutur.
"Apa dia?" Tanya Qisha Qaisara bila butir bicara Qaliff Yusuf tidak sampai ke pendengarannya.
"Pekak badak, lain kali korek telinga!"
"Eh, kau tu yang bercakap serupa duduk dalam selimut, gajah kalau tadah telinga pun tak dengarlah." Giliran Qisha Qaisara pula menempelak geram. Suka hati limpa dia saja mahu mengutuk orang, tak sedar yang diri sendiri tu bercakap serupa berbisik.
"Apa-apalah, bye ketot. Jumpa esok!" Pamit Qaliff Yusuf malas ingin mendengar bebelan lanjut dari Qisha Qaisara. Rem motor dipulas seraya berlalu pergi.
Geleng kepala Qisha Qaisara melihatnya. Nasiblah sayang, kalau tidak lama sudah aku tinggal.
YOU ARE READING
Penantian Yang Bersisa
RomanceBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...